Sunday 22 January 2012

The Art Of War.





The Art Of War ialah sebuah buku hebat berkenaan strategi peperangan ditulis oleh Sun Tzu seorang panglima perang dan ahli falsafah berbangsa China, diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Lionel Giles. Buku ini berkenaan strategi peperangan namun yang istimewa ialah idea dan prinsip yang diajar oleh Sun Tzu turut digunakan dalam strategi pemasaran.

Baru-baru ini kami ahli rumah bertiga ambil bahagian dalam jualan pada Hari Usahawan Medik. Pengalaman masing-masing dalam persatuan diguna dalam perniagaan kali ini. 

Kemahiran merangka strategi, kebolehan memanfaatkan sumber yang ada, kemampuan untuk mengurangkan kos dan risiko dengan untung yang maksimum, bagaimana menempatkan produk kami dalam persaingan yang sengit, kemahiran menilai peluang dan ancaman, tidak takut mengubah strategi atau fleksibiliti jika mengesan sebarang bahaya, tetap dalam satu perancangan sehingga datang perancangan yang lain, kepentingan post mortem, dan kemahiran-kemahiran yang lain.

Bunyinya seperti mahu bersaing dengan syarikat Apple atau Microsoft padahal kami cuma jual dadih saja :)

Hal ini menyedarkan kami satu perkara, iaitu kebolehan memanfaatkan satu jenis ilmu untuk digunakan dalam situasi yang pelbagai.

Berapalah sangat untung jualan dadih kami jika dibandingkan dengan untung jualan Nasi Ayam Hainanese atau Sate Shis Thowuk  atau Nasi Tomato rakan-rakan kami yang lain, apatah lagi kalau banding dengan keuntungan rakan-rakan kami yang berjaya mengurus pelanggan untuk tunai umrah di Mekah atau perniagaan-perniagaan yang lain. 

Dikelilingi oleh mereka yang lebih berjaya menyedarkan kami satu lagi perkara.

Kita tidak perlu tunggu nikmat yang besar untuk mengucap puji kepada Allah.

Alhamdulillah.


Friday 20 January 2012

Konvoi ke tempat tuju.




Dulu masa di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, ada seorang akhi beri tazkirah tentang kafilah dakwah. Kali pertama dengar perkataan ini, saya gagal mengagak apa sebenarnya yang mahu disampaikan. 

Katanya dakwah ini ibarat kafilah dagang. Kafilah ini akan terus bergerak ke destinasi tidak tunggu sesiapa. Siapa yang ikut dia akan untung dan siapa yang tidak maka kafilah tidak pernah rugi.

Saya tidak pandang berat dengan kenyataan ini sehinggalah datang beberapa situasi.

Orang panggil mesyuarat, orang ajak usrah, orang minta bagi pengisian, orang minta jadi AJK apa-apa program, orang itu ini dan begitu begini. Kafilah mengharapkan jawapan positif daripada kita tetapi yang sering keluar ialah negatif. 

Anda boleh agak rasanya apa yang akan berlaku seterusnya selepas banyak kali dihampakan. Kafilah akan terus bergerak sama ada kita ada di dalamnya atau tidak, dan tempat kita itu akan sentiasa ada orang yang lebih baik untuk ganti.

Tidak mesti terima semua di atas kerana kita juga ada limitasi dan kita lebih kenal kemampuan diri sendiri. Yang penting kita jujur terhadap diri dan kafilah ini dengan harapan kita akan istiqamah.

 “Kita tidak tahu kita istiqamah atau tidak atas jalan ini melainkan selepas kita mati.”
                                        -Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.


Wednesday 18 January 2012

Dunia persatuan.




Terlibat dalam persatuan, salah satu kelebihan yang diperoleh ialah bertemu dengan ragam manusia yang macam-macam, dan diri kita sendiri menjadi penyumbang kepada ragam yang pelbagai itu.

Ada yang menyejukkan hati dan ada yang sebaliknya, dan semua ini memberi warna dan rasa kepada hidup.

Kemungkinan ada dua, sama ada kita sabar dengan sikap orang lain atau sebenarnya orang lain yang bersabar dengan sikap kita.

Tidak apa kalau kita terpaksa sabar dengan sikap orang lain asal jangan orang lain yang terpaksa sabar dengan sikap kita. 

Sebab kita tidak mampu kawal sikap manusia terhadap kita tapi kita masih mampu kawal sikap kita terhadap sikap manusia.

Dunia luar pun sama.

Hidup ini ialah sabar dan kita terpaksa senyum.

=)


Tuesday 17 January 2012

Surah Terminat.





Ammu Abdul Majid, tuan rumah masa kami tinggal di Bait Zulmasjidain ketika tahun satu dulu pernah tanya kami satu soalan.  

 “Apakah surah dalam Al Quran yang kamu paling suka?”

Saya tidak dapat jawab pada waktu itu, kerana tidak pernah terlintas ditanya soalan seperti ini dan saya sendiri tidak tahu apakah surah yang saya paling minat.

Saya boleh jawab dengan lancar kalau orang tanya apa makanan kegemaran kamu, atau apa tempat yang kamu suka lawati, atau apakah buku yang kamu suka baca, dan soalan yang seumpama. Bahkan saya boleh beri beberapa jawapan kalau mahu.

Tapi untuk jawab soalan yang satu ini rasa seperti seorang budak darjah satu disuruh jawab soalan Matematik Tambahan.

Tidak pasti adakah sebab kejahilan saya yang tidak faham maksud ayat-ayat Allah, atau saya faham sebenarnya tapi tidak mahu menghargai, atau mata saya yang tidak nampak tinggi mana sebenarnya nilai sebuah kitab suci ini.

Baru saya sedar rupa-rupanya saya tidak adil terhadap kitab Allah, kerana bila tidak dapat jawab soalan ini seolah-olah tidak ada satu surah pun dalam Al Quran yang menarik minat saya, sedangkan pada hari akhirat nanti kitab inilah antara syafaat yang diharap-harapkan.

Sudah beberapa tahun tidak jumpa dengan ammu Abdul Majid, dan kalau jumpa dengan dia nanti harapnya saya sudah ada jawapan.



Thursday 12 January 2012

Tsaqafah Daieyyah Medik.



28 dan 29 Januari 2012 nanti akan ada LIFE untuk pelajar-pelajar tahun satu. Salah satu tajuk yang akan dibentangkan ialah tajuk Tsaqafah Daieyyah.

 


Dulu masa saya tahun satu dan dua ada sertai program Kolokium Ilmuwan yang DPMM (Dewan Perwakilan Mahasiswa Mahasiswi Mansurah) anjurkan. Kami dibentangkan dengan tajuk ini.

Nak tengok apakah ilmu yang mesti ada bagi para daie? 

Pembaca boleh baca tulisan saya sebelum ini.

Saya pernah tanya soalan kepada pembentang yang bentang kepada kami tajuk ini dahulu. 

“Adakah logik kami pelajar perubatan untuk kuasai semua ilmu ini? Dalam masa yang sama pelajaran di kuliah perubatan bukanlah sedikit.”

Balasan daripada pembentang.

“Tidak mustahil sekiranya anda susun masa anda dengan baik.”

Huraian berhenti di situ. 

Selepas beberapa tahun, sekarang, saya cuba menilai semula kenyataan pembentang itu terhadap ilmu-ilmu yang mesti dikuasai oleh pelajar perubatan yang terlibat dalam kerja Islam.

1.Silibus ini mudah dan tidak mudah. 

Tidak mudah bila kita mahu belajar secara terperinci sehingga perbahasan perkara-perkara cabang dan furu'.

Mudah apabila perbincangan setiap cabang ilmu itu dikecilkan dan hanya menyentuh perbahasan yang pernting sahaja sekadar mendapat gambaran dan idea secara kasar.

Adapun perbincangan secara dalam ini sebenarnya hanya ditekuni oleh ahli dalam bidang masing-masing.

2.Selit sedikit masa pada musim kuliah.

Kalau mahu belajar agama pada musim kuliah sedang rancak, saya cadangkan ambil beberapa jam sahaja dalam masa seminggu atau dua minggu.

Yang penting, jangan tidak ada langsung dan kalau ada, dalam dos yang sesuai.

Berbeza mengikut keberanian dan kegagahan masing-masing.

3.Tumpu pada waktu cuti.

Boleh pilih sama ada pada cuti winter atau cuti summer. Pada waktu ini silakan untuk tadah kitab dari pagi sampai pagi esok sekalipun.

Antara risiko yang kena pertimbangkan;

Sibuk dengan banyak aktiviti musim cuti sehingga lupa dengan cita-cita ini. Cita-cita tinggi ini akhirnya bertukar jadi angan-angan yang rendah.

4.Siapa yang akan ajar?

Pelajar perubatan boleh belajar daripada Syeikh Al Azhar kalau mahu. Cuma pastikan bahasa Arab fushah dan ammiyyah berfungsi dengan baik. Kalau bahasa Arab masih lemah tidak ada masalah kerana boleh baiki dari masa ke masa.

Antara risiko yang mesti difikirkan ialah perbincangan para ulama Al Azhar selalunya perbincangan tajuk yang tinggi di samping huraian yang dalam dan luas sesuai dengan tahap ilmu dan majlis ilmu yang mereka kendalikan. Walaupun begitu masih ada majlis ilmu yang dibuka untuk orang awam. Pelajar perubatan yang ada asas agama masih boleh faham walaupun tidak semua. 

Salah satu tips yang diwarisi daripada abang-abang lama ialah tanya kepada rakan yang faham selepas selesai setiap majlis ilmu bersama ulama. Sebab itu pelajar perubatan yang mahu masuk ke majlis para ulama Al Azhar sebaik-baiknya cuba bawa rakan-rakan daripada pengajian agama.

Kalau pelajar jurusan agama yang ajar? 

Ini antara pilihan utama, dan saya rasa mula belajar asas-asas agama daripada pelajar- pelajar Malaysia yang mengambil jurusan agama di sini sangat membantu kepada kefahaman. Mungkin sebab bahasa Melayu yang digunakan, perbincangan yang tidak terlalu dalam dan luas, pengurusan masa yang lebih anjal dan lain-lain.

Antara kemungkinan yang mesti difikirkan ialah tidak semua pelajar Malaysia jurusan agama sudah kuasai silibus ini dengan baik kerana mereka juga dalam tempoh belajar. Antara lain mereka juga sibuk dengan kuliah dan pelbagai aktiviti persatuan.

Saya tidak tipu bila saya kata mencari guru atau pembimbing yang sanggup mengajar silibus agama ini antara cabaran terbesar yang dihadapi pelajar perubatan yang mahu belajar agama.

5.Mulakan dengan buku-buku yang ringkas dahulu.

Sebolehnya cuba elakkan daripada memulakan baca syarah (huraian kepada matan) sebelum matan, apatah lagi terus lompat baca hasyiah (huraian kepada syarah) sebelum selesai baca matan dan syarah. Keadaan ini kurang selamat untuk perahu-perahu kecil seperti kita.

Tidak mustahil sebenarnya semua ilmu ini boleh dikuasai sekiranya kita mengecilkan tajuk perbincangan dan memilih buku-buku yang ringkas bagi setiap cabang ilmu.

Sangat bagus juga kalau perbincangan setiap cabang ilmu hanya menggunakan kertas kerja yang sudah diringkaskan oleh sesiapa.

Boleh juga kalau ingin baca buku-buku besar tulisan ulama dengan bacaan secara cepat dan hanya menyentuh perbincangan yang penting sahaja seperti bacaan secara daurah kitab atau bedah buku.

Cara ini banyak menjimatkan masa tanpa mengurangkan kefahaman terhadap pelajaran walaupun tidak sedalam bacaan secara talaqqi. Sekurang-kurangnya kita sudah ada idea asas bagi setiap cabang ilmu.

Antara tahu sedikit dan tidak tahu langsung, saya pilih yang pertama.

6.Bukan syarat untuk habiskan silibus semasa pengajian 1st degree.

Bermaksud kalau tidak mampu untuk habiskan sejak tahun satu hingga tahun enam, kita masih ada masa selepas balik bekerja nanti.

Kalau betul orang kata masa kerja nanti sangat sibuk, mungkin boleh tadah kitab secara bulanan. Sebulan sekali atau beberapa kali dalam sebulan atau dwibulanan, bergantung pada tahap kesibukan waktu itu. 

Hal yang sama juga bagi mereka yang mahu sambung kepakaran dalam apa sahaja cabang ilmu perubatan nanti.

Konsep yang kita pegang ialah belajar agama ini bermula dari kita kecil dan berterusan sampai tiba waktu orang masukkan kita ke dalam liang lahad nanti. Tidak perlu tergesa-gesa.

Sekadar jangkaan masa depan.

7.Tsaqafah daieyyah versi medik.

Setakat ini belum ada lagi versi medik. Mungkin boleh dipertimbangkan dan disusun oleh mereka yang ahli.

Ini kalau kita mahu lihat hasil dalam masa enam tahun minimum pelajar perubatan di sini dengan mengambil kira beberapa faktor yang mendasari kebanyakan pelajar perubatan;

-Asas bahasa Arab sama ada rendah atau tidak ada langsung.
-Asas ilmu agama yang belajar masa sekolah dahulu tidak banyak. Walaupun dia lepasan sekolah agama sekalipun.
-Terlibat dalam pelbagai urusan lain yang memerlukan masa yang banyak juga. Sebagai contoh persatuan, mengikuti kelas tambahan perubatan, tunai haji atau umrah, urusan kahwin, melancong, dan lain-lain.  

Saya rasa masalah yang sama juga dihadapi oleh sebahagian kecil pelajar jurusan agama. Kalau berbeza pun dengan relatif yang sangat kecil.

Kalau hasil yang kita mahu bukan dalam tempoh masa enam tahun di sini bahkan tambahan masa bertahun-tahun seperti dalam item nombor 6 di atas, maka elok dikekalkan cadangan asal yang para ulama tetapkan.

8.Dahulukan dengan yang paling penting.

Seeloknya dimulakan dengan tiga ilmu fardhu ain yang wajib dikuasai oleh setiap mukallaf iaitu fiqh, akidah, dan tasawuf.

 Rumusan atau pandangan ini berdasarkan kepada situasi pelajar perubatan di Mesir. Walaupun begitu tetap boleh dinilai dan diaplikasi dalam situasi pembaca yang pelbagai.

Pembaca tidak ditegah daripada berbeza pendapat dengan saya.

8.Kalau tidak sempat habis semua silibus ini sebab kita mati dulu?

Sekurang-kurangnya kita sudah cuba yang terbaik.

Dan Allah tahu kita telah cuba.=)

Allahu a’lam.


Tsaqafah Daieyyah.

Tsaqafah daieyyah ialah antara ilmu pengetahuan yang mesti dimiliki oleh para pendakwah. Disiplin ilmu ini ada disusun oleh Dr Yusof Al Qaradhawi dalam buku beliau Tsaqafah Daieyyah dan ditulis juga oleh Saed Hawwa dalam buku beliau Jundullah Tsaqafan wa Akhlaqan.

Rujukan saya ialah kertas kerja LIFE, satu kertas kerja yang telah meringkaskan kedua-dua buah buku di atas. Saya pula cuba ringkaskan kertas kerja ini dengan tidak memasukkan senarai contoh yang panjang. 

Tsaqafah daieyyah yang telah disusun oleh Dr Yusof Al Qaradhawi ialah ;

1.Tsaqafah Islamiyyah (agama)

Bermaksud pengetahuan tentang Islam dari sudut manhaj, usul, dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya atau hasil daripadanya.

Pecahan daripada ilmu ini ialah;

-Al Quran dan tafsir.
-As Sunah An Nabawiyyah.
-Fiqh.
-Usul Fiqh.
-Tauhid atau aqidah.
-Falsafah Islam.

2.Tsaqafah tarikhiah (sejarah).

Sama ada sejarah umat Islam dan umat manusia secara umum.

3.Tsaqafah adabiah dan lughawiyah (sastera dan bahasa Arab).

Dari segi kefasihan, sastera seperti syair dan lain-lain. 

4.Tsaqafah Insaniah (kemanusiaan)

Pecahan daripada ilmu ini ialah :

-Ilmu psikologi.
-Ilmu kemasyarakatan.
-Ilmu ekonomi.
-Ilmu falsafah.
-Ilmu moral.
-Ilmu sejarah.
-Ilmu pendidikan.

5.Tsaqafah ‘ilmiah (sains).

Mengetahui ilmu ini tidak perlu secara mendalam. Cukup dengan asas-asas yang penting dan berkaitan dengan kepentingan dakwah.

Pecahan ilmu ini termasuklah:

-Fizik.
-Kimia.
-Biologi.
-Astronomi.
-Perubatan.
-Geologi.

6.Tsaqafah waqieyyah (isu semasa dan realiti umat Islam). 

Pecahan daripada ilmu ini ialah;

-Keadaan dunia umat Islam (geografi, ekonomi, politik, dan lain-lain).
-Kedudukan kuasa dunia yang memusuhi umat Islam (Yahudi, Kristian, komunis dan lain-lain).
-Kedudukan agama-agama selain Islam.
-Kedudukan blok-blok politik dunia (komunis, kapitalis, sosialis, demokratik, diktator, dan lain-lain).
-Keadaan institusi Islam seperti OIC dan lain-lain.
-Aliran pemikiran yang menentang Islam seperti Marxisme, liberalisme, kapitalisme, nasionalisme dan lain-lain.
-Kumpulan-kumpulan yang terseleweng dari Islam seperti Qadiani dan lain-lain.
-Realiti semasa yang wujud di tempat masing-masing.


Buku Tsaqafah Daieyyah tulisan Dr Yusof Al Qaradhawi. Saya tidak tahu saya minat beliau kecuali selepas sedar koleksi buku-buku tulisan beliau di atas rak buku lebih banyak berbanding penulis-penulis lain.



Tsaqafah daieyyah yang telah disusun oleh Saed Hawwa ialah ;

1.Ilmu usul yang tiga (Al Iman).

-Allah Taala.
-Ar Rasul SAW.
-Al Islam.

Saya rasa ketiga-tiga pecahan di atas ialah tajuk-tajuk buku yang ditulis oleh Saed Hawwa rahimahullah sendiri kerana memang beliau ada tulis buku-buku bertajuk di atas.

2.Al Quran dan ilmu-ilmunya.

Pecahan daripada ilmu-ilmu ini ialah:

-Nasakh dan mansukh.
-Asbab nuzul dan amkinah nuzul.
-Ghareeb Al Quran.
-Tafsir.

3.Hadis.

Dari segi riwayah dan dirayah.

4.Usul fiqh.

5.Akidah.

Dengan merujuk buku-buku yang muktamad serta mempelajari cabang-cabang yang bertentang dengan Islam seperti Muktazilah, Jabariyyah, dan lain-lain.

6.Akhlak.

7.Fiqh.

8.Sejarah umat Islam dan tamadunnya.

9.Bahasa Arab.

10.Cabaran dan perancangan musuh-musuh Islam.

11.Pengajian Islam semasa seperti:

-Tasawur asas Islam.
-Rukun-rukun Islam.
-Sistem ekonomi Islam.
-Sistem kemasyarakatan Islam.
-Sistem ketenteraan dan politik.
-Pendidikan.
-Aliran pemikiran yang bertentangan dengan Islam.
-Dan lain-lain.

Saya tidak masukkan beberapa contoh senarai buku yang dicadangkan oleh penulis untuk pendekkan tulisan ini.

12.Fiqh dakwah dan al Amal.

Ada 9 contoh buku yang dicadangkan oleh penulis. Juga saya tidak masukkan dengan tujuan yang sama.

Itu sahaja.

Bagaimana, banyak bukan?

Sebenarnya senarai lebih panjang kalau saya masukkan contoh-contoh buku yang dicadangkan oleh kedua-dua ulama ini.

Saya yakin para ulama berniat baik apabila menetapkan senarai yang panjang ini. Antara yang penting ialah supaya pendakwah yang menyebarkan Islam tahu apa yang sedang mereka sebarkan. 

Seseorang yang tidak memiliki sesuatu mustahil dapat memberi.  

Proses untuk mendapatkan ilmu ini perlukan kepada perancangan dan perbincangan daripada mereka yang tahu dari segi tempoh masa, kedalaman tajuk perbincangan bagi setiap cabang ilmu, dan hal-hal lain yang berkaitan, memandangkan keadaan yang melingkari seseorang tidak sama antara satu dengan yang lain.

Allahu a’lam.


Thursday 5 January 2012

Penchenta buku.


Lama dahulu, ada seorang ulama hadis dan sasterawan bernama Abul Hasan Al Qali terpaksa menjual sebuah buku yang disayanginya, lantaran kemiskinan yang ditanggung sehingga anak-anaknya menangis kerana kelaparan. Sebelum menjual buku itu, beliau menulis sebuah syair ini;

Aku bersamanya 20 tahun, kemudian aku menjualnya.
Sangatlah panjang kerinduanku kepadanya.
Aku tidak pernah menyangka bahawa akan menjualnya,
sekalipun hutang-hutangku menyeksaku dalam penjara.
Namun kerana kelemahan, kefakiran, dan puteri-puteriku yang masih kecil,
yang menangis memintaku,
maka aku pun rela melepaskannya.

Hari itu, ada seorang pelajar minta Dr Amr memberi penjelasan kepada kami tentang Sanson Image, salah satu perbincangan dalam pelajaran Ophthalmology

Dr Amr ialah doktor klinikal kami, seorang yang mempunyai hormat yang tinggi pada pesakit.

Memimpin tangan pesakit dari muka pintu dan mendudukkan dengan cermat di hadapan bilik kuliah, pesanan supaya kami melayan pesakit sebagai pesakit dan manusia, bahkan pernah meminta kami memberi tepukan kepada seorang pesakit yang kepedihan mata selepas ‘dikerjakan’ kami, sebagai tanda penghargaan.

Dr Amr bersetuju untuk memberi penjelasan tentang Sanson Image, cuma sahaja mood beliau tidak bagus pada hari itu. Konsep asas diterangkan sedikit demi sedikit, dengan bantuan lukisan pembiasan cahaya pada mata dan tiba-tiba, beliau menyebut tentang sebuah kebakaran yang berlaku di Kaherah 2 hari sebelum itu. 

Kebakaran telah memusnahkan Description of Egypt, sebuah buku besar lebih kurang 20 jilid berusia 3oo tahun, ditulis oleh seorang ilmuwan Perancis. Katanya buku ini turut memuatkan kajian tentang kanta mata (lens) orang Mesir pada waktu itu. 

Perkara inilah rupa-rupanya yang telah mengganggu mood beliau.

Nampaknya bagi para pencinta buku, hilang sepuluh orang kekasih lebih ringan daripada hilang sebuah buku. 

Semalam, kami secara rasminya telah menamatkan ophthalmology.

Para pencinta buku sedih kerana kehilangan sebuah buku, sementara kami susah hati kerana tidak ada lagi sesi bersama sang pencinta buku kami. 

Semoga guru-guru kami dilindungi Allah, dan langkah kami seterusnya dalam bimbingan-Nya. 


Dr Amr.
(gambar ini milik salah seorang rakan kuliah kami).



Wednesday 4 January 2012

Antara bahu dan amal Islami.

Terlibat dalam amal Islami, antara cubaan kritikal yang akan dihadapi ialah ujian persahabatan.

 Amanah amal Islami mesti dipikul bersama. Apabila salah seorang anggota cenderung menjauhkan diri dan cuma memikul amanah ini hanya pada bucu dan penjuru yang ringan, bebanan yang dipikul tidak akan seimbang. Akhirnya, ada bahu yang akan senget kerana bebanan ini.

Mungkin tanpa disedari, kitalah sebenarnya penyebab kepada bahu sahabat yang senget itu. Mungkin dalam situasi yang lain, bahu kita itulah sebenarnya yang sedang senget.

Kalaulah kita ialah penyebab itu, maka harus sentiasa muhasabah dan selalu pandang bahu sahabat-sahabat di sekeliling, takut-takut ada yang senget. Jika mampu dan kebetulan bahu masih kosong, tidak salah bahkan sebaik-baiknya minta supaya sedikit bebanan itu dipindahkan ke bahu kita. Mesti sahabat kita itu akan mengucapkan setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah atas nikmat persahabatan.

Kalaulah bahu kita itu yang sedang senget, carilah sesiapa sahaja sahabat yang memahami, kalau-kalau ada yang  sudi menumpangkan bahunya kepada kita. Kalaulah tidak ada yang memahami atau sebenarnya keadaan yang tidak memungkinkan, maka ingatlah sebenarnya kita masih ada Allah, Tuhan yang telah mengurniakan Nabi Harun kepada Nabi Musa sebagai teman dalam berdakwah.

Elakkan diri selincah mungkin daripada terkena batu api lontaran syaitan yang mahu merosakkan persahabatan, kerana amanah ini dipikul bukan kerana sesiapa, tetapi kerana keyakinan kita kepada kehidupan selepas kematian nanti. 



Monday 2 January 2012

Bimbingan Allah dalam belajar.

Belajar perubatan tidak sama dengan belajar agama.

Belajar cabang-cabang ilmu perubatan yang pelbagai juga tidak sama antara satu sama lain.

Untuk cemerlang dalam Forensic atau Community Medicine, cara yang digunakan tentu tidak sama dengan strategi yang disusun untuk mengejar kecemerlangan dalam Ophthalmology.

Beruntunglah mereka yang menjumpai cara yang terbaik untuk mendapat kecemerlangan dalam setiap cabang ilmu. Terhijab daripada menjumpai teknik yang betul dalam belajar ialah bala bagi pelajar. Kita berlindung dengan Allah daripada bala ini.

Nampaknya, kena selalu solat hajat supaya mendapat bimbingan Allah dalam belajar. Lidah kena selalu basah dengan istighfar supaya dosa tidak mengharamkan ilmu kepada kita. Harus juga mengambil petua daripada mereka yang sudah melalui, supaya diri kita semakin hampir dengan garisan hidayah.

Mengharapkan bimbingan Allah dalam belajar.

Sunday 1 January 2012

Memberi dan diberi.

Ramai orang yang di luar sana sudah menyumbang yang banyak kepada ummah.

Dalam kepala ada banyak sumbangan yang mahu dilakukan. Terbaru seorang sahabat baik mengajak untuk membuat Vlog. Katanya cara ini lebih berkesan dalam menyampaikan apa sahaja mesej. Cuti musim sejuk nanti pula ada program LIFE untuk pelajar-pelajar tahun satu. Ada projek menulis buku, ada yang ajak untuk buat daurah kitab (seakan bedah buku) dan lain-lain. 

Mereka yang terlibat dalam amal Islami tidak dapat melarikan diri daripada bercakap tentang Islam kepada masyarakat. Cubalah untuk lari nescaya anda tidak akan berjaya.

Cuma mesti berhati-hati, bercakap tentang Islam mahu tidak mahu mesti dilandasi dengan ilmu dan tasawur yang jelas tentang Islam, supaya dakwah yang dilakukan nanti membawa ke jalan yang betul bukan sebaliknya.

Saya cuba berdisiplin apabila bercakap tentang Islam dengan mematuhi dua perkara ini;

1.Menjaga amanah ilmu.

Bermaksud bercakap soal Islam hanya pada perkara yang kita yakin betul. Penting untuk kita pastikan bahawa ilmu yang ingin disampaikan itu berasal daripada sumber yang kukuh dan dipercayai, sama ada kitab rujukan yang diakui atau perkataan daripada para ulama sendiri.

Sebenarnya perkara yang kita yakin betul ini masih boleh dipersoalkan lagi. Kerana banyak keadaan kita yakin betul, rujukan yang kita lakukan juga berasal daripada sumber yang gagah, namun apabila dinilai oleh mereka yang ahli ternyata kefahaman kita tidak selari.

 Ini mungkin terjadi apabila kita cenderung membaca banyak bahan bacaan tanpa berdiskusi dan soal jawab tentang kefahaman kita dengan mereka yang ahli, dengan kata lain belajar tidak berguru. Berbincang dengan mereka yang ahli boleh dianggap sebagai pengesahan bahawa kefahaman kita itu adalah betul.

Saya sendiri cenderung melakukan kesalahan ini, terutama dalam masalah feqah. Kalaulah tidak ada diskusi dengan mereka yang ahli dalam bidang mereka, tentu saya masih lagi memegang beberapa pendapat yang saya rasa betul padahal salah disebabkan salah faham saya sendiri.

Kesimpulannya, kena berguru supaya amanah ilmu dapat dijaga dengan baik, dan supaya kita menyampaikan perkara yang betul tentang Islam.

2.Berhenti apabila sampai di sempadan.

Tidak malu mengaku kita tidak tahu, kerana tahu kita tidak tahu itu sendiri ialah ilmu.

Pernah dahulu ada yang minta supaya saya membuat perkongsian tentang perbincangan ilmu fiqh dalam satu majlis. Permintaan ini saya tolak mentah-mentah kerana saya tahu siapa saya dalam ilmu fiqh. 

Kemudian ada yang minta perkongsian tentang ilmu dakwah. Permintaan ini lebih ringan untuk diterima kerana perkongsian ini lebih kepada kisah dan pengajaran tanpa menyentuh perbahasan yang rumit tentang konsep dan dasar Islam, dalam masa yang sama tetap berhati-hati dalam berbicara supaya tidak melangkaui sempadan perkara yang saya tidak tahu. Konsep yang dipegang ialah berhenti jika tidak tahu.

Dua perkara di atas sebolehnya cuba untuk dipenuhi apabila bercakap tentang Islam sama ada melalui tulisan atau lisan.

Menilai antara memberi dan diberi, saya lebih suka untuk memperuntukkan masa diberi dan diajar ilmu oleh mereka yang ahli bermula dari asas, supaya kefahaman kita tentang Islam berdiri di atas tapak yang kukuh. Kalaulah yang paling asas itu ialah mengenal alif ba ta, maka saya memilih untuk bermula dari situ. 

Diikuti  dengan kefahaman yang jelas tentang ilmu fardu ain, kemudian ilmu-ilmu yang mesti dikuasai oleh mereka yang terlibat dalam amal Islami seperti yang digariskan oleh para ulama dalam banyak buku tentang thaqafah daieyyah iaitu ilmu asas yang mesti dimiliki oleh pendakwah. (Saya tidak rasa saya ialah pendakwah kerana selepas dinilai, ternyata saya tidak mempunyai sifat-sifat daie. Saya ialah antara orang yang mahu berkawan dengan mereka.)

Perjalanan ini nampak panjang bukan? Tapi inilah yang disebut oleh Imam As Syafie tentang salah satu syarat untuk mendapatkan ilmu iaitu mesti dalam masa yang lama (tuulul zaman). 

Ini belum lagi dikira buku-buku wajib yang mesti dibaca oleh pelajar perubatan sebagai persediaan untuk menjadi seorang doktor yang ‘selamat’ nanti.

Belajar ini memang dari mahdi hingga ke lahdi.

Melihat perlumbaan sekeliling dalam mencari saham pahala menyebarkan Islam dan berdakwah, saya memujuk diri supaya bersabar dan memperuntukkan sebahagian besar masa untuk mencari ilmu, supaya Islam yang disebarkan nanti adalah betul bukan semakin mengelirukan diri dan masyarakat.

Dalam masa yang sama membuka beberapa ruang untuk menyampaikan beberapa ilmu yang berjaya diperoleh. Itu pun selepas dinilai dengan berhati-hati adakah sudah betul-betul tahu perkara yang mahu disampaikan itu.

Menunggu ilmu penuh di dada dahulu sebelum menyampaikan Islam bermaksud menunggu malaikat Israfil meniup sangkakala dahulu sebelum mula berdakwah. Cara yang baik ialah menetapkan nisbah yang seimbang antara memberi dan diberi. 

Menulis di ruangan ini juga saya kira sebagai salah satu usaha untuk mengesan kesilapan saya dalam apa sahaja perkara. Pembaca bebas untuk menegur dan membetulkan kesalahan saya.

Bersedia untuk diajar,
Akhukum.




Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...