Sunday 27 January 2013

Sumber kekuatan Ibnu Taimiyah.


 بسم الله الرحمن الرحيم

Lemah dan lemas dalam menghadapi dunia?


Ibnu Qayyim rahimahullah bercerita.


“Sesungguhnya zikir akan memberi semangat menuntut ilmu kepada orang yang melakukannya. Sehingga orang yang berzikir boleh melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh selainnya. 


Aku telah menyaksikan kekuatan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang menakjubkan ketika beliau berjalan, berbicara dan menulis sesuatu.


Beliau mengarang sehari lebih banyak daripada apa yang ditulis oleh ahli tulis dalam seminggu. 


Para tentera menyaksikan beliau di medan perang sesuatu yang menghairankan.


Zikir merupakan makanan hati dan jiwa. Apabila zikir itu telah hilang daripada seseorang maka ia laksana badan yang tidak memiliki kekuatan.


Suatu hari aku pergi menemui Syeikhul Islam setelah selesai solat subuh. Beliau duduk berzikir kepada Allah hingga hampir pertengahan hari, kemudian beliau menoleh kepadaku dan berkata.

“ Ini sarapanku. Seandainya aku tidak makan sarapan ini nescaya kekuatan aku akan hilang.”


Menghadapi dunia dengan kekuatan akhirat.


Syeikh Hafiz Soni'. Ulama yang tinggal di Mansurah. Kedua mata beliau tidak nampak tapi tidak hatinya.
Sumber : Buku Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu terjemahan daripada buku Kaifa Tatahammas li Thalibil ‘ilmi Syarie karya Syeikh Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih diterjemah oleh Nurul Mukhlisin.


Saturday 26 January 2013

Kembali kepada Allah..


  بسم الله الرحمن الرحيم


Dr Atef, Head of Parasitology Department, Mansoura University.

Dapat tahu tentang kematian dua orang insan di atas. 

Hidup yang sangat singkat.

Kita mengeluh dengan dunia sedangkan inilah akhir sebuah kehidupan.

Mengulang-ulang ayat yang sama.

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyu' mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)..." Al Hadid, 16.

Wahai diri, bilakah?

Pada cincin Sayidina Umar Al Khattab ada tertulis satu peringatan.

“Cukuplah kematian sebagai peringatan bagimu wahai Umar.”
  
Semoga kuburan mereka ialah salah satu taman dari taman-taman syurga. Begitu juga harapnya dengan kuburan kita sendiri nanti. 

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan kembali..

Semoga Allah merahmati guru-guru kita.


Thursday 24 January 2013

Catatan 12 Rabiul Awal 1434 hijrah.


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, cuti musim sejuk pada tahun ini bermula dengan Hari Kelahiran Nabi SAW.

Kalau di Mansurah suasana sangat meriah. Tadi pukul 1 pagi keluar ke kedai kebab untuk cari sedikit bahan kunyah tapi malang tidak dapat beli sebab manusia terlalu ramai di kedai.

Tidak pasti mereka gembira berkumpul kerana kedatangan cuti musim sejuk atau kerana hari ini ialah hari kelahiran Nabi SAW. 

Bersimpang siur perasaan bila menyambut hari yang besar ini terutama bila teringatkan hubungan diri sendiri dengan Nabi SAW.

Banyak yang kita tahu tentang kehidupan Nabi SAW. Hadis-hadis pun banyak yang kita belajar. Tentang akhlak Nabi SAW, ibadat, dakwah dan kesungguhan Baginda SAW  menjaga Islam, tapi malang kalau tahu ini berkadar songsang dengan amal.

Rugi bila buah dari pohon ilmu yang kita tanam tidak berapa berbuah. Orang kata pokok yang kita tanam kalau tidak berbuah baik tebang saja.

Kadang-kadang ada juga persoalan yang datang menyoal.

Bila mahu tekun dan serius dalam beramal dengan apa yang kita tahu tentang pesanan Nabi SAW?

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyu' mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)..." Al Hadid, 16.

Ada beberapa perkataan daripada Nabi SAW dan para ulama dalam masalah antara ilmu dan mengamalkan ilmu.

“Perumpamaan orang yang mengajari orang lain perkara kebaikan tetapi melupakan dirinya ( tidak mengamalkan ) laksana lilin yang menerangi manusia sementara dirinya terbakar.” Al Hadis.

"Ilmu bukanlah banyak berbicara, tetapi ilmu adalah takut kepada Allah" Ibnu Mas'ud.

“Aku dapati diriku bersemangat untuk belajar sehingga ilmu memberikan aku segala-galanya. Tetapi aku mendapati diriku hanya sibuk dengan belajar ilmu dan aku pun berteriak, apa manfaatnya ilmu bagi dirimu? Di manakah rasa takut, rasa khuatir, dan kesedaran?” Imam Ibnu Jauzi.

“Sangat hairan lisan yang mengajak orang kepada kebaikan, hati yang mengetahui kebaikan, namun perbuatannya menyalahinya (perkataan dan hatinya).” Imam Hasan Al Basri.

“Aku bertemu dengan para masyayikh (guru) dalam keadaan yang berbeza-beza. Mereka tidak sama dalam keilmuan. Yang paling banyak memberi manfaat kepada persahabatanku dengan mereka ialah yang paling banyak mengamalkan ilmunya, sekalipun yang lain lebih alim daripadanya.” Imam Ibnu Jauzi.

Pohon sudah ada tunggu untuk keluar buahnya sahaja.

Salam Maulid Ar Rasul SAW.

Rujukan : Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu karya Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih Alu Abdillah terjemahan oleh Nurul Mukhlisin.

Tuesday 22 January 2013

Fokus.


 بسم الله الرحمن الرحيم


Seolah-olah baru tahu kesukaran bertempur di medan perubatan bila berada di tahun lima dan banyaknya perkara dan kemahiran yang mesti dipelajari.
 
Belajar satu hal.

Faham dan ingat dan mahir satu hal yang lain pula.


Ajakan untuk mengikuti daurah kitab dan kelas bersama para ulama yang semestinya seronok pada cuti musim sejuk nanti terpaksa ditolak kerana alasan ini.

Ajakan melancong dan berderak-derak juga sama.


Lagipun lubang-lubang kejahilan dalam bidang perubatan masih banyak yang perlu ditampung kerana satu lubang memberi malapetaka kepada kehidupan orang lain.

Kehidupan sendiri juga sebenarnya.

Fokus diperlukan.


Ibarat kanta yang mengumpulkan tenaga cahaya dan ditumpukan kepada satu bahagian sehingga bertukar kepada tenaga haba. 

Haba sudah pasti tidak ada jika cahaya tadi mencapah.







Al Hafiz Al Khatib Al Baghdadi rahimahullah menyebut,


“Ilmu itu bagaikan lautan luas yang tidak boleh diukur, bagai bijih yang tidak pernah habis diambil, maka sibukkanlah dirimu dengan hal-hal yang penting, sebab apabila kamu menyibukkan dirimu dengan hal-hal yang remeh, maka kamu akan kehilangan banyak hal-hal yang penting.”


Al Abbas berpesan,


“Ketahuilah, fikiranmu tidak boleh menampung segala sesuatu yang ada, maka fokuslah pada yang penting-penting sahaja. 


Dan harta kekayaanmu tidak boleh mencukupi keperluan semua manusia, maka berikanlah kepada orang-orang yang sangat memerlukan. 


Keramahanmu tidak boleh tercurah kepada semua orang, maka curahkanlah kepada orang yang memahami erti keutamaan. 


Malam dan siangmu tidak mampu mencukupi seluruh keperluanmu meskipun kamu bekerja siang dan malam, maka bahagilah aktivitimu dan cari ketenangan hidupmu. 


Sebab, apabila fikiranmu sibuk dengan hal-hal yang tidak penting bererti engkau telah meremehkan hal-hal yang penting.”


Menjaga Islam dari penjuru kita.

Allahu a'lam.

Rujukan : Nilai Waktu Dalam Kehidupan Insan terjemahan daripada Qimah al-Zaman ‘ind al-‘Ulama’ karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah terbitan Darul Nu'man.

Wednesday 16 January 2013

Pesan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah tentang musim exam.


  بسم الله الرحمن الرحيم

Selalu bila sampai musim periksa kepala kita akan timbul banyak idea.

Melancong ke Colombia, perancangan nak mantapkan usrah ahli, idea nak kumpul duit banyak-banyak dan banyak lagi. 


Masa periksa jugalah kita rajin untuk baca kitab dan buku-buku ilmu tambahan luar daripada bidang yang sedang kita tekuni.

Peliknya sebelum periksa idea-idea ‘bernas’ ini tidak pula datang. Lebih memelikkan lagi bila idea-idea ini langsung hilang dari fikiran pada hari terakhir kita keluar dari dewan peperiksaan.

Saya sendiri tidak terlepas daripada masalah ini.

Ada satu pesanan daripada Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah yang sangat baik untuk kita teliti.

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah.


“Ramai di kalangan pelajar bila tiba waktu ujian mereka sibuk membaca buku-buku luar yang tidak berhubungan dengan bahan-bahan ujian dan menyimpang dari buku-buku yang penting yang seharusnya dipelajari.

Ini menunjukkan lemahnya semangat serta tidak ada kemahuan. Sebab, ilmu yang harus dipelajari merupakan tuntutan, kewajipan dan beban yang harus dilaksanakan, dan hal itu cukup berat bagi jiwa yang lemah.

Sedangkan pelajaran bebas yang tidak dianjurkan di sekolah bukan merupakan tuntutan dan beban. Jadi, terasa lebih ringan kesannya pada jiwa pelajar. Maka, hendaklah anda waspada dan sedar untuk tidak mengikuti segala kemahuan nafsu.

Sebab, ini juga termasuk daripada tipu muslihat syaitan untuk memalingkan pelajar dari jalan yang benar dan hal-hal yang penting.” 

Saya berpendapat pesanan ini tidak semestinya laku hanya pada musim peperiksaan. 

Kalaulah pada bukan musim peperiksaan fokus dan tumpuan kita sudah menyimpang daripada pelajaran yang menjadi prioriti utama dan tumpuan banyak terarah kepada ilmu tambahan, maka pesanan daripada Syeikh di atas harus kita ulang berulang-ulang kali supaya masuk dalam diri.

Pesan pada diri.

Rujukan : Nilai Waktu Dalam Kehidupan Insan terbitan Darul Nu'man.

( Sangat kesal dengan penerbit buku ini Darul Nu'man kerana tidak menyebut secara jelas bahawa ini ialah buku terjemahan daripada Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Penerbit tidak menyebut judul asal buku ini iaitu Qimah al-Zaman ‘ind al-‘Ulama’. Tambahan pula nama Syeikh hanya ditulis dengan Abdul Fattah A G sahaja menyebabkan pembaca tidak kenal, seolah-olah buku ini ditulis dan disusun oleh pihak penerbit dan bukan diterjemah daripada tulisan Syeikh. Kita hanya boleh kesan buku ini ialah buku terjemahan bila baca kata pengantar daripada penulis yang ditulis oleh Syeikh. Tidak baik buat begini.)


Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...