Monday 22 December 2014

Bahasa Arab kunci kepada gudang ilmu.

“ Bukan saya tak nak hadir ke kelas pengajian Sheikh Mustafa An Nadawi, tapi sebab Bahasa Arab saya tak berapa bagus. Saya pergi pun tak banyak yang saya faham..” Begitu lebih kurang keluhan seorang junior aku.
 
Memang beginilah kebiasaan yang berlaku. Bahasa Arab selalu menjadi benteng yang menghalang anak-anak Melayu di Tanah Arab daripada mendampingi para ulama Mesir. 

Friday 19 December 2014

SIfat syumul fiqh Islami

 بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, selesai menyiapkan satu lagi tulisan tentang fiqh perubatan, iaitu berkenaan dengan asas-asas ilmu fiqh.

Silakan semak di sini : fiqhdanperubatan.blogspot.com

Terima kasih.

Wednesday 17 December 2014

Amal soleh sebagai hiburan.

Alangkah baiknya kalau kita dapat jadikan amalan kebaikan sebagai hiburan.

Sebagai contoh, jika penat belajar kita berehat dan berhibur sebentar dengan mendengar bacaan Al Quran, atau menghubungi ibu bapa, atau berzikir , atau mendengar pengajian agama, atau apa sahaja amal kebaikan yang memberi manfaat pada dunia dan akhirat kita nanti.

Tuesday 9 December 2014

Tulisan-tulisan kecil ibarat titisan hujan.

Ada seorang ulama bernama Ibnu Uquil.

Nama sebenar beliau ialah Imam Abu Wafa’ Ibnu Uqail Al Hanbali Ali bin Uqail Al Baghdadi. Beliau lahir pada tahun 431 H dan wafat pada 513 H. Beliau dikenali sebagai seorang yang genius , cerdas dan mempunyai wawasan keilmuan yang cukup luas. 

Antara karangan beliau yang paling panjang ialah kitab Al Funun , iaitu sebanyak 800 jilid. Kitab ini mengandungi pesanan agama, tafsir, fiqh, usul fiqh , nahu , lughah, syair, tarikh, hikayat, dan perdebatan beliau berkenaan dengan idea yang beliau cetuskan.

Monday 8 December 2014

Tulisan terbaru blog fiqh dan perubatan.

Alhamdulillah , dengan izin Allah , telah siap tulisan yang seterusnya untuk blog fiqh dan perubatan.

Semoga bermanfaat.

Silakan semak di sini : fiqhdanperubatan.blogspot.com-pengenalan-ilmu-fiqh-siri-1

Friday 5 December 2014

Anatomi ; fikir dan zikir.

Kata Ibnu Rusyd, " Sesiapa yang menekuni ilmu tasyrih ( anatomi) akan bertambah imannya pada Allah."

Mengkaji penciptaan akan menambah keimanan jika dihubungkan pada pencipta.

Sepatutnya.

Tapi kalau mendalami ilmu anatomi hanya untuk selesaikan tekanan peperiksaan, maka sudah tidak ada fikir dan zikir, kerana hati sudah ditutup dengan kerisauan tentang soalan yang akan ditanya, atau runsing dengan keputusan yang bakal diperoleh. Yang tinggal hanyalah hafal dan hafal, sedangkan hati kering daripada mengingati pencipta.

- Rujukan : Buku At Tabib Adabuhu wa Fiqhuhu.

-Tulisan sempena peperiksaan Surgery.

Tuesday 25 November 2014

Lelaki Tua.

Seorang lelaki tua, muka cengkung, jubah berdebu, berjalan perlahan ke sebuah kedai makan. Dia berdiri di tangga bawah sambil menghulur tangan.

Tuan kedai mendekati, menyeluk saku seluar, mengeluarkan sesuatu dan meletakkan pada tangan lelaki tua, kemudian berlalu pergi menyambung kerja. Ada pelanggan di kedainya sedang menanti.

Lama lelaki tua merenung apa yang ada pada tangannya, sekeping syiling, sebelum dia menyambung langkah berlalu pergi, perlahan.

Monday 24 November 2014

Kita semua sedang menunggu.

Seolahnya kita hantar nama untuk ditemuduga. Semua menunggu nama dipanggil. Ada yang dapat awal , ada yang lewat. Sampai masa kita akan pergi ke tempat yang ditetapkan dengan bawa bekalan.

Mungkin seperti itu jugalah kematian. Ada yang dipanggil awal dan ada yang masih menanti. Pada masa yang ditentukan, kita sendiri yang akan pergi ke tempat yang kita akan dijemput oleh malaikat. Maka takwa ialah sebaik2 bekalan.

Thursday 20 November 2014

Baik dibalas buruk, pelajaran dari sirah.

Jika anda telah menjaga akhlak yang baik dengan manusia lidah dan tingkah laku, serta anda sudah menunaikan hak2 mereka, sedangkan balasan yang anda terima adalah sebaliknya, maka teruskanlah beramal dengan Islam yang anda anuti dan serahkan urusan mereka pada Allah, atau doakan kebaikan bagi mereka.

Ajaib sungguh contoh yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Saw, ketika Baginda dikejar oleh penduduk Thaif dan dibaling dengan batu sehingga berdarah, kemudian turun Sayidina Jibril hanya menanti arahan Baginda untuk menimpakan bala pada mereka , namun sebaliknya yang diminta oleh Nabi Saw ;

" Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Jibril berkata , " Telah benarlah mereka yang menamakan kamu sebagai berhati lembut dan penuh kasih sayang."

- Rujukan : Sirah Nurul Yakin.

Monday 17 November 2014

Program Pengenalan Fiqh Perubatan


Ada beberapa perkara yang dikupas oleh ahli panel. Antaranya tentang laluan kerjaya seorang doktor , aktiviti kemanusiaan , isu2 semasa seperti vaksin , dan pengenalan fiqh perubatan.

Lepas habis program saya ambil peluang berbual dengan Dr Zakuan dan isterinya, Ustazah Wan Ainon.

Antara perkara yang kami bincang ;

- Usaha untuk menjadikan fiqh perubatan sebagai silibus pengajian di fakulti perubatan di Malaysia.

- Persiapan atau kaedah untuk menulis dalam bidang fiqh perubatan.

Menurut ustazah seorang doktor yang nak menulis dalam bidang fiqh perubatan sebaiknya ada panel yang menilai atau memeriksa tulisan yang dihasilkan supaya mesej yang disampaikan adalah tepat berdasarkan disiplin ilmu Islam.

- Aktiviti yang dijalankan oleh PAPISMA dalam bidang fiqh perubatan.

Kata Dr Zakuan , setakat ni aktiviti fiqh perubatan PAPISMA Kelantan 'ditangguhkan' seketika kerana ramai tenaga dalam PAPISMA digunakan untuk membangunkan sistem hukuman hudud di Kelantan.

Allahu a'lam.

Friday 7 November 2014

Kenapa berguru?

Sheikh Usamah Al Azhari bercerita dalam satu majlis,

"Ambillah ilmu daripada guru, kerana mereka membaca apa yang terbaik daripada apa yang mereka temui. Mereka menghafal apa yang terbaik daripada apa yang mereka baca, dan mereka menyampaikan apa yang terbaik daripada apa yang mereka hafal."

"Apabila kamu berdamping dengan guru yang telah melalui pengalaman yang panjang, bermaksud kamu bermula di mana tempat dia berakhir."

Semoga Allah membalas kebaikan semua guru yang menjadi penghubung antara kita dengan ilmu.

Thursday 30 October 2014

Berat tangan nak berdoa?

Tadi ambo tengok seorang lelaki berdoa lepas solat.

Lelaki ni bukan muda, nampak sudah berumur, tapi tidak tua sangat. Tubuhnya kurus dan cengkung. Kulitnya pun tidak cerah, nampak seperti orang duduk lama bawah panas matahari. Tangannya berurat, seperti orang yang biasa buat kerja berat. Jubah yang dia pakai pun jenis yang kain kasar, tidak licin. Kain di kepala dililit dengan lilitan biasa seperti lilitan orang2 baladi, tidak seperti lilitan mana2 ahli ilmu atau kelompok agama.

Masa doa dia angkat tangan paras dada. Mulutnya terkumat-kamit bergerak, tapi tanpa bunyi. Sambil doa tangannya nampak seperti terhenjut2, seolah2 dia sangat berhajat dengan benda yang dia minta. Habis berdoa dia cium dua tangan dia hingga berbunyi, sampai ambo yang duduk tidak jauh daripada dia pun boleh dengar.

Ambo teringat orang kata, kalau berdoa kena ibarat seolah2 kita sebatang kara di padang pasir, atau kita di tengah2 lautan berpaut pada sebatang kayu , seolah2 kita tidak ada apa. Begitu barulah kita akan doa dengan sungguh2.

Adapun kalau kita doa sambil kita ingat segala kemewahan dan kemudahan yang ada, masa tu angkat tangan nak doa pun rasa berat.

Lepas doa dia solat dua rakaat, kemudian turun dari masjid. Ambo perhati dia, sambil dalam hati ambo teringat kata2 Imam As Syafie , " Aku mencintai orang2 soleh, walaupun aku bukan daripada kalangan mereka."

Sunday 26 October 2014

Maksiat penghalang ilmu.

Setiap kali Imam Abu Hanifah menemui kesulitan dalam permasalahan, beliau berkata kepada para muridnya , " Semua ini kerana dosa yang aku lakukan."

Lalu beliau akan beristighfar, kadang2 berdiri dan solat, hingga terbuka baginya permasalahannya.

Beliau berkata , " Aku berharap Allah telah menerima taubatku."

Bermaksud, apabila Allah membukakan masalah dan memberikan kefahaman kepadanya, beliau berharap itu ialah tanda Allah telah mengampunkan dosanya, kerana ilmu syarie dan pemahaman tidak diberi melainkan kepada orang yang menjauhkan diri daripada maksiat.

Sedangkan Imam Abu Hanifah seorang yang wara dan jauh daripada melakukan maksiat.

- Buku Kaifa Tatahammas Litolibil Ilmi Syarie.

Tuesday 21 October 2014

Menilai penghayatan agama di satu tempat.

Ambo pernah berbual dengan seorang lelaki tabligh yang pernah singgah berdakwah di kampung ambo. Dia seorang yang rajin keluar masuk ke kampung2 dan negeri2 dan negara2 untuk berdakwah. 

Masa tu ambo lebih kurang tengah mengaji tingkatan 3.

Katanya , " Kalu nak nilai penghayatan Islam di satu2 kampung atau tempat, tengoklah pada agama muslimatnya, dari segi kefahaman agamanya, pergaulannya, akhlaknya, auratnya. Kerana keadaan agama muslimat memberi gambaran keadaan agama ayahnya, suaminya, abangnya, gurunya, pemimpinnya, yang sepatutnya mendidik mereka dengan ajaran Islam."

Tidaklah ambo tahu sejauh mana kebenaran hujah lelaki ini, melainkan ambo hormati pengalaman dakwahnya.

Sunday 19 October 2014

Uzlah.

Dikatakan, orang yang merendahkan maruah orang lain depan anda tidak mustahil akan merendahkan maruah anda depan orang lain, atau disebut ghibah.

Kerana itu, beruzlah atau mengasingkan diri daripada perkara atau pertemuan yang tidak bermanfaat, salah satunya adalah supaya manusia selamat daripada lidah anda dan anda pun selamat daripada lidah manusia, kerana lidah, semakin banyak digunakan maka semakin mudahlah ia tergelincir.

Disebabkan itu, telah berkata ahli hikmah tentang mahalnya menjaga lidah, " Kalaulah berkata yang baik diibaratkan seperti perak, maka diam daripada berkata perkara mungkar diibaratkan seperti emas."

Maksudnya, mengelak mudarat dengan diam daripada berkata perkara buruk adalah lebih utama daripada mengejar manfaat dengan berkata perkara baik.

Yang demikian itu dapat dicapai, salah satunya adalah melalui uzlah.

Lidah dan telinga akan disoal kelak, maka hanya pada Allah kita mohon perlindungan.

Sunday 5 October 2014

Pengalaman di Masjid Masakin.

Bersama Sheikh Yahya Azab, khatib Masjid Masakin dan juga seorang profesor di universiti mansurah, selepas selesai solat sunat Idil Adha.

Walaupun uzur, Sheikh Yahya tetap turun solat berjemaah di masjid setiap lima waktu. Rumahnya di tingkat 3 atau 4.

Kami sempat bertadarus dengan anaknya yang kami panggil Sheikh Abdul Rahman selama setahun lebih.

Tadarus dan tasmi' dengan Sheikh Abdul Rahman kami buat setiap pagi lepas solat subuh di masjid masakin.

Kami akan bertadarus dulu. Kemudian salah seorang daripada kami akan beri tazkirah bertadabur ayat yang kami baca. Tahun pertama di mesir pada masa tu memang bahasa arab kami berterabur. Tapi sheikh positif dan tidak lemahkan semangat kami. Lepas tazkirah dan tadabur kami akan mula tasmi'. Habis tasmi' kami baca atau hafal Al Quran.

Setiap kali kami khatam bacaan Al Quran , Sheikh Abdul Rahman akan jemput kami untuk makan di rumahnya.

Saya kira sepanjang saya bertadarus dengan Sheikh Abdul Rahman, kehidupan pada waktu tu sangat produktif sebab kami mesti bangun awal untuk bersiap ke masjid masakin setiap pagi. Bila awal pagi kita mulakan dengan amal kebaikan insyaAllah seluruh hari tersebut akan jadi positif.

Sheikh Abdul Rahman seorang yang istiqamah dengan i'tikaf di masjid lepas subuh. Beliau selalu ingatkan kami tentang ganjaran pahala umrah yang sempurna bagi mereka yang duduk berzikir lepas solat subuh hingga terbit fajar.

Pada hari Jumaat Sheikh Abdul Rahman akan ke masjid seawal jam 8 pagi, selepas balik dari iktikaf. Katanya orang yang lewat ke solat Jumaat dapat pahala yang sedikit seperti yang diceritakan dalam hadis Nabi SAW.

Cuma kesempatan kami bertadarus dengan Sheikh Abdul Rahman bertahan setahun lebih saja sebab Sheikh Abdul Rahman sambung belajar di Norway. Semalam saya tanya Sheikh Yahya, dia beritahu tidak pasti bila anaknya itu akan pulang.

Saya belajar satu perkara daripada pengalaman ini, iaitu untuk istiqamah berada dalam ketaatan, kita perlukan seseorang dan kumpulan yang dapat mendorong kita melakukan amal soleh.

Friday 3 October 2014

Talaqi dan tahun akhir.


Aktiviti bulan Ogos dan September 2014.

Tidak banyak pengajian agama yang sempat diikuti pada bulan September. Kebanyakan yang saya ikuti ialah majlis bacaan hadis di Masjid Jamal oleh Sheikh Mustafa Abu Sulaiman An Nadawi. Kami menggunakan kitab susunan Sheikh sendiri iaitu المسلسلات والدر الثمين والنوادر .

Kelas diadakan setiap 2 minggu sekali. Alhamdulillah kami diberi ijazah oleh Sheikh.

Itu saja seingatnya aktiviti pengajian agama yang sempat saya ikuti pada bulan Ogos dan September. Saya pernah berniat untuk ikuti pengajian bacaan hadis di rumah Sheikh Mustafa di Talkha pada hari Jumaat selepas solat maghrib tapi setakat ini belum ada kelapangan.

Niat yang hanya tinggal niat.

Ikhtiar sendiri.

Selebihnya saya peruntukkan masa 30 minit selepas subuh untuk ulang kaji pelajaran nahu dan menulis sedikit dalam masalah fikah perubatan dalam blog baru. Hanya 30 minit sahaja setiap hari. Ini saja komitmen yang mampu diberi buat masa sekarang. Tidak apalah. Sekurang-kurangnya pelajaran agama tidak ditinggalkan terus.

Mungkin kerana kekangan masa dan kesibukan dengan pengajian tahun akhir perubatan yang menuntut komitmen yang banyak sehingga akan terlepas pengajian agama selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya. Kosong daripada sebarang majlis bersama ulama sehingga cita-cita akhirat menjadi kabur dan samar.

Inilah cabaran untuk belajar agama dalam keadaan anda terikat dengan komitmen yang besar. Bukan mudah untuk seimbangkan pengajian agama dengan tanggungjawab2 lain yang anda sedang pikul. Saya sendiri masih belajar untuk buat keseimbangan yang adil.

Saya kira dengan memperuntukkan masa untuk baca sendiri pengajian agama paling kurang beberapa minit setiap hari sekurang-kurangnya akan sentiasa menghidupkan dan tidak mematikan cita-cita untuk mendalami agama dalam keadaan masa yang ada sangat terhad.

Persediaan masuk hospital tahun depan.

Kalau tidak ada halangan insya-Allah kami akan masuk berkhidmat pada bulan julai tahun depan. Ini berdasarkan kepada kebiasaan graduan universiti mansurah sebelum ini.

Masih banyak lagi persiapan yang mesti dibuat. 10 bulan terakhir sebelum masuk berkhidmat sangat bernilai. Sebaiknya masa yang berbaki ini digunakan untuk tampung mana-mana kekurangan dalam pengetahuan perubatan.

Ini sahaja sudah cukup untuk mengambil masa dan komitmen anda setiap hari. Masa yang diambil untuk tampung pengetahuan perubatan berkadar langsung dengan berapa banyak lubang yang anda mesti tampung.

Kerana itu sepanjang 10 bulan yang crucial ni saya hanya mampu rancang untuk baca sendiri pengajian agama selama beberapa minit setiap hari dan cuba untuk ikuti talaqi 2 minggu sekali atau sebulan sekali atau beberapa waktu sekali mengikut kelapangan yang ada.

Masa selebihnya ialah untuk exam tahun akhir dan buat persiapan bermain dengan nyawa manusia pada tahun hadapan.

Tanggungjawab yang besar.

Beberapa lintasan tajuk.

Saya berniat untuk menulis tentang beberapa perkara sekiranya diizinkan Allah.

Pertama tentang bagaimana menyusun mata pelajaran agama mengikut prioriti. Sangat lama untuk saya sedar tentang perkara ni. Saya kira saya belajar tentang hal ini the hardest way. Satu perkara yang sangat penting kerana sangat tidak efisien sekiranya kita hadir semua majlis pengajian agama yang ada di tempat kita sedangkan kita tidak tahu apa yang perlu dipelajari terlebih dahulu. Apatah lagi sekiranya kita tidak tahu apa yang kita cari.

Kedua saya berhajat untuk menulis tentang Sheikh Mahmud Al Abidi iaitu imam masjid jamal dan beberapa pengalaman saya melihat bagaimana masjid jamal mampu menjadi satu institusi dakwah yang sangat efektif di mansurah.

insya-Allah.

Akhir sekali saya berdoa semoga Allah berkati setiap masa kita dan membuka jalan untuk kita mendalami dan memahami agama Islam dengan ilmu dan petunjuk para ulama yang muktabar.

Amin.

Wednesday 27 August 2014

Blog baru ; Fiqh dan Perubatan.

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan memohon petunjuk dan hidayah dari Allah Taala, saya menjemput pembaca sekalian untuk meneliti tulisan saya pada blog baru saya ; Fiqh dan perubatan

Blog baru ini insya-Allah saya fokuskan pada tulisan sekitar tajuk fiqh perubatan dan apa sahaja yang berkait dengannya, insya-Allah. 

Semoga tulisan pada blog baru ini memberi manfaat kepada semua dan kepada diri saya di akhirat nanti, insya-Allah. 

Allahumma amin. 

Tuesday 26 August 2014

Hukum berubat dengan menggunakan insulin yang diekstrak daripada khinzir.



بسم الله الرحمن الرحيم


Hukum berubat dengan menggunakan insulin yang diekstrak daripada khinzir. 

Telah sepakat para fuqaha bahawa keseluruhan anggota khinzir adalah haram untuk dimakan dan digunakan untuk tujuan perubatan ketika dalam keadaan “ikhtiar” ( iaitu dalam keadaan mampu memilih dan bukan dalam keadaan darurat). 

Hukum yang diambil oleh para fuqaha ini boleh jadi kerana salah satu daripada 2 sebab.

Sebab yang pertama adalah kerana seorang muslim itu diharamkan daripada berubat dengan ubat-ubatan yang diambil daripada perkara yang diharamkan. Kerana telah sepakat para ulama bahawa seluruh anggota tubuh khinzir adalah haram dimakan, dan ini termasuk pankreas, iaitu organ yang diekstrak untuk diambil insulin.

Sebab yang kedua adalah kerana seorang muslim itu diharamkan daripada menggunakan ubat-ubatan yang diambil daripada bahan-bahan najis. Kerana telah sepakat para ulama bahawa seluruh anggota tubuh khinzir adalah najis, dan ini termasuk pankreas iaitu organ yang diekstrak untuk diambil insulin.  

Para fuqaha berselisih pandangan tentang berubat dengan menggunakan bahan yang diharamkan dan bahan bernajis kepada 2 pandangan.

Pandangan pertama : ulama yang berpandangan bahawa harus hukumnya untuk berubat dengan menggunakan bahan yang diharamkan dan bahan bernajis. 

Pandangan ini dipegang oleh sebahagian ulama mazhab Hanafi yang berpandangan harus untuk berubat dengan perkara haram, sekiranya dimaklumkan oleh seorang doktor muslim bahawa bahan haram tadi mampu untuk mengubati penyakitnya, dalam masa yang sama tidak ada ubat-ubatan halal lain yang mampu menyembuhkan penyakitnya. 

Pandangan yang sama juga dipegang oleh ulama mazhab Syafie yang mengatakan harus hukumnya untuk berubat dengan ubat-ubatan yang ada bahan najis yang tidak memabukkan dengan mematuhi beberapa syarat berikut :

      1.       Tidak ada ubat-ubatan halal dan bersih yang dapat mengubati penyakitnya.
      2.       Hendaklah orang yang mengubati (doktor) itu tahu tentang disiplin ilmu perubatan dan dia tahu bahawa penyakit itu tidak akan dapat sembuh melainkan jika terpaksa menggunakan ubat tersebut.
      3.       Telah terbukti sebelumnya bahawa ubat tersebut adalah berkesan sama ada melalui eksperimen atau pengalaman perubatan, ataupun diberitahu oleh seorang doktor muslim tentang mujarab ubat tersebut. 

Pandangan yang sama juga dipegang oleh ulama mazhab Zahiriah. Mereka berpandangan adalah harus untuk berubat dengan menggunakan bahan haram atau bahan najis, sama ada bahan itu diambil daripada khinzir atau bangkai, atau diambil daripada darah atau arak. 


Pandangan kedua : ulama yang berpandangan bahawa haram berubat dengan bahan-bahan najis.

Pandangan ini dipegang oleh jumhur ulama mazhab Hanafi.

Manakala bagi ulama mazhab Maliki pula, mereka berpandangan bahawa diharuskan untuk berubat dengan bahan najis sama ada untuk anggota luar badan atau anggota dalam, dan tidak dibenarkan untuk berubat dengan perkara-perkara yang haram. Pendapat yang sama juga dipegang oleh sebahagian ulama mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, Imam An Nawawi mengatakan bahawa pandangan ini adalah pandangan yang pelik, kerana sesungguhnya adalah haram secara mutlak untuk berubat dengan bahan-bahan najis. 

Mazhab Hanbali juga berpandangan bahawa haram hukumnya untuk berubat dengan bahan-bahan yang diharamkan. 

Allahu a'lam.

Disediakan oleh :
Muhammad Nabil bin Abdullah
Tahun 6 Fakulti Perubatan Universiti Mansurah.
 
Rujukan :  

مواد نجسة في الغذاء والدواء , بحث فقهي مقارن , الأستاذ الدكتور عبدالفتاح محمود إدريس


Wednesday 12 February 2014

Diskusi masalah haid, nifas, dan istihadah.

Alhamdulilla, telah sempurna diskusi kertas kerja berkaitan haid, nifas dan istihadah oleh Al Fadhil Ustaz Fakhrullah, graduan Kuliah Syariah dari Universiti Tanta.

Diskusi yang sangat bermanfaat. Berguna terutama bagi pelajar yang sedang dalam round Obstetrics dan Gynaecology.

Fokus utama pembentangan adalah untuk memahami masalah haid, nifas dan istihadah dalam mazhab Syafie, bagaimanapun turut dibuka kepada perbandingan antara mazhab-mazhab yang berbeza untuk memberi lebih banyak pilihan dalam beramal terutama ketika berhadapan dengan kesulitan atau darurat.

Semoga Allah terima segala amalan kita.

Daurah kutab Pati Muniyatul Musolli

Alhamdulillah, telah sempurna daurah bacaan kitab Pati Muniyatul Musolli di DPM Tanta.

Program yang bermanfaat, mendedahkan para pelajar dengan kitab Jawi warisan ulama Nusantara.
Kitab ini ialah asas kepada fiqh solat dalam mazhab Syafie dan fiqh inilah yang banyak diamalkan di Tanah Melayu.

Semoga amalan yang dilakukan oleh kita semua adalah ikhlas kerana Allah Taala.

Monday 10 February 2014

Sahabat sahabat baru.

InsyaAllah saya akan perkenalkan sahabat sahabat baru saya, iaitu buku2 yang saya beli di Maarad Lilkitab baru2 ni. Semua sekali 16 judul Alhamdulillah.

Saya meyakini bahawa buku ialah sebaik2 teman. Kawan yang tidak pernah cemburu dengan kita. Tidak jemu dengan kita sehinggalah kita yang jemu kepadanya. Teman yang pandai menjaga segala aib dan rahsia kita. Teman yang mampu memberi nasihat yang paling baik yang ketika kita sangat berhajat. Teman yang setia dan teman yang tidak pernah membosankan.

Inilah sebaik2 teman.

InsyaAllah, berikan saya sedikit masa dan saya akan perkenalkan mereka semua. Kesemua 16 judul itu ialah dalam bidang fiqh perubatan. Ini sebahagian daripada mereka.

Hukum mengambil suntikan vaccine

Pendapat ini saya temui dalam buku ' Al Mausu'ah At Tibbiyyah Al Fiqhiyyah' susunan oleh Dr. Ahmad Muhammad Kan'an.

"Hukum mengambil suntikan vaccine adalah harus di sisi syara dan dikira sebagai salah satu daripada cara rawatan."

"Bahkan kami berpandangan bahawa hukumnya adalah sunat berdasarkan kepada faedahnya yang telah terbukti dalam menjaga individu dan masyarakat daripada bahaya penyakit berjangkit (epidemics)."

Komentar saya : Dalam menjelaskan pendapat ini penulis buku ini tidak menyatakan secara jelas sumber rujukan kepada hukum ini yang mengatakan harus dan sunat. Allahu a'lam.

Thursday 6 February 2014

Bagaimana untuk istighfar 1000x sehari?

Satu lintasan idea..

Bagaimana untuk dapatkan 1000x istighfar sehari?

1. Ada tasbih samada elektronik atau biji.
2. Tetapkan masjid sederhana jauh untuk solat fardhu 5 waktu.
3. Azam untuk beristighfar 100x semasa perjalanan pergi dan 100x semasa perjalanan balik.

Bermaksud satu solat fardhu ialah 200x istighfar. 200 istighfar x 5 solat fardhu = 1000x istighfar.

Tidak ada daya dan upaya melainkan dari Allah..

Wednesday 5 February 2014

Maarad kutub.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Dengan izinnya saya dapat miliki 2 buah kitab yang sangat baik.

Pertama ialah kitab Al Futuhat Ar Rabbaniyyah, iaitu syarah kepada kitab Al Azkar. Kitab ni sudah bertahun tahun saya dengar tapi tidak berpeuang untuk miliki.

Semalam semasa ke Maarad Kitab secara kebetulan saya terjumpa dengan kitab ni terbitan Darul Kutubul Ilmiah. Mulanya saya teragak-agak untuk beli kerana mengharapkan ada cetakan daripada maktabah lain. Bila dicari-cari dari satu maktabah ke satu maktabah dan saya dapati tidak banyak maktabah yang jual akhirnya saya ambil keputusan untuk beli cetakan ni. Alhamdulillah.

Buku kedua ialah buku Al Mausuah At Tibbiyah Al Fiqhiyyah iaitu buku berkenaan hukum hakam fiqh dalam bidang perubatan. Sebenarnya inilah tujuan saya ke maarad kutub tahun ni. Hampir seluruh kawasan maarad saya terokai tapi tak jumpa. Sebelum melangkah balik saya buat keputusan untuk masuk kali terakhir ke Maktabah At Taufiqiyyah dengan niat untuk cari cetakan lain Al Futuhat Ar Rabbaniyyah. Sambil menunggu tuan kedai ambilkan buku Al Futuhat saya belek2 buku yang ada dan Alhamdulillah akhirnya berjaya temui kitab ni.

Friday 31 January 2014

Buku baik

Alhamdulillah dengan rahmat dari Allah subhanahu wataala saya mendapat satu buku yang sangat baik.

Tulisan ini ialah kerana meraikan perasaan gembira bertemu dengan buku ini.

Saya sudah baca dan teliti satu bab dan saya temui manfaat yang sangat banyak. Banyak persoalan tentang hukum hakam fiqh perubatan dijawab dengan hujah yang memberi kepuasan. Bahasa yang digunakan sangat mudah. Perbincangan didatangkan dengan pendapat yang pelbagai lalu dibuat kesimpulan pendapat mana yang harus dipegang.

InsyaAllah saya akan cuba buat ringkasan untuk dikongsi di sini.

Benarlah jika ada yang mengatakan satu buku yang baik lebih bernilai daripada dunia dan segala isinya.

Sunday 26 January 2014

Maksud jihad menurut pandangan Sheikh Abdullah Nasih Ulwan rahimahullah.

بسم الله الرحمن الرحيم



Maksud seruan “ jihad ialah jalan kami ” :


Memberi sepenuh kesungguhan yang kamu ada, dan setiap kelapangan yang kamu miliki, untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi, serta menghilangkan taghut-taghut yang berada di sepanjang jalan dakwah.

Pembahagian jihad :


1. Jihad harta  (الجهاد المالي)
2. Jihad menyampaikan  ( الجهاد التبليغي)
3. Jihad mengajarkan ilmu  ( الجهاد التعليمي)
4.  Jihad politik  ( الجهاد السياسي)
5. Jihad peperangan  ( الجهاد القتالي)


Jihad harta  (الجهاد المالي)


Jihad harta menurut pandangan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan rahimahullah ialah jihad yang paling penting yang menjadi tunjang kepada jihad-jihad yang lain.

Kerana Jihad At Tablighi dan Jihad At Ta’limi memerlukan kepada harta untuk menyediakan kitab, majalah, akhbar, dan perbelanjaan untuk menyebarkan kefahaman tentang Islam.


Begitu juga Jihad As Siyasi dan Jihad Al Qitali memerlukan kepada harta untuk mengumpul kekuatan, untuk perbelanjaan senjata dan sebagainya.


Sekiranya jihad harta tidak ditunaikan dengan baik maka seluruh jihad yang lain akan terhenti dan tergendala.


Kerana itu orang-orang yang berkemampuan daripada kalangan Muslimin hendaklah menunaikan tanggungjawab mereka untuk menginfaqkan harta mereka kepada perjuangan Islam.


Bukti bahawa Jihad harta ialah satu jihad yang besar ialah apabila perkataan jihad dengan harta pada beberapa tempat dalam Al Quran akan disertakan dengan jihad dengan nyawa.


 “ Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. ” At Taubah, 111.


“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dalam keadaan berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. ” At Taubah, 41.


Kerana itu hendaklah kita memperuntukkan sebahagian daripada rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untuk diinfaqkan kepada perjuangan Islam.


Allahu a'lam.


Rujukan :
 Hatta Ya'lama Asy Syabab.


Sunday 19 January 2014

Majlis para ulama

Alhamdulillah..

Saya temui jawapan kepada persoalan, iaitu kenapa banyak ilmu yang kita tahu samada akhlak atau ibadat tapi tak banyak yang kita mampu amalkan?

Saya dapati berada dalam majlis bersama ulama lebih mujarab untuk bersihkan hati kita daripada sifat takabbur atau malas beribadat,  berbanding kita hanya baca daripada buku.

Dengan melihat wajah mereka, mendengar suara mereka, memerhati pergaulan dan akhlak sesama mereka, lebih kuat memberi kesan kepada hati kita untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia dan lebih bersungguh dalam beribadat.

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...