Friday 11 January 2013

Rezeki dari arah yang tidak disangka.


بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini Jumaat.

Jumaat kalau di Mesir tidak sama seperti hari-hari yang lain.

Tenang, sunyi, teksi mudah dapat, lintas jalan boleh pejam mata sebab jalan lengang, buah-buah banyak dijual atas kereta himar lepas solat Jumaat tepi masjid dengan harga lebih murah daripada beli di kedai.

Bagi kami di Mansurah hari Jumaat menyenangkan sebab inilah satu-satunya hari cuti untuk berlama-lama di rumah.

Kebiasaan masjid di Mesir setiap hari termasuk Jumaat selepas solat Subuh akan ada halaqah bacaan Al Quran sehingga masuk waktu dhuha. 

Orang-orang soleh yang menghidupkan halaqah ini istiqamah hadir setiap hari tidak kira musim sejuk atau panas. Saya angkat bendera putih mengaku kalah kalau mahu lawan istiqamah dengan mereka walaupun usia mereka sebenarnya berpuluh-puluh tahun lebih banyak.

Berharap agar tua saya nanti akan seperti mereka. Oh, tidak, sebenarnya tidak perlu tunggu tua.

Luaran mereka nampak lemah tapi dalaman sangat kuat mengalahkan orang muda dengan mudah. 

Satu yang pasti diingati bila meninggalkan bumi ini nanti.

Mungkin mereka bahagia dengan janji pahala haji dan umrah sempurna, sempurna, sempurna yang dijanjikan Nabi SAW untuk orang yang berzikir dan membaca Al Quran selepas Subuh sehingga dhuha.

Hari ini saya cuba mengambil semangat mereka, duduk dan perhatikan mereka dari jauh. Bukan senang untuk duduk sehingga dhuha dengan cuaca yang sejuk musim sekarang. 

Kalau tidak silap hampir 4˚C.

Hampir-hampir saja saya ingin bangun menyerahkan diri kepada saratoga atau selimut di rumah bila datang salah seorang ahli halaqah dari satu arah sambil menghulurkan sebekas fattah birruz kepada saya, sejenis nasi yang diletak lauk di bawahnya.

Rupanya halaqah Quran Masjid Jamal ada buat makan-makan pagi ini.

Allah sifat-Nya sangat pemurah. 

Dengan segala dosa dan kecuaian saya kepada agama-Nya namun tetap diberi rezeki tanpa diminta, tanpa disangka dari arah mana ia datang.

Pertolongan Allah itu dekat, kita sahaja yang mesti sabar dan yakin.

Sebuah pengajaran kecil penambah yakin untuk menghadapi keadaan yang lebih besar.

Semoga Allah ampuni segala dosa kita dan menjadikan kita hamba-Nya yang bersyukur.

Sayyidul istighfar.

“Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, Tidak ada tuhan kecuali Engkau, Engkau yang menciptakanku sedang aku adalah hamba-Mu dan aku diatas ikatan janji -Mu dengan semampuku, aku berlindung kepadamu dari segala kejahatan yang telah aku buat, aku mengakui-Mu atas nikmat-Mu terhadap diriku dan aku mengakui dosaku pada-Mu, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang boleh mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

Ya Rahman Ya Rahim.

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...