Tuesday 18 December 2012

Nasihat Ustaz Nik Abduh tentang futur.



Pernah satu kali dengar huraian Ustaz Nik Abduh tentang futur.

Yang pasti futur bukan fathirah.

Futur ialah lemah selepas sebelumnya kuat manakala fathirah ialah seakan roti canai kalau di Mesir.

Ustaz Nik Abduh pula ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, anak kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Beberapa definisi di atas mesti difahami dengan baik untuk elakkan kekeliruan.

Melakukan amal soleh seakan larian marathon. Sampai masa kita akan penat.

Penat dalam melakukan amal soleh bukan dibuat-buat tetapi satu tempoh masa yang mesti ditempuh untuk menguji istiqamah seorang hamba dalam mengerjakan ketaatan. Futur ialah ujian Allah kepada hamba-Nya.

Futur ialah adat, tetapi akan jadi tidak beradab dengan dakwah jika kita biarkan futur itu berpanjangan.

Gejala awal futur dalam dakwah boleh dikesan bila seseorang itu cenderung mengasingkan diri daripada kumpulan dakwah seperti usrah dan aktiviti kemasyarakatan. Kemudian mula solat berseorangan di dalam bilik bukan berjemaah di masjid, membawa pula kepada melewat-lewatkan solat dan peringkat yang lebih teruk sehingga mensia-siakan solat nauzubillah.

Rawatan masalah futur kalau menurut Ustaz Nik Abduh ialah dengan mendekati rakan-rakan yang istiqamah dalam melakukan kebaikan. Paksa diri untuk bersama mereka dalam usrah dan solat berjemaah di masjid dengan harapan tempias himmah mereka dalam beramal menguatkan hati kita untuk melalui tempoh masa futur ini.

Tambahan daripada saya, futur dalam pelajaran juga boleh dirawat menggunakan ubat yang sama.

Rawatan futur mesti menggunakan Allah dan Rasul-Nya sebagai panduan kerana rawatan selain daripada ini tidak menambah melainkan kesesatan. Ada hadis tentang ini namun kekangan menghalang saya daripada meletakkannya di sini.

Nasihat daripada mereka yang berpengalaman seperti Ustaz Nik Abduh sangat jjijok. Jjijok bermaksud sangat realiti dan jitu dalam ketepatan menghuraikan masalah.

Satu lagi definisi yang baik untuk dipelajari.

Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...