Sunday 3 February 2013

Cerita Mesir : Kebaikan yang berjangkit.


بسم الله الرحمن الرحيم

Ada seorang Ammu di Masjid Jammal.

Ammu dalam bahasa kita ialah pakcik dan Masjid Jammal ialah sebuah masjid di Gala, Mansurah.

Setiap pagi selepas Subuh boleh nampak dia duduk di kerusi belakang masjid seorang diri sambil pegang mashaf Al Quran.

Kalau duduk dekat dengan dia maka boleh dengar suaranya sedang baca kitab suci sehingga masuk waktu dhuha.

Sebenarnya tidak berani untuk kata setiap hari sebab kadang-kadang subuh sendiri tidak di Masjid Jammal, tapi sejak berpindah ke kawasan ini beberapa bulan lepas pasti nampak Ammu ini setiap kali berpeluang Subuh di sini.

Tidak tahulah berapa kali dalam sebulan dia khatam Al Quran.

Sangat hormati mereka yang konsisten dengan zikir dari Subuh hingga dhuha. 


“Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian duduk dan berzikir kepada Allah Taala sehingga terbit matahari, kemudian dia solat dua rakaat maka seperti pahala haji dan umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.” Riwayat Tirmizi.


Untuk iktikaf dan berzikir di masjid dari Subuh hingga masuk dhuha hampir setiap hari saya rasa ammu tadi ada buat beberapa persiapan awal. 

Yang pertama, mesti ammu tadi solat Subuh berjemaah di masjid, yang sebelumnya didahului dengan solat sunat Subuh. 


“Dua rakaat solat sunat Subuh lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” Riwayat Muslim.

  
“Sesiapa yang solat Isyak berjemaah seolah-olah dia telah mendirikan separuh malam, dan sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah seolah-olah dia telah solat malam seluruhnya.” Riwayat Muslim.


Dua pahala besar di situ.

Untuk solat Subuh berjemaah di masjid pula saya rasa ammu tadi kena bangun awal sebelum Subuh untuk mandi atau paling kurang untuk bersihkan diri dan bersiap. Kasihan nanti orang yang solat di kiri kanan kalau ke masjid dengan baju tidur. 

Bila bangun awal mesti selalunya akan sempat untuk tahajud barang 4 atau 2 rakaat. Doa sangat mustajab waktu ini. 


“Sesungguhnya pada waktu malam ada satu saat, tidak bertepatan seorang Muslim yang berdoa kepada Allah kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat kecuali akan ditunaikan kepadanya, dan ini berlaku setiap malam.” Riwayat Muslim.


“Sesiapa yang membersihkan diri di rumahnya kemudian berjalan ke salah satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk menunaikan salah satu fardu dari fardu-fardu Allah sesungguhnya langkahnya salah satunya menghapuskan dosa dan salah satu lagi mengangkat darjat.” Riwayat Muslim.


Pahala lagi di situ.

Untuk bangun awal siapkan diri sudah pasti malamnya ammu itu kena tidur awal. Sukar nak percaya mampu untuk bangun Subuh berjemaah di masjid kalau malamnya pukul 3.32 pagi baru lelapkan mata. 

Selalu perhati orang yang jaga waktu tidur ialah orang yang sangat menjaga masa.

Kalau sebelum tutup mata ditunaikan dahulu wirid sebelum tidur maka ada bonus pahala lagi di situ. 

Pahala wirid sebelum tidur, pahala solat malam, pahala melangkah ke masjid, pahala sunat Subuh dan Subuh berjemaah di masjid dan pahala iktikaf. Asal niat untuk cari pahala iktikaf sahaja tapi berjangkit dan berangkai-rangkai dapat tambahan beberapa pahala lain.

Fikiran ini yang selalu terlintas setiap kali ternampak ammu tadi. Ada rasa cemburu terutama bila tilik diri sendiri. Bukan selimut yang berat tapi nafsu dalam diri yang mengawal hidup.

Semoga hidayah dan inayah Allah selalu bersama kita.

Semua orang perlukan pahala antara lain sebagai penghapus kepada dosa-dosa dan kesilapan yang lepas. Dosa kalau tidak usaha supaya diampunkan Allah akan beri bala bukan sahaja di akhirat nanti bahkan semasa di  dunia lagi.


“Sesungguhnya seorang hamba terhalang rezekinya kerana dosa yang dia lakukan.” Riwayat Ahmad dan Al Hakim.


Menulis tidak ada niat lain melainkan untuk menguatkan diri sendiri dalam mencontohi orang-orang soleh, sambil membaca doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada Sayidina Muaz ibn Jabal.


“Ya Allah bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu serta husni ibadah kepada-Mu.” Riwayat Abu Daud dan An Nasaie.


Mencari-cari di manakah sumber kekuatan untuk menghadapi dunia rupa-rupanya peta ke arah kejayaan dunia dan akhirat sudah ditunjuk oleh Nabi SAW.

Hadapi dunia dengan kekuatan akhirat, kerana kita ialah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari selain daripada Islam sebagai kekuatan maka kita tidak dapat melainkan yang sebaliknya.

Minta maaf atas segala salah silap.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, mari kita mulakan perjalanan menjadi hamba Allah yang lebih baik.


“Aku cinta orang-orang soleh padahal aku bukan termasuk daripada kalangan mereka. Barangkali aku boleh mendapat syafaat daripada mereka. Aku benci orang yang perdagangannya adalah maksiat kepada Allah, walaupun barang dagangan kita sama.” Imam As Syafie.


Allahu a’lam.


Rujukan : 
1.       Raudhatul Muttaqin syarah kepada Riadhussolihin.
2.       Al Azkar An Nawawi.
3.       Lembaran Hidup Ulama-Warisan Ilmuwan Islam oleh Muhammad Abdullah Suradi.
4.       Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu terjemahan daripada buku Kaifa Tatahammas li Thalibil ‘ilmi Syarie karya Syeikh Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih diterjemah oleh Nurul Mukhlisin.

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...