Sunday 25 August 2013

Evakuasi.

بسم الله الرحمن الرحيم


20 - 27 Ogos ialah tarikh pelajar Malaysia akan pulang ke Malaysia melalui proses evakuasi.

Sebilangan kecil pelajar ambil keputusan untuk kekal di Mesir dan tak pulang.

Saya salah seorang daripada mereka yang tidak pulang.

26 dan 27 Ogos akan ada exam round untuk internal med dan beberapa subjek lain. 3 Oktober nanti akan exam final untuk semua subjek.

Mungkin ini salah satu alasan untuk saya kekal di sini.

Lebih fokus.

Ya, tidak dinafikan ada juga beberapa alasan lain.

Apapun, setiap keputusan samada balik atau tidak ada baik buruk.

Gambar2 ini ialah perarakan pro Mursi pada hari Jumaat Ghadab atau Jumaat Kemarahan pada minggu lepas.

Gambar2 ini cuma diambil dari balkoni rumah saya..dan kesan gas pemedih mata sangat kuat boleh rasa dari jarak ini.

Rakyat Mesir banyak ajar kita sifat berani.

Sayup-sayup kedengaran dari balkoni rumah suara mereka membantah rampasan kuasa tentera.
Perhatikan beberapa peserta demontrasi terpaksa berhenti seketika sebab kesan gas pemedih mata. Mereka guna air bikarbonat yang dilumur pada kain dan dilap pada mata.

Thursday 8 August 2013

Bagaimana jika orang tidak hadir ke program dakwah yang kita anjur?


بسم الله الرحمن الرحيم



Bayangkan situasi ini.

Kita anjurkan satu program dakwah, kemudian kita jemput orang ramai untuk hadir. Tiba pada hari program, tidak ramai yang hadir. Bagaimana perasaan kita selaku penganjur?

Marah?

Merajuk?

Buat sindiran tajam sama ada pada status FB atau ketika berdepan dengan mereka yang tidak ikuti program dakwah kita?

Satu hari saya dengar tazkirah yang disampaikan oleh salah seorang ulama Al Azhar cawangan Mansurah. Kisah yang disampaikan ringkas saja iaitu kisah seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid Nabi SAW lalu dia buang air kecil dalam masjid. 

Kita tahu bagaimana perbezaan antara reaksi para sahabat dan reaksi Nabi SAW bila melihat keadaan itu. 

Kerana kesabaran Nabi SAW, lelaki itu semakin dekat dengan Islam.

Saya masih ingat ketika mula sampai di Mansurah. Abang-abang selalu jemput supaya saya hadiri program mereka. Ada yang saya pergi dan ada yang saya tidak sempat hadir. Mana-mana program yang saya hadiri mereka akan layan saya dengan baik. Mana-mana program yang saya terlepas, layanan mereka selepas itu tetap sama tidak berubah.

Tidak ada kata-kata sindiran pedas atau layanan yang dingin.

Ada baiknya kalau kita amati satu ayat daripada Surah Ali Imran ayat 159.

“ Maka berkat rahmat Allah engkau ( Nabi SAW ) berlaku lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu..” Ali Imran, ayat 159.

Sabar ialah kuncinya sedangkan perasaan marah hanya menjauhkan kita daripada sasaran dakwah.

Saya turut berpesan pada diri saya.

Allahu a’lam.


Sunday 4 August 2013

Pengenalan Surah Al Ahzab.

بسم الله الرحمن الرحيم

Surah Al Ahzab.

1.       Surah Al Ahzab ialah surah Madaniyyah yang mengandungi hukum hakam syariat Islam.
2.       Surah ini mengandungi 73 ayat.
3.       Secara umumnya surah ini dapat dibahagikan kepada 3 tujuan utama iaitu :

a.       Adab-adab Islam. Antaranya ialah :
                                                   i.      Adab walimah.
                                                 ii.      Adab menutup aurat dan tidak bertabarruj (berhias)
                                                iii.      Adab dengan Nabi SAW.
                                               iv.      Adab bermasyarakat.

b.      Hukum hakam syariat Islam. Antaranya ialah :
                                                   i.      Hukum zihar.
                                                 ii.      Hukum mengambil anak angkat.
                                                iii.      Warisan harta pusaka.
                                               iv.      Perihal tentang perkahwinan Nabi SAW yang lebih daripada seorang isteri dan hikmah daripadanya.
                                                 v.      Hukum selawat ke atas Nabi SAW.
                                               vi.      Hukum jemputan ke majlis walimah.
                                              vii.      Dan lain-lain.

c.       Cerita tentang peristiwa Perang Ahzab dan Perang Bani Quraizhah.
                                                   i.      Perang Ahzab juga dikenali sebagai Perang Khandak.
                                                 ii.      Peperangan ini berlaku dalam bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah.
                                                iii.      Dinamakan perang Al Ahzab yang bermaksud ‘kumpulan-kumpulan’ ialah kerana dalam peperangan ini kaum Musyrikin daripada pelbagai qabilah telah bergabung untuk memerangi umat Islam.
                                               iv.      Mereka yang terlibat dalam Peperangan  Ahzab ini ialah :
1.       Musyrikin Makkah.
2.       Bani Ghatfan.
3.       Bani Quraizhah.
4.       Bani Nadhir.
5.       Bani Fuzarah.
6.       Bani Murrah.
                                                 v.      Jumlah kaum Muslimin ialah 3,000 orang manakala jumlah tentera musuh ialah 10,000 orang.
                                               vi.      Dalam peperangan ini Allah mendedahkan tentang kisah orang-orang munafiq serta perancangan sulit mereka untuk menghancurkan Islam.
                                              vii.      Umat Islam berjaya memperoleh kemenangan dalam Perang Al Ahzab tanpa berlaku pertempuran. Sebahagian kaum Musyrikin cuba merempuh masuk namun berjaya dihalang sehingga mereka terpaksa berundur dan sebahagian daripada mereka telah dibunuh.
                                            viii.      Peperangan Bani Quraizhah pula berlaku sebaik sahaja selesai Perang Al Ahzab. Tentera Islam mengepung Bani Quraizhah selama 25 malam sehingga mereka akhirnya menyerah diri dan menerima hukuman daripada Rasulullah SAW.
                                               ix.      Rasulullah SAW melantik Saad bin Muaz untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Hukuman yang dikenakan ialah hukuman bunuh bagi penentang daripada kaum lelaki manakala kaum perempuan mereka ditawan.


Pengajaran : 

1. Islam ialah agama yang lengkap. Undang-undang dan adab-adab yang diajar oleh Rasulullah SAW mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Seharusnya bagi setiap Muslim untuk belajar mengenal perundangan dan adab-adab ini seterusnya melaksanakan dalam kehidupan individu dan masyarakat.

2. Sangat menghairankan apabila gabungan kaum musyrikin dengan jumlah mereka yang ramai telah mengalami kekalahan dalam peperangan ini. Dr Sa’id Ramadhan Al Buti mengatakan bahawa selain persiapan fizikal, faktor utama bagi mencapai kemenangan dalam apa sahaja peperangan ialah penyerahan diri kepada Allah dan ikhlas ubudiyyah kepada-Nya.

3. Sesungguhnya Islam kaya dengan sejarah yang membangkitkan semangat juang penganutnya. Kisah-kisah sejarah ini mesti dikaji dan diambil pengajaran untuk berhadapan dengan apa saja suasana yang berlaku pada umat Islam hari ini.

Allahu a’lam.

Rujukan :

1. Sofwah At Tafasir oleh As Sheikh Muhammad Ali As Sobuni.
2. Fiqh As Sirah oleh As Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al Buti.

(Tulisan ini akan dimuatkan dalam artikel IHRAM PCM insyaAllah. Semoga bermanfaat.)


Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...