Thursday 6 December 2012

Type A dan Type B dalam gerakan dakwah.



Personaliti Type A kalau menurut sebahagian saintis psikologi sebagai sangat tersusun dan rapi dalam urusan, proaktif, keinginan yang tinggi untuk mencapai matlamat, dan sangat cermat dalam pengurusan masa.

Type B pula bekerja dengan lebih tenang, kurang tahap tekanan, kreatif, gemar mencipta idea dan konsep baru, menikmati setiap proses untuk mencapai matlamat namun tidak terlalu kecewa jika tidak berjaya, serta fleksibel dalam pengurusan masa.

Jika anda berpeluang bekerja dalam gerak kerja dakwah Type A, anda sangat beruntung kerana berpeluang untuk lihat satu gerak kerja yang sistematik dan tersusun. Tidak ada tugasan yang tidak siap melainkan semuanya sudah sempurna jauh lebih awal dari tarikh akhir. Tidak ada pembaziran masa, agenda mesyuarat tidak ada yang meleret-leret kerana akan segera dipotong. Kalau temu janji mesyuarat pada pukul 8.30 malam, nescaya anda boleh dengar mesyuarat dibuka dengan bacaan Ummul Kitab pada pukul 8.31 malam.

Mudahnya, anda kagum dan berpuas hati.

Cuma sedikit hati-hati.

Anda akan rasa sedikit tekanan terutama bila anda tidak dapat ikut rentak ini dengan baik. Tambahan bila tidak banyak unsur yang menghiburkan hati boleh ditemui dalam gerak kerja ini kerana berorientasikan mengejar matlamat dan kadang-kadang bersifat arahan semata-mata. Kalau tidak bernasib baik akan terima kad kuning disebabkan kecuaian anda. Bukan sedikit yang jatuh moral untuk bekerja dan berdakwah akibat tekanan ini.

Jika anda berpeluang untuk bekerja dalam gerak kerja dakwah Type B pula, anda seorang yang bertuah kerana berpeluang mendengar idea baru yang segar dan kreatif. Proses berfikir untuk mencari idea yang unik sangat menghiburkan hati sehingga menghilangkan tekanan bekerja. Toleransi yang tinggi tentang masa dan tarikh memberi peluang dan ruang kepada anda untuk membaiki kesilapan dan cuba yang terbaik.

Mudahnya, anda dapat rasa keseronokan dalam berdakwah kerana tiada tekanan dan terhibur hati.

Cuma sedikit hati-hati.

Kurang tegas dalam soal masa menyebabkan banyak urusan tertunda sehingga menimbulkan masalah yang lebih banyak. Mesyuarat dimulakan tidak ikut masa dan cenderung meleret-leret sehingga ahli mula gelisah. Urusan yang kurang sistematik dan tidak teliti menyebabkan rancangan dakwah dan program bercelaru dan bersimpang siur serta tidak dapat berjalan dengan lancar. Gerakan dakwah akan dapat nama buruk yang pasti.

Kalau kita berada dalam gerak kerja Type A, kita akan berharap supaya sedikit unsur Type B menyelinap masuk. Begitu juga sekiranya kita berada dalam gerak kerja Type B, unsur-unsur daripada Type A sangat dinantikan.

Manusia ada yang Type A dan Type B. Cenderung untuk memilih hanya salah satu type gerak kerja sahaja akan memberi tekanan kepada type gerak kerja yang lain.

Menggabungkan kedua-dua jenis gerak kerja ini dan meletakkan seseorang di posisi yang sesuai dengan personaliti dan kecenderungan mereka pula bukan senang, tetapi itulah keadaan yang mesti kita hadapi untuk meraikan kepelbagaian dan menambah baik kelancaran gerak kerja.

Allahu a’lam.

  
  

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...