Monday 11 February 2013

Kesan baik akhlak yang baik.


   بسم الله الرحمن الرحيم


Saya pernah ada seorang kawan Arab nama Ahmad yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai runcit bersebelahan dengan Masjid Firdaus, Mansurah. Usianya lebih kurang dengan saya.

Saya sangat menyenangi beliau. Tutur katanya sopan dan halus. Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya setiap kali saya singgah ke kedainya. Selalu juga dia tanya tentang pelajaran saya di kuliah dan tentang Malaysia.

Satu ketika selama beberapa hari saya tidak nampak kelibat Ahmad di kedai. Ada orang lain yang menggantikan dia. Saya tidak berpuas hati dan bertanya kepada lelaki yang menggantikan Ahmad lalu pertanyaan saya terjawab.


“Ahmad sudah 3 hari meninggal dunia..” 


Innalillah wa inna ilaihi rajiuun..


Terkejut.


Saya pernah kehilangan 3 orang kawan yang meninggal dunia semasa sekolah menengah dahulu, dan ini yang ke-empat. Saya tidak dapat melakukan apa-apa melainkan terkumat-kamit mulut membaca Al Fatihah untuk disedekahkan kepada arwah.


Kematian begitu dekat dengan kita. Tua pula bukan syarat utama untuk mati, dan Ahmad meninggal ketika umur yang masih muda.


Setiap kali lalu di hadapan kedai Ahmad saya tidak pernah lupa untuk sedekahkan Al Fatihah kepada arwah. Bahkan ada ketika saya sedang berada di dalam kelas ingatan bersama arwah datang dan saya segera mendoakan kebahagiaan arwah di alam sana. Akhlak mulia yang beliau tunjukkan betul-betul memberi kesan.


Saya buat kesimpulan bahawa kita mesti jaga akhlak mulia dengan manusia, supaya doa mereka sampai semasa kita berada di dalam kubur nanti. Terbayang para ulama Islam yang berjasa kepada agama dan selalu menerima doa daripada umat Islam walaupun mereka sudah lama meninggal.


Lebih kurang 2 minggu selepas kematian Ahmad sekali lagi saya ke kedainya, kali ini kaki agak berat untuk melangkah masuk kerana diterpa dengan memori dan ingatan  terhadap akhlak mulia arwah. Segala apa yang ada di kedai itu hanya menambah ingatan saya kepada arwah.


Semoga arwah bahagia di sana..


Ahmad?


Terkejut.


Sebenarnya sangat terkejut bila kehadiran saya disambut dengan senyuman mesra Ahmad. Saya sedang keliru adakah ini ilusi atau realiti, dan lelaki yang gantikan Ahmad tempoh hari ada berdiri di sebelah Ahmad sedang menahan ketawa.


Bertuah sungguh.



2 comments:

  1. lawak juga enta ni...ha3. macm mana muka enta masa tu nabil

    ReplyDelete
    Replies
    1. tekejut jgk masa tu ust asri...tak sngka yg lelaki tu bole gurau mcm tu.tp bagus juga jadi lebih hargai kawan yg mati hidup semula hehe :)

      Delete

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...