Sunday, 14 July 2013

Pengenalan Surah At Taubah.



 بسم الله الرحمن الرحيم

Tulisan ini akan dimuatkan dalam artikel IHRAM anjuran PCM sempena sambutan bulan Ramadhan. Alhamdulillah, proses menyiapkan artikel banyak memberi manfaat kepada saya kerana saya berpeluang membuat rujukan dan terdedah kepada banyak makluamt. 

 Saya juga menulis pengenalan untuk Surah Al Ahzab di sini : Pengenalan Surah Al Ahzab.

Semoga bermanfaat juga kepada semua.

Surah At Taubah.

Pengenalan :

1.       Surah ini ialah surah Madaniyyah diturunkan pada tahun 9 Hijrah, mengandungi 129 ayat dan merupakan antara surah-surah terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.

2.       Menurut Ibnu Kathir, awal surah ini diturunkan ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk. 

3.       Nabi SAW memerintahkan Sayidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan umat Islam untuk menunaikan haji di Makkah. Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Sayidina Ali untuk bersama-sama dengan rombongan Sayidina Abu Bakar ke Makkah untuk membacakan isi surah At Taubah kepada kaum musyrikin Makkah. Antara kandungan surah yang dibacakan oleh Sayidina Ali kepada kaum musyrikin ialah tentang hukum mereka (orang musyrikin ) tidak lagi dibenarkan mengerjakan haji selepas tahun itu ( selepas 9 Hijrah) dan hukum-hukum syariat yang lain.

4.       Peperangan Tabuk ialah peperangan untuk berhadapan dengan tentera Rome yang berlaku ketika musim yang sangat panas, perjalanan pula jauh, serta pada ketika itu buah-buahan sedang masak ranum menyebabkan manusia lebih suka tinggal di tempat masing-masing menikmati nikmat kehidupan. Ini menjadi ujian kepada orang-orang beriman sejauh mana keimanan mereka kepada Allah serta kepatuhan mereka kepada suruhan-Nya ketika perintah untuk berperang diisytiharkan kepada mereka.

Nama lain surah ini : 
 

1. براءة 
2. التوبة
3. المقشقشة
4. المبعشرة
5. المشردة
6. المخزية
7. الفاضحة
8. المثيرة
9. الحافرة
10. المنكلة
11. المدمدمة
12. العذاب
               
*Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa surah ini mempunyai 14 nama. Bagaimanapun, di sini hanya disertakan 12 sahaja nama daripada nama-nama tersebut.

Kenapa surah ini tidak dimulakan dengan basmalah?

Berkata Ibnu Abbas, “ Aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib kenapa surah bara’ah tidak ditulis Bismillahi rahmanirrahim? Beliau menjawab, kerana lafaz bismillahirrahmanirrahim ialah aman, dan surah bara’ah diturunkan dengan pedang yang tidak ada padanya aman.”

Berkata Sufyan bin Uyainah, “ Lafaz basmalah tidak ditulis pada permulaan surah ini kerana membaca basmalah adalah rahmat, dan rahmat adalah aman, sedangkan surah ini diturunkan tentang orang-orang munafiq dan dengan pedang, maka tidak ada keamanan bagi orang-orang munafiq. ”

Tujuan utama surah ini :

Menurut As Syeikh Dr Muhammad Ali As Sobuni, surah ini mempunyai 2 tujuan utama selain daripada tujuan-tujuannya yang lain.

1.       Tujuan pertama : Penerangan tentang undang-undang muamalat dengan orang-orang musyrikin dan ahli kitab. Antaranya ialah :

a.       Rasulullah SAW sebelum ini mempunyai perjanjian-perjanjian dengan kaum musyrikin. Tetapi kaum musyrikin telah beberapa kali melanggar perjanjian dengan Nabi SAW malah bekerjasama dengan kaum Yahudi daripada Bani Nadhir, Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ untuk mengkhianati Rasulullah SAW. Lalu turunlah surah ini untuk membatalkan perjanjian-perjanjian ini selepas beberapa kali Rasulullah SAW dikhianati.

b.      Surah ini turun pada tahun 9 Hijrah. Sebelum turunnya surah ini, orang-orang musyrikin dibenarkan melakukan ibadah mereka di Kaabah, bahkan sebahagian daripada mereka melakukan tawaf tanpa pakaian. Apabila turunnya surah ini, orang-orang musyrikin tidak lagi dibenarkan melakukan ibadah di Baitillahil Haram pada tahun-tahun yang seterusnya.

2.       Tujuan kedua : Menyingkap keadaan umat Islam ketika Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk memerangi Rome dalam peperangan Tabuk.

a.       Surah ini menceritakan tentang sebahagian daripada mereka yang tidak ikut berperang bersama dengan Rasulullah SAW dalam peperangan Tabuk ketika diperintahkan kepada mereka. 

b.      Surah ini juga menceritakan tentang orang-orang munafiq serta perancangan dan tipu daya jahat mereka. Sebahagian para sahabat memanggil surah ini dengan nama Surah Al Faadhihah yang bermaksud “Surah Yang Mendedahkan Keburukan” kerana surah ini mendedahkan perancangan jahat orang-orang munafiq untuk menghancurkan Islam.

Kesimpulan umum surah ini :

Syeikh Muhammad Ali As Sobuni mengatakan bahawa secara umumnya surah ini membicarakan tentang orang-orang munafiq yang lebih bahaya daripada orang-orang musyrikin. 

Dalam surah ini juga diceritakan tentang pembinaan masjid oleh golongan munafiq iaitu “ Masjid Dhirar”. Pembinaan masjid ini bertujuan memecah kesatuan orang-orang beriman. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkan supaya masjid ini diruntuhkan dan dibakar.

Allahu a’lam.

Rujukan : 

1.Sofwah At Tafasir, Dr Muhammad Ali As Sobuni.
2.Fiqh As Sirah, Dr Muhammad Said Ramadhan Al Buti.


No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...