Thursday 13 October 2011

Maktabah Darus Salam.

Alhamdulillah, Maktabah Darus Salam  di Hayyu Sabie’ memang tidak mengecewakan. Kali ni dapat 3 buah buku yang menarik.    

1.العلاقات الجنسية في الإسلام.  
2.الشذوذ الجنسية عند المرأة.
3.من ايات الإعجاز العلمي للإنسان.

Dua buah buku di atas tentang masalah seksual menurut pandangan Islam dan satu buku lagi tentang I’jazul Ilmi. Harganya masih dikira murah jika dibandingkan dengan kedai buku di Malaysia.

Makan ikan bakar di Tawarji sahaja sudah mencecah LE 200 yang hanya kenyang untuk 3 jam. Apalah sangat melaburkan wang yang lebih rendah dari itu untuk kebaikan umat Islam. Yang pasti, pahala menyebarkan ilmu itu jariah sampai ke hari kiamat.

Memang masalah seks songsang ini sudah ada ilmuan Islam yang tulis. Tidak sia-sia bersangka baik dengan ulama kita. Sumber-sumber yang diperolehi setakat ini boleh tahan. Siapa sangka masalah homoseksual dan kaitannya dengan hak asasi manusia ada diulas oleh Dr Yusof Al Qaradhawi dalam buku beliau “Agama dan Politik”.

Asalnya buku ini dibeli kerana berbeza pendapat dengan teman-teman yang menolak politik sebagai salah satu komponen yang penting dalam menjaga agama. Kali ini tidak perlu lagi bertelagah kerana sudah mendapatkan pandangan seorang ulama yang berautoriti dan bukan sekadar hujah bersifat picisan.

Ada juga masalah homoseksual ini dibincangkan dalam buku الحلال والحرام في الإسلام   juga karya daripada Syeikh Al Qaradhawi.Kita umat Islam terhutang budi atas jasa beliau membimbing kita. Semoga Allah panjangkan usia As Syeikh.

Sebenarnya, beberapa informasi yang berjaya dikumpul ini masih belum cukup untuk memahami masalah seks songsang ini dengan baik. Masih banyak buku yang mesti ditelaah, maktabah-maktabah yang mesti disinggahi, dan para ulama dan ilmuwan yang mesti kita berhadap lutut dengan mereka.

Boleh saja suruh En. Google carikan semua maklumat ini, tapi menggunakan buku sebagai rujukan utama terutama yang ditulis oleh para ulama muktabar memberi lebih kepuasan. Semoga Allah sentiasa membuka jalan dan memandu kita untuk selesaikan masalah seks songsang yang sedang menimpa umat Islam.

Ketiga-tiga buku yang baru dibeli ini memang menyelerakan.Tapi, masih ada hidangan utama yang mesti dijamah. Buku-buku Forensic dan Community Medicine jika lama tidak dijamah akan merajuk. Buku-buku ini jika sudah merajuk sangatlah payah dipujuk.

Maktabah Darus Salam, selain menjadi medan kami mencari tulisan para ulama, juga menjadi tempat kami mencium tangan mereka.


Syeikh Usamah Al Azhari dan Ust ِAbdul Kadir.Rezeki kami pada hari itu dapat kucup tangan As Syeikh.

















Tuesday 4 October 2011

LGBT.


Terima kasih kepada Hj. Mohamed bin Desa, Peguam Negara yang dijemput sebagai panelis semasa Seminar Siasah Syar’iyyah baru-baru ini, kerana menyedarkan kami tentang realiti akhlak masyarakat kita.

Menurut beliau, golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, transeksual) telah menuntut daripada Mahkamah Persekutuan supaya membenarkan mereka mengamalkan seks songsang ini di dalam negara kita, atas nama hak asasi manusia.

Ada pula kes yang dilaporkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini berkenaan masalah cinta tiga segi sehingga membawa kepada pergaduhan besar. Menyedihkan, ketiga-tiga bucu segi tiga itu mempunyai jantina yang sama.

Menyedihkan lagi, mereka itu Muslim.

Apa kita nak buat?

Tidak tahu nak buat apa.Yang saya tahu, kita kena buat sesuatu.

Berderak-derak  di beberapa buah kedai buku sekitar bandar Kota Bharu, sambil mata liar mencari-cari buku tentang seks songsang agak tidak memberangsangkan. Dalam banyak-banyak kedai buku yang sempat disinggahi, hanya satu sahaja buku yang ada bincang tentang tajuk ini. Itu pun hanya satu bab kecil daripada banyak bab.

Mencari maklumat terutama pandangan agama tentang tajuk ini nampaknya agak mencabar. Harapannya, Maktabah Fayyad dan Maktabah Darus Salam di Mansurah dan Kaherah nanti tidak akan mengecewakan.
 
Sangat banyak rupanya ujian yang sedang menguji umat Islam kita sekarang ini. Untuk ambil tahu sahaja sudah tidak menang tangan, belum lagi dikira otak yang mesti diperah dan tenaga yang mesti dikerah untuk mencari ubat yang mujarab dan sesuai.

Mengharapkan bimbingan Allah.

 


Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...