Monday 28 November 2011

Maratibul Amal.


Mengambil cermin muhasabah sambil menilik diri sendiri, ternyata masih banyak sifat-sifat mazmumah dalam diri.

Sangat takut, terutama apabila baca ayat-ayat perihal orang munafiq. Ternyata banyak sifat-sifat mereka memercik pada diri, walaupun bukan secara akidi. 

Mengintai umat Islam menggunakan teropong Islam, ternampak budaya Barat sedang mengambil alih ajaran Junjungan Nabi SAW. Benarlah sabda Sang Kekasih SAW, kita umat Islam akan ikut Yahudi dan Nasara walaupun ke dalam lubang biawak.

Kerajaan?

Sang kerajaan ialah ayah kepada rakyat, mendidik anaknya supaya beramal dengan Islam. Keadaan yang berlaku nampaknya tidak begitu. Anak telah menjadi ayah, menasihati si ayah supaya beramal dengan Islam.

Zaman kita ini nampaknya umat Islam memang sedang diuji. Bermula dari diri kita sendiri, keluarga, masyarakat, dan kerajaan.

Dan seterusnya.

Sebahagian berkata, baikilah diri sendiri dahulu. Berikan tumpuan kepada pembinaan fardil Muslim, kerana inilah yang Nabi SAW lakukan semasa di Mekah. Jangan dicampuri urusan politik dan kerajaan, kerana itu ialah sifat tergesa-gesa untuk menang, dan sifat tergesa-gesa tidak layak bagi seorang Muslim.

Kita katakan kepada mereka, kami beriman dengan pembinaan fardil Muslim yang Nabi SAW lakukan semasa di Mekah , dan kami juga beriman dengan pembinaan negara Islam yang Nabi SAW usahakan semasa di Madinah.

Kerana kami diperintahkan untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, kerana Islam sudah sempurna.

Kita cuba membaiki diri kita sendiri, membina keluarga, masyarakat, dan kerajaan Islam, sehingga lengkap maratibul amal yang tujuh itu. 
 
Islam ialah sistem yang menyeluruh, yang menyentuh seluruh aspek kehidupan. Ia adalah negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan keadilan, material dan kekayaan alam, penghasilan dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran, sebagaimana ia juga adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tiada penambahan dan tiada pengurangan. –Imam Hasan al Banna.

Syumul ialah prinsip yang kita anuti. Di mana nampak ruang, di situ kita manfaat peluang.

Ada yang kata kita masih berada pada tahap pertama, pembinaan fardil muslim. Sebahagian pula memilih tahap keempat, tahrirul watan. Yang lain pula terus kepada khilafah Islam.

Kefahaman untuk menilai di mana tahap kita berada sekarang ini, mungkin menjadi punca kepada beberapa perbezaan pendapat antara kita.

Membuat penilaian ini bukan senang. Cara yang selamat, taklid atau bersandar kepada pedoman yang ulama keluarkan, tanpa kita berhenti daripada mengkaji dan berfikir.

Bagaimana memilih ulama untuk kita bersandar?

Ini satu hal pula. Kesilapan memilih menatijahkan hasil yang kita tidak mahu.

Buat masa sekarang dengan kemampuan diri yang terbatas, lebih selesa bersandar kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, memandangkan hubungan rapat beliau dengan ulama-ulama muktabar dunia seperti Dr Yusof Al Qaradhawi dan hubungan beliau dengan pimpinan gerakan Islam dunia.

Hati lebih yakin.

Semoga lebih dekat dengan kebenaran.


Saturday 19 November 2011

Bagaimana kita memandang amanah jawatan dan kepimpinan?


1. Adakah positif, atau negatif?

2. Bercakap tentang amanah, kita selalu dibaca ayat Al Quran ini;

“Sesungguhnya kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir tidak dapat melaksanakannya, lalu amanah itu dipikul oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.”  Al Ahzab,72.


3. Bagus jika tujuan ayat ancaman ini dibaca untuk memberi peringatan supaya tidak mengabaikan amanah. Tapi tidak bagus jika lupa membaca ayat-ayat motivasi untuk memberi semangat dalam melaksanakan amanah yang dipikul.

Ini beberapa ayat Al Quran dan Al Hadis yang bersifat motivasi dalam kepimpinan;

“Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir), kerana sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga dan berpengetahuan.” Surah Yusuf, ayat 55.

“Ada tujuh golongan manusia yang akan dilindungi Allah dengan lindungannya pada hari tiada lindungan lain kecuali lindungannya sahaja iaitu pemimpin yang adil,….” Al hadis.

Semakin luas ilmu dan bacaan seseorang, semakin banyak yang akan dia ditemui tentang ancaman dan galakan agama terhadap amanah, lalu semakin adil penilaian yang mampu dibuat.


4. Dr Abdul Karim Zaidan ada sebut dalam Usul Dakwah tulisan beliau tentang salah satu kemahiran yang perlu ada bagi seorang daie ialah pandai membaca situasi lalu pandai pula memberi solusi  yang paling sesuai.

Dalam keadaan masyarakat yang berebut-rebut mahukan jawatan dan kepimpinan untuk tujuan keduniaan, maka ayat-ayat ancaman ini sesuai dibaca.

Sebaliknya, dalam keadaan masyarakat yang tidak mahu bergerak untuk berdakwah dengan alasan amanah dakwah itu terlalu berat untuk dipikul dan seribu satu lagi alasan, maka memberi ugutan tentang amanah dengan menggunakan ayat-ayat ancaman hanya menambah bebanan dan ketakutan itu.

Urusan kepimpinan akhirnya berada dalam tangan musuh-musuh Islam.

Sedangkan, Imam Al Ghazali sudah berpesan kepada kita tentang amanah kepimpinan dalam Ihya beliau;

"Kekuasaan dan agama adalah seperti dua anak kembar, agama sebagai tapak sementara kekuasaan adalah penjaganya. Setiap hal yang tidak mempunyai tapak akan rosak. Sebaliknya, segala sesuatu tanpa penjaga akan hilang."

Bagaimana agaknya kalau tokoh-tokoh besar Islam dahulu seperti Sultan Salahuddin al Ayubi dan Nuruddin Zenki tidak mahu menerima jawatan dan kepimpinan dengan alasan takutkan amanah?

Bukankah kita ada ayat-ayat al Quran bersifat motivasi?


5. Memandang amanah kepimpinan dengan hanya satu dimensi sahaja nampaknya tidak menguntungkan kita. Amanah mesti ditimbang dengan seimbang. Ugutan dan galakan.

Tok Guru Nik Aziz ada ulas tentang fenomena menghafaz Al Quran yang sangat memberangsangkan pada masa sekarang berbanding pada masa dahulu. Kata beliau;

Masyarakat Melayu zaman dahulu tidak ramai yang menghafaz Al Quran kerana selalu diugut jika lupa satu ayat yang kita hafal maka dosanya sangat besar. Dalam masa yang sama mereka tidak sebut pula tentang pahala orang yang menghafal Al Quran adalah besar. Kesannya tidak ramai orang dahulu yang hafaz Al Quran kerana ketakutan itu.”

Bagaimana pula kalau kita menakut-nakutkan masyarakat tentang amanah jawatan dan kepimpinan tanpa menyebut akan peranannya dalam menjaga agama?

Sejarah mungkin berulang?


6. Gagal untuk seimbangkan antara targhib dan tarhib atau galakan dan ancaman akan menyebabkan kita memandang amanah dengan pandangan yang sangat menakutkan. Maka lahirlah anak-anak dakwah yang pesimis dan tidak berani, dengan kata lain, penakut.

Kaum Muslimin takut untuk memegang amanah untuk membela agama mereka, sedangkan Si Mustapha Kamal Attartuk yang menyakitkan hati itu berani meminta jawatan untuk menghancurkan Islam. Ketakutan umat Islam dan keberanian musuh mereka akhirnya menjadi bala kepada Islam.

Mereka yang positif dalam memikul amanah memandang jawatan sebagai peluang untuk menambahkan pahala. Mereka yang negatif pula tidak sabar untuk turun dari jawatan kerana rabun dengan peluang yang terbentang luas untuk menempah syurga. Padahal, yang positif dan yang negatif tetap ditanya tentang amanah di hadapan Allah nanti.

Neraca persepsi perlu diseimbangkan antara targhib dan tarhib, antara mubassyira dan nazira, antara galakan dan ancaman, supaya khauf menebal dalam diri seorang hamba tanpa menghakis raja’ kepada Tuhannya.

Bersikap adil dan pandai menilai, itulah fokusnya.

Masih adakah lagi pemuda Islam yang berani melafazkan ucapan Nabi Yusuf AS?

“Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir), kerana sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga dan berpengetahuan.” Surah Yusuf, ayat 55.

Ucapan ini dilafaz bukan kerana habuan dunia yang mereka cari, tapi kerana Islam yang mereka yakini.

Ada, dan akan sentiasa ada.

Insya-Allah. 






Saturday 5 November 2011

Kutub Sittah PMRAM 2011.

1.Tiga hari yang rasa sangat cepat berlalu.29,30,dan 31 Oktober 2011. Membaca Sahih Bukhari bersama dengan para ulama Al Azhar, kami diajak mengembara ke zaman Nabi SAW dan para sahabat yang diredhai Allah, merentasi zaman. Harus tunggu tahun depan pula untuk melancong bersama para ulama ke zaman Nabi SAW.

Ilmu akan diangkat dengan ketiadaan mereka.Semoga Allah panjangkan usia mereka.
2. Kutub Sittah tahun lepas menurut seorang kawan, hadis-hadis banyak berkisar tentang muamalat.Bagi yang tidak ada asas fiqh muamalat yang gagah, mesti berpeluh rejap untuk faham.Tahun ini pula, hadis-hadis banyak berkisar tentang perang, perihal syurga neraka, para Nabi, kelebihan para sahabat dan lain-lain. Lebih mudah dihayati oleh orang awam seperti kita.

3. Sebelum ini baca buku-buku sirah seperti Fiqh As Sirah, Fiqh Al Harakah,Durus Wa Ibar, Nurul Yakin, dan lain-lain.Sekarang kita baca terus dari sumber kedua selepas Al Quran. Rasanya lebih sedap. Segar dari ladang. Kalau dapat baca sekali dengan syarahnya tentu lebih sedap. InsyaAllah, masa itu akan sampai.

Satu mukasurat dibahagi dua. Kitab jadi kurang tebal dan lebih ringan. Paling penting tangan lebih ringan untuk bayar sebab harga sudah tidak tebal.
4. Hari pertama selalu saja tersengguk-sengguk.Banyak hadis yang terlepas.Tambah pula Syeikh baca dengan kelajuan yang sangat tinggi.Hari kedua kantuk semakin kurang kerana sudah boleh nampak rentak bacaan hadis.Hari ketiga kantuk melarikan diri jauh-jauh.Mata segar sejak pagi sampai malam.Alhamdulillah.

5.Membaca Sahih Bukhari seolah-olah kami mengembara dari satu taman ke taman yang lain. Ada hadis yang menyedihkan hati seperti hadis Ifki yang menguji ibunda bagi orang-orang beriman, Sayyidatina Aisyah RA. Sedih sungguh kisah itu.Sangatlah tidak adil jika menangis tengok KCB tapi mata masih kering bila baca kisah Ifki.

Ada juga hadis-hadis yang membakar semangat seperti perang Uhud, Khandak, Khaibar, dan Badar. Ada juga hadis yang menggelikan hati seperti kisah seorang lelaki yang minta Nabi SAW doa supaya hujan turun di kawasannya.Bila hujan turun tidak henti, beliau datang semula jumpa Nabi SAW minta supaya Nabi SAW doa hujan tidak turun.Nabi SAW tersenyum.

6.Banyak juga hadis yang menceritakan kematian para sahabat. Ini juga kisah-kisah yang menyayat hati.Cuba kita tengok bagaimana sahabat-sahabat ini meninggal;
                a. Sayidina Umar al Khatab ditikam seorang lelaki. Apabila beliau minum air, air itu akan keluar dari tempat luka beliau. Diberi susu, susu juga keluar dari tempat luka itu.Beliau akhirnya syahid.(hadis 3700).
                b. Saidina Jaafar bin Abi Talib menyertai peperangan Mu’tah lalu syahid.Ibnu Umar bilang lubang tikaman pada badan Sayidina Jaafar.Ada 50 semuanya.(hadis 4260).
                c. Seorang sahabat menyertai peperangan Uhud lalu syahid. Pada jenazah beliau terdapat 80 lebih kesan tikaman.Jenazah mulia beliau tidak dapat dicam kecuali hujung jarinya.Itu pun selepas dipanggil saudara perempuan beliau untuk cam.(hadis 4048).

Semoga Allah merahmati mereka semua.

Bagaimana pula mayat kita nanti?

Alang-alang akan mati, lebih baik niat mati syahid. Semoga tetap dapat pahala syahid seperti para sahabat di atas walaupun penghujung nyawa kita ialah di atas katil.

7.Sangat banyak nasihat berguna yang para ulama hadiahkan kepada kami.Muhaddis dari Iskandariah, Syeikh Muhammad Ibrahim al Kattani berpesan supaya ikhlas belajar kerana Allah. Mufti Mesir, Syeikh Dr. Ali Jumaah pula pesan supaya sentiasa berzikir dan bertawakal kepada Allah dalam mencari ilmu.Beliau sangat hebat.Dapat ingat banyak judul buku berserta dengan bilangan jilidnya sekali.Tak tahulah berapa jam sehari Syeikh peruntukkan masa untuk baca buku. 
  
Syeikh Muhammad Ibrahim al Kattani sedang beramah mesra dengan seorang habib.
Syeikh Dr. Yusri.Klik untuk kenal.
8. Balik saja dari majlis hadis, badan rasa ringan.Hati mula insaf rasa jauhnya kita dengan Nabi SAW.Rupa-rupanya hati kita mati bila lama tidak bersama dengan para ulama untuk mendapatkan peringatan.

Seorang ulama nama Fathul Mausili rahimahullah bertanya kepada anak-anak murid beliau.
“Adakah seorang pesakit yang tidak diberi makan minum dan ubat itu akan mati?”
Murid-murid beliau menjawab,”Sudah pasti.”
Beliau membalas,”Begitu juga hati.Jika tidak diberi ilmu dan hikmah selama tiga hari maka ia akan mati.”
(Mauizatul Mukminin.)

9.Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah untuk belajar dan beramal.

Imam Hasan al Basri bercerita tentang ulama dan para penuntut ilmu pada zamannya. Beliau berkata,
“Seseorang dari kalangan salaf menuntut ilmu dan belum berapa lama sudah dapat dilihat pengaruh ilmu dalam solatnya, kekhusyukannya, perkataannya, dan keperibadiannya.”

Sudah siap.

Tutup dengan kata-kata di bawah inilah.Semenjak dua ni selalu sahaja berfikir tentang kata-kata di bawah ini, walaupun sudah lupa bagaimana ia muncul;

~Matlamat ilmu itu bukan ilmu.

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...