Saturday 28 December 2013

Catatan kelas Syeikh Mustafa An Nadawi.

Kelas dimulakan pada pukul 1.45 petang. Sepatutnya kelas mula pada pukul 1 ptg. Kebetulan hari tu ada seorang ulama dari Dumyat datang ziarah Syeikh. Jadi kelas terpaksa mula lewat.

Kelas bacaan hadis Sohih Muslim ini diadakan di maktabah Syeikh di Talkha, lebih kurang 15 minit perjalanan dengan teksi dari kawasan Gala'.

Hari tu kami sempat baca bab doa dan istighfar. Bacaan ialah sambungan daripada kelas sebelum ni sehingga tamat bab doa dan istighfar.

Seperti biasa, bacaan hadis dengan Syeikh ialah bacaan secara terus dan Syeikh hanya menghuraikan beberapa hadis tertentu yang memerlukan kepada huraian.

Ada beberapa huraian daripada Syeikh sewaktu mensyarahkan hadis2 dalam bab ini. Antaranya ialah Syeikh mengatakan seorang daie wajib jadi seorang Az Zakir, iaitu seorang yang kuat berzikir kepada Allah. Kerana hidayah itu ialah milik Allah, dan Allah akan memberi hidayah kepada manusia melalui perantaraan orang yang dekat kepadaNya.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah bila Syeikh kata hidup kita ini berkat bila kita sentiasa berdamping dengan hadis Nabi Saw. Keberkatan dalam berumahtangga, keberkatan dalam urusan rezeki, dan apa sahaja urusan hidup kita, insyaAllah akan diberkati jika kita sentiasa berdamping atau menghadiri bacaan hadis Nabi Saw daripada sunan sittah.

Betapa kita mesti tanam satu cita2 untuk mendalami atau paling kurang menamatkan bacaan sunan sittah sebelum kita meninggalkan dunia ini. Semoga Allah makbulkan cita2 ini.

Thursday 12 December 2013

Sedekah ; ilmu daripada pengalaman.

Seorang lelaki yang sudah berusia, sudah beruban, kulit yang tidak lagi tegang, sudah mengecap pahit manis kelat tawar kehidupan, bercakap berpandu jatuh bangun  pengalaman hidup lalu, pada satu hari berkata kepada seorang anak muda ;

"Harta yang Allah bagi ko kita ni kalu kita tak keluarkan secara rela kepada agama (iaitu infaq/bersedekah pada jalan kebaikan), boleh jadi harta tadi akan diambil secara 'paksa' daripada kita."

"Boleh jadi duit kita hilang atau kena curi. Atau kita kemalangan atau sakit demam."

"Harta yang kita sayang nak keluarkan untuk agama tadi akhirnya habis jugok kut lain."

Anak muda merenung menilai.

Benar pengalaman juga satu ilmu terselit pengajaran bagi yang meneliti. Ilmu yang tidak tercatat pada lembaran tulisan sebaliknya tertulis dalam dada mereka yang sudah melalui penat zaman yang panjang.

Anak muda melipat pesanan pengalaman itu dengan kemas dalam diri, guna buat peta berjalan melangkah pada jalan kehidupan.

*Catatan ketika umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia ditimpa musibah, dan tabung2 kemanusiaan bertebaran menanti dihulur sedikit prihatin.

" Tidaklah harta berkurangan dengan sedekah."

Wednesday 4 December 2013

Latihan, latihan, dan latihan.


 بسم الله الرحمن الرحيم


Katakan pada satu hari kita mendapat satu jemputan untuk menghadiri satu program tarbiah berbentuk ceramah dan pengisian selama 2 jam.


Pengisian selama 2 jam ini ialah pengisian tarbiah diisi dengan kata-kata semangat yang membangkit kesedaran, maklumat-maklumat atau ilmu tentang bagaimana meneruskan dakwah dan kefahaman terhadap agama Islam, atau perkembangan terkini yang berlaku kepada umat Islam dan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia.


2 jam ini ialah tarbiah. Tapi yang lebih ‘tarbiah’ daripada 2 jam ini ialah perjuangan yang mesti dilakukan untuk berada dalam majlis tarbiah selama 2 jam ini.


Melawan nafsu dengan membuang keenakan berada di rumah untuk ke program tarbiah ialah tarbiah. Latihan mengikhlaskan hati hadir ke program tarbiah kerana Allah semata-mata dan bukan kerana yang lain ialah satu tarbiah. Kalau program tarbiah ini berada di luar kawasan maka kesabaran berjam-jam semasa bermusafir itu ialah tarbiah. Perbelanjaan wang yang dikeluarkan untuk menghadiri program tarbiah ialah tarbiah. 

Katakan tiba-tiba pengisian yang diberikan tidak menepati selera kita maka latihan untuk kekal berada dalam sifat tawadhu dan tidak ujub dengan diri sendiri ialah tarbiah. Sabar menahan sakit urat dan lenguh badan kerana berjam-jam bersila atau bersimpuh juga ialah tarbiah.

Bagaimana pula kalau tiba-tiba datang satu bisikan yang bertanya, untuk apakah dilakukan semua ini?


Maka menjawab balik bisikan tersebut dengan mengatakan ini ialah jalan yang dilalui oleh Nabi SAW dan para sahabat RA, dan kita ingin melalui jalan yang sama semata-mata kerana cinta kita kepada mereka, serta cita-cita kita untuk mati di atas jalan ini kerana mati itu tidak semestinya tua, juga ialah tarbiah.


Maka, tarbiah bermula sebelum daripada program tarbiah berlangsung, semasa program tarbiah sedang dijalankan, dan sepanjang tempoh menunggu untuk ke program tarbiah yang seterusnya. 


Tidak ada daya dan kekuatan melainkan semuanya milik Allah.

( Rasanya setahun lebih saya simpan tulisan ini dalam koleksi draft. Semoga tulisan ini adalah kerana Allah.)


Antara belajar dan wirid.



 بسم الله الرحمن الرحيم



Katakanlah ada satu keadaan seorang penuntut ilmu terpaksa menghadiri majlis-majlis pengajian sehingga beberapa amalan sunat atau wirid harian yang ditetapkan untuk dirinya sendiri seperti solat sunat rawatib dan zikir mathurat tidak dapat ditunaikan dengan baik.


Bila dilihat dalam Al Azkar An Nawawi maka kita akan dapati satu pesanan daripada Imam An Nawawi supaya wirid harian yang terlepas ini ditunaikan atau qada pada waktu lain. Apabila seseorang itu tidak menggantikan atau qada wirid yang terlepas ini maka dia cenderung untuk mengabaikan wiridnya pada masa akan datang. 


Imam An Nawawi mendatangkan satu hadis daripada Nabi SAW yang bersabda ,” Sesiapa yang tertidur dari bacaan hizibnya, kemudian dia membacanya antara solat Subuh dan solat Zuhur, maka akan dicatatkan seakan-akan dia membacanya pada malam hari.” Sahih Muslim.


Bila dilihat dalam buku Mukhtasar Minhajul Qasidin iaitu ringkasan kepada Ihya Ulumuddin, ada satu bab bertajuk “ Perbezaan wirid berbeza mengikut keadaan”. Tuan Guru Nik Aziz pernah buat huraian tentang bab ini dalam majlis pengajian beliau tetapi dengan menggunakan buku Mauizatul Mukminin yang juga merupakan ringkasan kepada Ihya Ulumuddin. Disebutkan bahawa mereka yang meniti jalan akhirat terbahagi kepada 6 keadaan atau golongan.


      1.       Abid.
      2.       Seorang alim yang manusia mengambil manfaat daripada ilmunya.
      3.       Penuntut ilmu.
      4.       Wali ( seperti Qadhi atau mereka yang menjaga urusan kaum Muslimin.)
      5.       Mereka yang bekerja mencari nafkah untuk kehidupan.
      6.       Mereka yang tenggelam dengan perasaan cinta kepada Allah.


Wirid harian bagi setiap golongan tidak sama antara satu dengan yang lain. Pengarang kitab menyebut bahawa bagi seorang penuntut ilmu, hendaklah dia menjaga amalan fardu dengan baik. Kemudian menghadiri majlis ilmu dan majlis peringatan adalah lebih afdal daripada kesibukan dalam mengerjakan wirid.


Kadang-kadang kita boleh berada dalam satu situasi dikelilingi dengan banyak urusan sehingga masa yang ada sangat sempit. Kita keliru samada untuk tegas dalam menjaga wirid harian dan qada mana yang tertinggal atau hanya memberi tumpuan kepada amalan wajib dan beberapa amalan asas sahaja dan baki masa diperuntukkan untuk ilmu dan tanggungjawab lain.


Ada satu kata-kata yang sangat baik daripada Imam Hasan Al Basri yang menggabungkan antara kedua-dua hal ini. Beliau berkata, “ Carilah ilmu dengan tidak mengganggu waktu ibadah dan beribadahlah dengan tidak mengganggu waktu menuntut ilmu.” 


Pesanan daripada Imam Hasan Al Basri ini adalah supaya seorang Muslim itu meletakkan  setiap urusan dengan nisbah yang sesuai dan seimbang supaya amanah dan tanggungjawab lain tidak terabai.


Ada satu kata-kata daripada hukama yang berkata,


  “ ما رأيت إسرافا إلا بجانبه حق مضيع

"Aku tidak melihat seseorang itu berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu melainkan di sisinya ada hak yang akan terabai.” 

(Kata-kata di atas ni saya salin daripada satu ceramah agama. Setakat ni saya tak jumpa lagi daripada mana-mana buku. )


Semoga tulisan ini bermanfaat.


( Hampir setahun simpan tulisan ini dalam draft.)


Rujukan : 

 1. Al Azkar An Nawawi.
 2. Mukhtasar Minhajul Qasidin oleh Al Imam Ahmad Bin Qudamah Al Maqdisi.
 3. Mauizatul Mukminin Min Ihya Ulumiddin oleh Al Imam As Sayyid Jamaluddin Al Qasimi Al Dimasyqi.
 3. Kaifa Tatahammas Litolibil Ilmil Syarie oleh Abul Qa'qa Muhammad bin Saleh.


Tuesday 3 December 2013

Proses mencari jawapan.



بسم الله الرحمن الرحيم



Di Masjid Jamal biasanya ada satu kumpulan yang duduk baca Al Quran selepas solat Subuh hingga masuk waktu solat Dhuha. Mereka ini kadang-kadang berbeza pandangan tentang satu2 isu. Sebagai contoh mereka pernah berbeza pandangan dalam masalah tajwid, masalah fiqh dalam solat dan kadang-kadang masalah politik Mesir. 


Bila timbul perdebatan tentang satu2 isu kadang2 perdebatan boleh berlanjutan sehingga mengambil masa yang panjang.


Kadang2 perdebatan itu dapat diselesaikan dengan baik. Kadang-kadang pula perdebatan itu menjadi panas sehingga mereka akan panggil imam kalau kebetulan pagi tersebut imam ada di masjid untuk terangkan perselisihan pendapat mereka. 


Di sini ada beberapa kemungkinan :


Situasi 1 :


Mereka berdebat pada isu yang kesemua ahli dalam tu tidak tahu. Mereka tahu yang mereka tidak tahu tapi mereka tetap berbahas tanpa berlandaskan kepada sumber ilmu yang betul. Akhirnya mereka berpegang pada jawapan yang tidak tepat. Mereka tidak berusaha untuk tanya kepada orang yang pakar dalam masalah tersebut, sebaliknya kekal berpegang kepada jawapan yang tidak betul itu sehingga membawa kepada amal yang tidak betul. 


Sebagai contoh kalau masalah itu ialah masalah tajwid maka bacaan Al Quran mereka akan salah. Kalau masalah itu ialah masalah fiqh dalam solat maka solat mereka mungkin tidak sah. Begitulah seterusnya.


Situasi 2 :


Mereka berdebat pada satu persoalan yang semua ahli dalam tu tidak tahu apakah sebenarnya jawapan yang betul. Mereka membuka ruang untuk masing-masing mengeluarkan pandangan menurut andaian sendiri tetapi mereka tidak berpegang kepada mana2 jawapan sebaliknya mereka kekalkan pandangan yang pelbagai itu sebagai satu hipotesis atau andaian jawapan. 


Mereka ambil masa untuk rujuk orang yang pakar untuk mendapatkan jawapan yang sebenar. Bila sudah ada jawapan daripada mereka yang pakar berdasarkan sumber ilmu yang betul maka mereka akan datang keesokan hari dan berkongsi dengan ahli yang lain tentang jawapan tadi. Dalam contoh di atas mereka bertanyakan persoalan yang sukar tadi kepada imam masjid.


Situasi 3 :


Salah seorang daripada mereka ialah pakar dalam bidang yang menjadi perselisihan. Sebagai contoh mereka berselisih pendapat tentang masalah bacaan tajwid dalam Al Quran. Salah seorang daripada mereka ialah guru Al Quran. Jadi, perselisihan pendapat tadi dapat dirungkaikan oleh guru Al Quran itu dengan baik pada masa itu juga. 


Komentar :


Perkara yang sama juga berlaku dalam kehidupan harian kita. Boleh jadi perkara ini turut berlaku dalam usrah yang kita bawa, atau group FB/whassup yang kita uruskan. 


Untuk situasi 1, jika kesemua ahli tidak tahu jawapan yang betul maka mereka mestilah merujuk persoalan tadi kepada orang yang tahu. Jawapan terbaik kepada persoalan yang kita tidak tahu ialah tidak tahu. Langkah yang mesti diambil ialah seperti dalam situasi 2. Salin persoalan tadi dan tanyakan kepada orang yang tahu.


Allahu a’lam.




Monday 2 December 2013

Nampak gambaran keseluruhan sebelum menjatuhkan hukum.



بسم الله الرحمن الرحيم


( Tulisan ini ialah ringkasan kepada ceramah Ustaz Nasarudin Daud tentang kisah perselisihan faham antara Zubair bin Awwam dan Hatib bin Abi Baltaah tentang masalah aliran air ke kebun masing-masing. )


Kisah ini berlaku di Madinah.


Zubair bin Awwam dan Hatib bin Abi Baltaah masing-masing mempunyai sebuah kebun. Perselisihan faham timbul tentang aliran air perlu masuk ke kebun siapa dahulu. Zubair bin Awwam mengatakan aliran air mesti masuk ke kebunnya terlebih dahulu. Begitu juga Hatib bin Abi Baltaah bertegas bahawa aliran air mesti dialirkan ke kebunnya dahulu. Perselisihan ini tidak dapat diselesaikan dan dibawa kepada Nabi SAW.


Nabi SAW memanggil mereka berdua untuk mendapatkan penjelasan dan bertanya tentang lokasi kebun. Selepas mendapat maklumat yang jelas akhirnya Rasulullah SAW memutuskan supaya aliran air tadi dialirkan ke kebun Zubair bin Awwam terlebih dahulu.


Ustaz Nasarudin Daud semasa menghuraikan kisah sirah ini mendatangkan satu kaedah hukum iaitu :

 الحكم على شيء فرع عن تصوره


"Hukum terhadap sesuatu itu, sebahagiannya terletak pada memahami gambarannya."


Iaitu penting seseorang untuk memahami satu-satu masalah secara keseluruhan sebelum membuat keputusan dan menjatuhkan hukum. Dalam kisah sirah di atas, Nabi SAW mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua sahabat dan mendapatkan maklumat tentang lokasi kebun terlebih dahulu sebelum membuat keputusan tentang kebun siapakah yang paling layak untuk mendapat aliran air terlebih dahulu.

...........................

Komentar :

Masalah yang berlaku pada hari ialah bila ada satu-satu isu setiap orang mula sebarkan berita dan menjatuhkan hukum tanpa mengkaji masalah dengan adil.

Silakan untuk berpolitik atau mengulas isu-isu semasa asalkan berpolitik dengan cara Islam.

Allahu a'lam.

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...