Wednesday 16 January 2013

Pesan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah tentang musim exam.


  بسم الله الرحمن الرحيم

Selalu bila sampai musim periksa kepala kita akan timbul banyak idea.

Melancong ke Colombia, perancangan nak mantapkan usrah ahli, idea nak kumpul duit banyak-banyak dan banyak lagi. 


Masa periksa jugalah kita rajin untuk baca kitab dan buku-buku ilmu tambahan luar daripada bidang yang sedang kita tekuni.

Peliknya sebelum periksa idea-idea ‘bernas’ ini tidak pula datang. Lebih memelikkan lagi bila idea-idea ini langsung hilang dari fikiran pada hari terakhir kita keluar dari dewan peperiksaan.

Saya sendiri tidak terlepas daripada masalah ini.

Ada satu pesanan daripada Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah yang sangat baik untuk kita teliti.

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah.


“Ramai di kalangan pelajar bila tiba waktu ujian mereka sibuk membaca buku-buku luar yang tidak berhubungan dengan bahan-bahan ujian dan menyimpang dari buku-buku yang penting yang seharusnya dipelajari.

Ini menunjukkan lemahnya semangat serta tidak ada kemahuan. Sebab, ilmu yang harus dipelajari merupakan tuntutan, kewajipan dan beban yang harus dilaksanakan, dan hal itu cukup berat bagi jiwa yang lemah.

Sedangkan pelajaran bebas yang tidak dianjurkan di sekolah bukan merupakan tuntutan dan beban. Jadi, terasa lebih ringan kesannya pada jiwa pelajar. Maka, hendaklah anda waspada dan sedar untuk tidak mengikuti segala kemahuan nafsu.

Sebab, ini juga termasuk daripada tipu muslihat syaitan untuk memalingkan pelajar dari jalan yang benar dan hal-hal yang penting.” 

Saya berpendapat pesanan ini tidak semestinya laku hanya pada musim peperiksaan. 

Kalaulah pada bukan musim peperiksaan fokus dan tumpuan kita sudah menyimpang daripada pelajaran yang menjadi prioriti utama dan tumpuan banyak terarah kepada ilmu tambahan, maka pesanan daripada Syeikh di atas harus kita ulang berulang-ulang kali supaya masuk dalam diri.

Pesan pada diri.

Rujukan : Nilai Waktu Dalam Kehidupan Insan terbitan Darul Nu'man.

( Sangat kesal dengan penerbit buku ini Darul Nu'man kerana tidak menyebut secara jelas bahawa ini ialah buku terjemahan daripada Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Penerbit tidak menyebut judul asal buku ini iaitu Qimah al-Zaman ‘ind al-‘Ulama’. Tambahan pula nama Syeikh hanya ditulis dengan Abdul Fattah A G sahaja menyebabkan pembaca tidak kenal, seolah-olah buku ini ditulis dan disusun oleh pihak penerbit dan bukan diterjemah daripada tulisan Syeikh. Kita hanya boleh kesan buku ini ialah buku terjemahan bila baca kata pengantar daripada penulis yang ditulis oleh Syeikh. Tidak baik buat begini.)


No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...