Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Sunday, 26 January 2014

Maksud jihad menurut pandangan Sheikh Abdullah Nasih Ulwan rahimahullah.

بسم الله الرحمن الرحيم



Maksud seruan “ jihad ialah jalan kami ” :


Memberi sepenuh kesungguhan yang kamu ada, dan setiap kelapangan yang kamu miliki, untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi, serta menghilangkan taghut-taghut yang berada di sepanjang jalan dakwah.

Pembahagian jihad :


1. Jihad harta  (الجهاد المالي)
2. Jihad menyampaikan  ( الجهاد التبليغي)
3. Jihad mengajarkan ilmu  ( الجهاد التعليمي)
4.  Jihad politik  ( الجهاد السياسي)
5. Jihad peperangan  ( الجهاد القتالي)


Jihad harta  (الجهاد المالي)


Jihad harta menurut pandangan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan rahimahullah ialah jihad yang paling penting yang menjadi tunjang kepada jihad-jihad yang lain.

Kerana Jihad At Tablighi dan Jihad At Ta’limi memerlukan kepada harta untuk menyediakan kitab, majalah, akhbar, dan perbelanjaan untuk menyebarkan kefahaman tentang Islam.


Begitu juga Jihad As Siyasi dan Jihad Al Qitali memerlukan kepada harta untuk mengumpul kekuatan, untuk perbelanjaan senjata dan sebagainya.


Sekiranya jihad harta tidak ditunaikan dengan baik maka seluruh jihad yang lain akan terhenti dan tergendala.


Kerana itu orang-orang yang berkemampuan daripada kalangan Muslimin hendaklah menunaikan tanggungjawab mereka untuk menginfaqkan harta mereka kepada perjuangan Islam.


Bukti bahawa Jihad harta ialah satu jihad yang besar ialah apabila perkataan jihad dengan harta pada beberapa tempat dalam Al Quran akan disertakan dengan jihad dengan nyawa.


 “ Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. ” At Taubah, 111.


“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dalam keadaan berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. ” At Taubah, 41.


Kerana itu hendaklah kita memperuntukkan sebahagian daripada rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untuk diinfaqkan kepada perjuangan Islam.


Allahu a'lam.


Rujukan :
 Hatta Ya'lama Asy Syabab.


Wednesday, 4 December 2013

Latihan, latihan, dan latihan.


 بسم الله الرحمن الرحيم


Katakan pada satu hari kita mendapat satu jemputan untuk menghadiri satu program tarbiah berbentuk ceramah dan pengisian selama 2 jam.


Pengisian selama 2 jam ini ialah pengisian tarbiah diisi dengan kata-kata semangat yang membangkit kesedaran, maklumat-maklumat atau ilmu tentang bagaimana meneruskan dakwah dan kefahaman terhadap agama Islam, atau perkembangan terkini yang berlaku kepada umat Islam dan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia.


2 jam ini ialah tarbiah. Tapi yang lebih ‘tarbiah’ daripada 2 jam ini ialah perjuangan yang mesti dilakukan untuk berada dalam majlis tarbiah selama 2 jam ini.


Melawan nafsu dengan membuang keenakan berada di rumah untuk ke program tarbiah ialah tarbiah. Latihan mengikhlaskan hati hadir ke program tarbiah kerana Allah semata-mata dan bukan kerana yang lain ialah satu tarbiah. Kalau program tarbiah ini berada di luar kawasan maka kesabaran berjam-jam semasa bermusafir itu ialah tarbiah. Perbelanjaan wang yang dikeluarkan untuk menghadiri program tarbiah ialah tarbiah. 

Katakan tiba-tiba pengisian yang diberikan tidak menepati selera kita maka latihan untuk kekal berada dalam sifat tawadhu dan tidak ujub dengan diri sendiri ialah tarbiah. Sabar menahan sakit urat dan lenguh badan kerana berjam-jam bersila atau bersimpuh juga ialah tarbiah.

Bagaimana pula kalau tiba-tiba datang satu bisikan yang bertanya, untuk apakah dilakukan semua ini?


Maka menjawab balik bisikan tersebut dengan mengatakan ini ialah jalan yang dilalui oleh Nabi SAW dan para sahabat RA, dan kita ingin melalui jalan yang sama semata-mata kerana cinta kita kepada mereka, serta cita-cita kita untuk mati di atas jalan ini kerana mati itu tidak semestinya tua, juga ialah tarbiah.


Maka, tarbiah bermula sebelum daripada program tarbiah berlangsung, semasa program tarbiah sedang dijalankan, dan sepanjang tempoh menunggu untuk ke program tarbiah yang seterusnya. 


Tidak ada daya dan kekuatan melainkan semuanya milik Allah.

( Rasanya setahun lebih saya simpan tulisan ini dalam koleksi draft. Semoga tulisan ini adalah kerana Allah.)


Tuesday, 3 December 2013

Proses mencari jawapan.



بسم الله الرحمن الرحيم



Di Masjid Jamal biasanya ada satu kumpulan yang duduk baca Al Quran selepas solat Subuh hingga masuk waktu solat Dhuha. Mereka ini kadang-kadang berbeza pandangan tentang satu2 isu. Sebagai contoh mereka pernah berbeza pandangan dalam masalah tajwid, masalah fiqh dalam solat dan kadang-kadang masalah politik Mesir. 


Bila timbul perdebatan tentang satu2 isu kadang2 perdebatan boleh berlanjutan sehingga mengambil masa yang panjang.


Kadang2 perdebatan itu dapat diselesaikan dengan baik. Kadang-kadang pula perdebatan itu menjadi panas sehingga mereka akan panggil imam kalau kebetulan pagi tersebut imam ada di masjid untuk terangkan perselisihan pendapat mereka. 


Di sini ada beberapa kemungkinan :


Situasi 1 :


Mereka berdebat pada isu yang kesemua ahli dalam tu tidak tahu. Mereka tahu yang mereka tidak tahu tapi mereka tetap berbahas tanpa berlandaskan kepada sumber ilmu yang betul. Akhirnya mereka berpegang pada jawapan yang tidak tepat. Mereka tidak berusaha untuk tanya kepada orang yang pakar dalam masalah tersebut, sebaliknya kekal berpegang kepada jawapan yang tidak betul itu sehingga membawa kepada amal yang tidak betul. 


Sebagai contoh kalau masalah itu ialah masalah tajwid maka bacaan Al Quran mereka akan salah. Kalau masalah itu ialah masalah fiqh dalam solat maka solat mereka mungkin tidak sah. Begitulah seterusnya.


Situasi 2 :


Mereka berdebat pada satu persoalan yang semua ahli dalam tu tidak tahu apakah sebenarnya jawapan yang betul. Mereka membuka ruang untuk masing-masing mengeluarkan pandangan menurut andaian sendiri tetapi mereka tidak berpegang kepada mana2 jawapan sebaliknya mereka kekalkan pandangan yang pelbagai itu sebagai satu hipotesis atau andaian jawapan. 


Mereka ambil masa untuk rujuk orang yang pakar untuk mendapatkan jawapan yang sebenar. Bila sudah ada jawapan daripada mereka yang pakar berdasarkan sumber ilmu yang betul maka mereka akan datang keesokan hari dan berkongsi dengan ahli yang lain tentang jawapan tadi. Dalam contoh di atas mereka bertanyakan persoalan yang sukar tadi kepada imam masjid.


Situasi 3 :


Salah seorang daripada mereka ialah pakar dalam bidang yang menjadi perselisihan. Sebagai contoh mereka berselisih pendapat tentang masalah bacaan tajwid dalam Al Quran. Salah seorang daripada mereka ialah guru Al Quran. Jadi, perselisihan pendapat tadi dapat dirungkaikan oleh guru Al Quran itu dengan baik pada masa itu juga. 


Komentar :


Perkara yang sama juga berlaku dalam kehidupan harian kita. Boleh jadi perkara ini turut berlaku dalam usrah yang kita bawa, atau group FB/whassup yang kita uruskan. 


Untuk situasi 1, jika kesemua ahli tidak tahu jawapan yang betul maka mereka mestilah merujuk persoalan tadi kepada orang yang tahu. Jawapan terbaik kepada persoalan yang kita tidak tahu ialah tidak tahu. Langkah yang mesti diambil ialah seperti dalam situasi 2. Salin persoalan tadi dan tanyakan kepada orang yang tahu.


Allahu a’lam.




Thursday, 8 August 2013

Bagaimana jika orang tidak hadir ke program dakwah yang kita anjur?


بسم الله الرحمن الرحيم



Bayangkan situasi ini.

Kita anjurkan satu program dakwah, kemudian kita jemput orang ramai untuk hadir. Tiba pada hari program, tidak ramai yang hadir. Bagaimana perasaan kita selaku penganjur?

Marah?

Merajuk?

Buat sindiran tajam sama ada pada status FB atau ketika berdepan dengan mereka yang tidak ikuti program dakwah kita?

Satu hari saya dengar tazkirah yang disampaikan oleh salah seorang ulama Al Azhar cawangan Mansurah. Kisah yang disampaikan ringkas saja iaitu kisah seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid Nabi SAW lalu dia buang air kecil dalam masjid. 

Kita tahu bagaimana perbezaan antara reaksi para sahabat dan reaksi Nabi SAW bila melihat keadaan itu. 

Kerana kesabaran Nabi SAW, lelaki itu semakin dekat dengan Islam.

Saya masih ingat ketika mula sampai di Mansurah. Abang-abang selalu jemput supaya saya hadiri program mereka. Ada yang saya pergi dan ada yang saya tidak sempat hadir. Mana-mana program yang saya hadiri mereka akan layan saya dengan baik. Mana-mana program yang saya terlepas, layanan mereka selepas itu tetap sama tidak berubah.

Tidak ada kata-kata sindiran pedas atau layanan yang dingin.

Ada baiknya kalau kita amati satu ayat daripada Surah Ali Imran ayat 159.

“ Maka berkat rahmat Allah engkau ( Nabi SAW ) berlaku lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu..” Ali Imran, ayat 159.

Sabar ialah kuncinya sedangkan perasaan marah hanya menjauhkan kita daripada sasaran dakwah.

Saya turut berpesan pada diri saya.

Allahu a’lam.


Saturday, 27 July 2013

Berangkatlah.



 بسم الله الرحمن الرحيم


Saya tukar title blog ini kepada perkataan “Infiru”, diambil daripada awal ayat 41 Surah At Taubah dengan maksud berangkatlah ke medan jihad, tidak lain tidak bukan sebagai satu pesanan kepada diri sendiri supaya sentiasa tetap atas jalan dakwah.


Masalah-masalah yang berlaku dalam hidup banyak memberi kesan kepada diri seorang pendakwah daripada berfungsi dengan baik. Lebih tidak baik, kesan tidak baik ini turut dirasai oleh ahli gerakan dakwah yang lain bahkan terhadap gerak kerja dakwah itu sendiri. 


Sebatang sahaja tiang yang patah boleh merosakkan struktur dan kestabilan sebuah rumah.  Sangat takut kalau-kalau kitalah tiang penyebab itu nauzubillah..


Mudah-mudahan tulisan pada blog ini dapat saya jadikan sebagai satu alat untuk saya kuatkan diri sendiri untuk sentiasa tetap berada atas jalan dakwah. Semoga anda juga mendapat kekuatan yang sama. 


Masih banyak tugasan dakwah yang mesti diselesaikan.


Tidak ada daya dan upaya melainkan semuanya dari Allah.


Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...