Tuesday 8 January 2013

Niat belajar.


 بسم الله الرحمن الرحيم


Sama ada kita berada pada awal pengajian, tengah atau hujung, niat belajar mesti sentiasa diluruskan kerana hati manusia berbolak balik. Lagipun belajar memang tidak akan berhenti kecuali selepas nafas berhenti.

Sayidina Ali karramallahu wajhah berkata;

Wahai para penuntut ilmu, amalkanlah ilmu kalian, kerana akan datang sekelompok orang yang memiliki ilmu tetapi ilmu mereka setakat di dadanya. Ketika menyendiri berbeza ketika berada di khalayak ramai, amalnya berbeza dengan ilmunya.

Mereka duduk membuat lingkaran saling membanggakan antara satu dengan yang lainnya. Hingga seseorang merasa marah kepada teman duduknya apabila ia duduk dengan selainnya dan meninggalkannya. Amalan-amalan mereka di dalam majlis itu tidak naik ke hadapan Allah.”

Bagaimanakah ikhlas belajar kerana Allah?

Imam Ibnu Jamaah berkata ;

“Baiknya niat dalam menuntut ilmu apabila tujuan untuk mencari keredaan Allah, untuk mengamalkannya, untuk menghidupkan syariah, untuk menyinari hatinya, untuk membersihkan batinnya, untuk dekat dengan Allah pada hari kiamat, untuk mendapatkan apa yang dipersiapkan kepada penuntut ilmu berupa keredaan Allah dan keagungan ilmu.

Dia tidak belajar untuk tujuan keduniaan seperti mendapatkan jawatan, kehormatan, harta, dan berbangga-bangga di hadapan teman atau untuk mendapatkan pujian teman dan penghormatan di dalam majlis dan lainnya. ” 

Apakah kelebihan apabila niat ikhlas dan apakah kekurangan apabila niat tidak ikhlas?

Syeikh Asy-Syaukani berkata ;

“Sesungguhnya baiknya niat dan ikhlasnya amal sangat mempengaruhi dalam menghafal ilmu, memahaminya dan bersemangat mencarinya. 

Sesiapa yang tujuan belajar terbalik, atau dibebani dengan banyaknya tuntutan dan keinginan, maka hendaklah dia menyedari bahawa dosa telah menimpanya kerana tidak ikhlas, atau itulah ujian baginya untuk mengetahui sejauh mana kesabaran dan ketabahannya.

Setelah itu ia akan dilimpahi dengan segudang kebaikan dan pemberian.”

Allahu a’lam.

Rujukan : Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu oleh Abul Qa’qa’ Muhammad bin Salih.

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...