Sunday 17 February 2013

Bersekolah di jalanan.


 بسم الله الرحمن الرحيم


Ada seorang budak di Syarie Gala’, Mansurah, yang bekerja setiap hari meminta sedekah daripada sesiapa sahaja yang lalu lalang di kawasan ini.


Kalau lalu di kawasan ini kita boleh nampak dia mendekati seorang demi seorang untuk minta sedekah, kadang-kadang ditarik lengan baju orang yang dia jumpa.


Ada yang bagi dan ada yang tidak.


Saya pernah berbual dengan budak itu, bertanya nama dan sekolah di mana.


Kita panggil sahaja dia sebagai Mahmud, umur lebih kurang 12 tahun, dan menyedihkan, Mahmud tidak bersekolah. Sejak daripada perbualan saya bersamanya hari itu hubungan kami jadi lebih rapat, saya rasa. Setiap kali nampak saya dari jauh dia akan tersenyum dan segera datang menghampiri.


“Sollait? (Kamu sudah solat?)” soalan bonus setiap kali berjumpa dengan Mahmud.


“Lessa..ma sollaitisy.. (Aku belum solat..)” jawab Mahmud.


Ini jawapan yang selalu saya terima.


Sebenarnya bukan Mahmud seorang sahaja yang tidak bersekolah. Saya pernah jumpa seorang lagi budak lelaki yang umur lebih kurang dengan Mahmud bekerja sebagai pembantu mekanik di tempat baiki kereta. Budak pembantu mekanik ini tidak kenal walau sepatah huruf Arab apatah lagi huruf Roman, tetapi ada kesungguhan untuk belajar, dan dia pernah minta saya ajarkan dia baca surah Al Ikhlas.


Rasanya kalau saya rajin bertanya setiap budak yang berkeliaran di Mansurah ni, pasti saya akan jumpa lebih ramai budak-budak yang tidak bersekolah dengan pelbagai kisah hidup yang tidak menggembirakan.


Saya sedang berjalan ke satu tempat pada suatu hari, bila saya ternampak kelibat Mahmud sedang duduk seorang diri di tepi sebatang jalan yang kurang sibuk. Menyedihkan, dan sangat menyedihkan, di celah jarinya ada sebatang rokok yang sedang menyala.


“Tidakkhin? (Kamu merokok?)” saya bertanya, dan dia hanya memandang sahaja.


“Leeh? (kenapa?)” sekali lagi saya bertanya dan dia hanya terdiam. Saya hembuskan nafas tanda kecewa dan berlalu pergi. 


Kecewa kerana duit sedekah yang orang ramai beri kepadanya sepatutnya digunakan untuk beli roti dan makanan yang berkhasiat untuk menyambung kehidupan, bukan untuk beli rokok. Kecewa bercampur kasihan sebenarnya, terutama bila fikir siapakah yang akan membimbing budak ini, dan budak-budak lain yang senasib dengannya.


Keluarga yang tidak berkemampuan, atau mungkin kerana latar belakang keluarga yang jauh daripada pendidikan, saya terfikir adakah budak-budak ini akan meneruskan kitaran yang sama untuk generasi selepas ini?


Ini seakan-akan blind cycle dan negara umat Islam masih terperangkap dalam kitaran ini.


Kini bila terserempak dengan Mahmud di tepi jalan dan dia menghampiri saya, saya cuma letakkan jari tengah dan jari telunjuk di bibir lagak seperti orang hisap rokok, kemudian buat isyarat jari telunjuk yang bergerak-gerak, budaya orang Mesir yang bermaksud mamnu’ atau jangan buat lagi.


Duit?


Ada pengajaran yang mesti diberi kepadanya, dan ini sekolah tidak rasmi untuk Mahmud.



No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...