Thursday 30 October 2014

Berat tangan nak berdoa?

Tadi ambo tengok seorang lelaki berdoa lepas solat.

Lelaki ni bukan muda, nampak sudah berumur, tapi tidak tua sangat. Tubuhnya kurus dan cengkung. Kulitnya pun tidak cerah, nampak seperti orang duduk lama bawah panas matahari. Tangannya berurat, seperti orang yang biasa buat kerja berat. Jubah yang dia pakai pun jenis yang kain kasar, tidak licin. Kain di kepala dililit dengan lilitan biasa seperti lilitan orang2 baladi, tidak seperti lilitan mana2 ahli ilmu atau kelompok agama.

Masa doa dia angkat tangan paras dada. Mulutnya terkumat-kamit bergerak, tapi tanpa bunyi. Sambil doa tangannya nampak seperti terhenjut2, seolah2 dia sangat berhajat dengan benda yang dia minta. Habis berdoa dia cium dua tangan dia hingga berbunyi, sampai ambo yang duduk tidak jauh daripada dia pun boleh dengar.

Ambo teringat orang kata, kalau berdoa kena ibarat seolah2 kita sebatang kara di padang pasir, atau kita di tengah2 lautan berpaut pada sebatang kayu , seolah2 kita tidak ada apa. Begitu barulah kita akan doa dengan sungguh2.

Adapun kalau kita doa sambil kita ingat segala kemewahan dan kemudahan yang ada, masa tu angkat tangan nak doa pun rasa berat.

Lepas doa dia solat dua rakaat, kemudian turun dari masjid. Ambo perhati dia, sambil dalam hati ambo teringat kata2 Imam As Syafie , " Aku mencintai orang2 soleh, walaupun aku bukan daripada kalangan mereka."

Sunday 26 October 2014

Maksiat penghalang ilmu.

Setiap kali Imam Abu Hanifah menemui kesulitan dalam permasalahan, beliau berkata kepada para muridnya , " Semua ini kerana dosa yang aku lakukan."

Lalu beliau akan beristighfar, kadang2 berdiri dan solat, hingga terbuka baginya permasalahannya.

Beliau berkata , " Aku berharap Allah telah menerima taubatku."

Bermaksud, apabila Allah membukakan masalah dan memberikan kefahaman kepadanya, beliau berharap itu ialah tanda Allah telah mengampunkan dosanya, kerana ilmu syarie dan pemahaman tidak diberi melainkan kepada orang yang menjauhkan diri daripada maksiat.

Sedangkan Imam Abu Hanifah seorang yang wara dan jauh daripada melakukan maksiat.

- Buku Kaifa Tatahammas Litolibil Ilmi Syarie.

Tuesday 21 October 2014

Menilai penghayatan agama di satu tempat.

Ambo pernah berbual dengan seorang lelaki tabligh yang pernah singgah berdakwah di kampung ambo. Dia seorang yang rajin keluar masuk ke kampung2 dan negeri2 dan negara2 untuk berdakwah. 

Masa tu ambo lebih kurang tengah mengaji tingkatan 3.

Katanya , " Kalu nak nilai penghayatan Islam di satu2 kampung atau tempat, tengoklah pada agama muslimatnya, dari segi kefahaman agamanya, pergaulannya, akhlaknya, auratnya. Kerana keadaan agama muslimat memberi gambaran keadaan agama ayahnya, suaminya, abangnya, gurunya, pemimpinnya, yang sepatutnya mendidik mereka dengan ajaran Islam."

Tidaklah ambo tahu sejauh mana kebenaran hujah lelaki ini, melainkan ambo hormati pengalaman dakwahnya.

Sunday 19 October 2014

Uzlah.

Dikatakan, orang yang merendahkan maruah orang lain depan anda tidak mustahil akan merendahkan maruah anda depan orang lain, atau disebut ghibah.

Kerana itu, beruzlah atau mengasingkan diri daripada perkara atau pertemuan yang tidak bermanfaat, salah satunya adalah supaya manusia selamat daripada lidah anda dan anda pun selamat daripada lidah manusia, kerana lidah, semakin banyak digunakan maka semakin mudahlah ia tergelincir.

Disebabkan itu, telah berkata ahli hikmah tentang mahalnya menjaga lidah, " Kalaulah berkata yang baik diibaratkan seperti perak, maka diam daripada berkata perkara mungkar diibaratkan seperti emas."

Maksudnya, mengelak mudarat dengan diam daripada berkata perkara buruk adalah lebih utama daripada mengejar manfaat dengan berkata perkara baik.

Yang demikian itu dapat dicapai, salah satunya adalah melalui uzlah.

Lidah dan telinga akan disoal kelak, maka hanya pada Allah kita mohon perlindungan.

Sunday 5 October 2014

Pengalaman di Masjid Masakin.

Bersama Sheikh Yahya Azab, khatib Masjid Masakin dan juga seorang profesor di universiti mansurah, selepas selesai solat sunat Idil Adha.

Walaupun uzur, Sheikh Yahya tetap turun solat berjemaah di masjid setiap lima waktu. Rumahnya di tingkat 3 atau 4.

Kami sempat bertadarus dengan anaknya yang kami panggil Sheikh Abdul Rahman selama setahun lebih.

Tadarus dan tasmi' dengan Sheikh Abdul Rahman kami buat setiap pagi lepas solat subuh di masjid masakin.

Kami akan bertadarus dulu. Kemudian salah seorang daripada kami akan beri tazkirah bertadabur ayat yang kami baca. Tahun pertama di mesir pada masa tu memang bahasa arab kami berterabur. Tapi sheikh positif dan tidak lemahkan semangat kami. Lepas tazkirah dan tadabur kami akan mula tasmi'. Habis tasmi' kami baca atau hafal Al Quran.

Setiap kali kami khatam bacaan Al Quran , Sheikh Abdul Rahman akan jemput kami untuk makan di rumahnya.

Saya kira sepanjang saya bertadarus dengan Sheikh Abdul Rahman, kehidupan pada waktu tu sangat produktif sebab kami mesti bangun awal untuk bersiap ke masjid masakin setiap pagi. Bila awal pagi kita mulakan dengan amal kebaikan insyaAllah seluruh hari tersebut akan jadi positif.

Sheikh Abdul Rahman seorang yang istiqamah dengan i'tikaf di masjid lepas subuh. Beliau selalu ingatkan kami tentang ganjaran pahala umrah yang sempurna bagi mereka yang duduk berzikir lepas solat subuh hingga terbit fajar.

Pada hari Jumaat Sheikh Abdul Rahman akan ke masjid seawal jam 8 pagi, selepas balik dari iktikaf. Katanya orang yang lewat ke solat Jumaat dapat pahala yang sedikit seperti yang diceritakan dalam hadis Nabi SAW.

Cuma kesempatan kami bertadarus dengan Sheikh Abdul Rahman bertahan setahun lebih saja sebab Sheikh Abdul Rahman sambung belajar di Norway. Semalam saya tanya Sheikh Yahya, dia beritahu tidak pasti bila anaknya itu akan pulang.

Saya belajar satu perkara daripada pengalaman ini, iaitu untuk istiqamah berada dalam ketaatan, kita perlukan seseorang dan kumpulan yang dapat mendorong kita melakukan amal soleh.

Friday 3 October 2014

Talaqi dan tahun akhir.


Aktiviti bulan Ogos dan September 2014.

Tidak banyak pengajian agama yang sempat diikuti pada bulan September. Kebanyakan yang saya ikuti ialah majlis bacaan hadis di Masjid Jamal oleh Sheikh Mustafa Abu Sulaiman An Nadawi. Kami menggunakan kitab susunan Sheikh sendiri iaitu المسلسلات والدر الثمين والنوادر .

Kelas diadakan setiap 2 minggu sekali. Alhamdulillah kami diberi ijazah oleh Sheikh.

Itu saja seingatnya aktiviti pengajian agama yang sempat saya ikuti pada bulan Ogos dan September. Saya pernah berniat untuk ikuti pengajian bacaan hadis di rumah Sheikh Mustafa di Talkha pada hari Jumaat selepas solat maghrib tapi setakat ini belum ada kelapangan.

Niat yang hanya tinggal niat.

Ikhtiar sendiri.

Selebihnya saya peruntukkan masa 30 minit selepas subuh untuk ulang kaji pelajaran nahu dan menulis sedikit dalam masalah fikah perubatan dalam blog baru. Hanya 30 minit sahaja setiap hari. Ini saja komitmen yang mampu diberi buat masa sekarang. Tidak apalah. Sekurang-kurangnya pelajaran agama tidak ditinggalkan terus.

Mungkin kerana kekangan masa dan kesibukan dengan pengajian tahun akhir perubatan yang menuntut komitmen yang banyak sehingga akan terlepas pengajian agama selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan lamanya. Kosong daripada sebarang majlis bersama ulama sehingga cita-cita akhirat menjadi kabur dan samar.

Inilah cabaran untuk belajar agama dalam keadaan anda terikat dengan komitmen yang besar. Bukan mudah untuk seimbangkan pengajian agama dengan tanggungjawab2 lain yang anda sedang pikul. Saya sendiri masih belajar untuk buat keseimbangan yang adil.

Saya kira dengan memperuntukkan masa untuk baca sendiri pengajian agama paling kurang beberapa minit setiap hari sekurang-kurangnya akan sentiasa menghidupkan dan tidak mematikan cita-cita untuk mendalami agama dalam keadaan masa yang ada sangat terhad.

Persediaan masuk hospital tahun depan.

Kalau tidak ada halangan insya-Allah kami akan masuk berkhidmat pada bulan julai tahun depan. Ini berdasarkan kepada kebiasaan graduan universiti mansurah sebelum ini.

Masih banyak lagi persiapan yang mesti dibuat. 10 bulan terakhir sebelum masuk berkhidmat sangat bernilai. Sebaiknya masa yang berbaki ini digunakan untuk tampung mana-mana kekurangan dalam pengetahuan perubatan.

Ini sahaja sudah cukup untuk mengambil masa dan komitmen anda setiap hari. Masa yang diambil untuk tampung pengetahuan perubatan berkadar langsung dengan berapa banyak lubang yang anda mesti tampung.

Kerana itu sepanjang 10 bulan yang crucial ni saya hanya mampu rancang untuk baca sendiri pengajian agama selama beberapa minit setiap hari dan cuba untuk ikuti talaqi 2 minggu sekali atau sebulan sekali atau beberapa waktu sekali mengikut kelapangan yang ada.

Masa selebihnya ialah untuk exam tahun akhir dan buat persiapan bermain dengan nyawa manusia pada tahun hadapan.

Tanggungjawab yang besar.

Beberapa lintasan tajuk.

Saya berniat untuk menulis tentang beberapa perkara sekiranya diizinkan Allah.

Pertama tentang bagaimana menyusun mata pelajaran agama mengikut prioriti. Sangat lama untuk saya sedar tentang perkara ni. Saya kira saya belajar tentang hal ini the hardest way. Satu perkara yang sangat penting kerana sangat tidak efisien sekiranya kita hadir semua majlis pengajian agama yang ada di tempat kita sedangkan kita tidak tahu apa yang perlu dipelajari terlebih dahulu. Apatah lagi sekiranya kita tidak tahu apa yang kita cari.

Kedua saya berhajat untuk menulis tentang Sheikh Mahmud Al Abidi iaitu imam masjid jamal dan beberapa pengalaman saya melihat bagaimana masjid jamal mampu menjadi satu institusi dakwah yang sangat efektif di mansurah.

insya-Allah.

Akhir sekali saya berdoa semoga Allah berkati setiap masa kita dan membuka jalan untuk kita mendalami dan memahami agama Islam dengan ilmu dan petunjuk para ulama yang muktabar.

Amin.

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...