Friday 3 October 2014

Talaqi dan tahun akhir.


Aktiviti bulan Ogos dan September 2014.

Tidak banyak pengajian agama yang sempat diikuti pada bulan September. Kebanyakan yang saya ikuti ialah majlis bacaan hadis di Masjid Jamal oleh Sheikh Mustafa Abu Sulaiman An Nadawi. Kami menggunakan kitab susunan Sheikh sendiri iaitu المسلسلات والدر الثمين والنوادر .

Kelas diadakan setiap 2 minggu sekali. Alhamdulillah kami diberi ijazah oleh Sheikh.

Itu saja seingatnya aktiviti pengajian agama yang sempat saya ikuti pada bulan Ogos dan September. Saya pernah berniat untuk ikuti pengajian bacaan hadis di rumah Sheikh Mustafa di Talkha pada hari Jumaat selepas solat maghrib tapi setakat ini belum ada kelapangan.

Niat yang hanya tinggal niat.

Ikhtiar sendiri.

Selebihnya saya peruntukkan masa 30 minit selepas subuh untuk ulang kaji pelajaran nahu dan menulis sedikit dalam masalah fikah perubatan dalam blog baru. Hanya 30 minit sahaja setiap hari. Ini saja komitmen yang mampu diberi buat masa sekarang. Tidak apalah. Sekurang-kurangnya pelajaran agama tidak ditinggalkan terus.

Mungkin kerana kekangan masa dan kesibukan dengan pengajian tahun akhir perubatan yang menuntut komitmen yang banyak sehingga akan terlepas pengajian agama selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya. Kosong daripada sebarang majlis bersama ulama sehingga cita-cita akhirat menjadi kabur dan samar.

Inilah cabaran untuk belajar agama dalam keadaan anda terikat dengan komitmen yang besar. Bukan mudah untuk seimbangkan pengajian agama dengan tanggungjawab2 lain yang anda sedang pikul. Saya sendiri masih belajar untuk buat keseimbangan yang adil.

Saya kira dengan memperuntukkan masa untuk baca sendiri pengajian agama paling kurang beberapa minit setiap hari sekurang-kurangnya akan sentiasa menghidupkan dan tidak mematikan cita-cita untuk mendalami agama dalam keadaan masa yang ada sangat terhad.

Persediaan masuk hospital tahun depan.

Kalau tidak ada halangan insya-Allah kami akan masuk berkhidmat pada bulan julai tahun depan. Ini berdasarkan kepada kebiasaan graduan universiti mansurah sebelum ini.

Masih banyak lagi persiapan yang mesti dibuat. 10 bulan terakhir sebelum masuk berkhidmat sangat bernilai. Sebaiknya masa yang berbaki ini digunakan untuk tampung mana-mana kekurangan dalam pengetahuan perubatan.

Ini sahaja sudah cukup untuk mengambil masa dan komitmen anda setiap hari. Masa yang diambil untuk tampung pengetahuan perubatan berkadar langsung dengan berapa banyak lubang yang anda mesti tampung.

Kerana itu sepanjang 10 bulan yang crucial ni saya hanya mampu rancang untuk baca sendiri pengajian agama selama beberapa minit setiap hari dan cuba untuk ikuti talaqi 2 minggu sekali atau sebulan sekali atau beberapa waktu sekali mengikut kelapangan yang ada.

Masa selebihnya ialah untuk exam tahun akhir dan buat persiapan bermain dengan nyawa manusia pada tahun hadapan.

Tanggungjawab yang besar.

Beberapa lintasan tajuk.

Saya berniat untuk menulis tentang beberapa perkara sekiranya diizinkan Allah.

Pertama tentang bagaimana menyusun mata pelajaran agama mengikut prioriti. Sangat lama untuk saya sedar tentang perkara ni. Saya kira saya belajar tentang hal ini the hardest way. Satu perkara yang sangat penting kerana sangat tidak efisien sekiranya kita hadir semua majlis pengajian agama yang ada di tempat kita sedangkan kita tidak tahu apa yang perlu dipelajari terlebih dahulu. Apatah lagi sekiranya kita tidak tahu apa yang kita cari.

Kedua saya berhajat untuk menulis tentang Sheikh Mahmud Al Abidi iaitu imam masjid jamal dan beberapa pengalaman saya melihat bagaimana masjid jamal mampu menjadi satu institusi dakwah yang sangat efektif di mansurah.

insya-Allah.

Akhir sekali saya berdoa semoga Allah berkati setiap masa kita dan membuka jalan untuk kita mendalami dan memahami agama Islam dengan ilmu dan petunjuk para ulama yang muktabar.

Amin.

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...