Tuesday 19 February 2013

Pakaian tipikal orang muda Mesir.

بسم الله الرحمن الرحيم



Pakaian tipikal orang muda Mesir yang lelaki, kalau kita tengok di jalanan ialah berseluar jeans yang agak ketat, berbaju sama ada kemeja atau T-shirt yang mengikut bentuk tubuh dan jaket di sebelah luar, juga mengikut bentuk tubuh.


Bentuk tubuh mereka yang tegap dan bila pakai pakaian seperti ini menampakkan lagi susuk tubuh mereka.


Pakaian seperti inilah yang dipakai pemuda-pemuda di sini. Budak sekolah menengah, budak universiti, dan doktor-doktor muda yang bekerja di hospital, semua dengan pattern yang sama dan lebih kurang. Orang yang tidak muda pun ada juga yang pakai seperti ini.


Di Masjid Jammal, Mansurah, ada kelas agama 3 hari seminggu yang dibuka kepada orang ramai termasuk kepada wafidin, atau ‘orang luar Mesir’. Kelas ini dihadiri oleh orang tua dan orang muda. Pelajar-pelajar Malaysia ramai juga yang ikuti kelas ini memandangkan tenaga pengajar ialah syeikh-syeikh dari Universiti Al Azhar.


Mata pelajaran yang diajar seperti matan Abi Syuja’, matan Waraqat, mustalah hadis, hadis 40 An Nawawi, akidah dan ada beberapa mata pelajaran lain lagi. Buku-buku diberi secara percuma untuk sesetengah mata pelajaran dan yang paling istimewa, semasa kelas berjalan anda akan dihidangkan dengan syai atau teh panas. 


Satu hari semasa kelas matan Abi Syuja’ sedang berlangsung, saya perasan ada seorang pemuda Mesir dengan pakaian tipikal mereka baru sampai dan berada di bahagian belakang kelas. Tidak ada masalah kalau datang lambat sebab kelas pengajian ini ialah kelas pengajian umum.


Syeikh yang ketika itu sedang menerangkan tentang perkara-perkara sunat wudhu’ menghabiskan ayat-ayatnya yang terakhir kemudian berhenti, dan mikrofon diambil alih oleh pengerusi majlis merangkap Imam Masjid Jammal iaitu Syeikh Mahmud.


Ittfaddhal, ya duktur. (dipersilakan kepada doktor.)” Syeikh Mahmud menjemput tenaga pengajar seterusnya untuk mata pelajaran akidah. 


Pemuda dengan pakaian tipikal yang berada di bahagian belakang sebentar tadi berjalan ke depan dan mengambil tempat duduk di bahagian penceramah. Gaya jalannya sopan dan rendah diri, suaranya tidak tinggi dan tidak pula terlalu rendah, bahasa yang digunakan mudah untuk difahami dan baru saya tahu, dia yang akan mengajar kami mata pelajaran akidah pada hari itu.


Lain kali bila jumpa pemuda Mesir dengan pakaian tipikal mereka, saya kena lebih berhati-hati kerana mereka mungkin salah seorang daripada para ulama kita yang mesti dihormati.


No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...