Saturday, 5 November 2011

Kutub Sittah PMRAM 2011.

1.Tiga hari yang rasa sangat cepat berlalu.29,30,dan 31 Oktober 2011. Membaca Sahih Bukhari bersama dengan para ulama Al Azhar, kami diajak mengembara ke zaman Nabi SAW dan para sahabat yang diredhai Allah, merentasi zaman. Harus tunggu tahun depan pula untuk melancong bersama para ulama ke zaman Nabi SAW.

Ilmu akan diangkat dengan ketiadaan mereka.Semoga Allah panjangkan usia mereka.
2. Kutub Sittah tahun lepas menurut seorang kawan, hadis-hadis banyak berkisar tentang muamalat.Bagi yang tidak ada asas fiqh muamalat yang gagah, mesti berpeluh rejap untuk faham.Tahun ini pula, hadis-hadis banyak berkisar tentang perang, perihal syurga neraka, para Nabi, kelebihan para sahabat dan lain-lain. Lebih mudah dihayati oleh orang awam seperti kita.

3. Sebelum ini baca buku-buku sirah seperti Fiqh As Sirah, Fiqh Al Harakah,Durus Wa Ibar, Nurul Yakin, dan lain-lain.Sekarang kita baca terus dari sumber kedua selepas Al Quran. Rasanya lebih sedap. Segar dari ladang. Kalau dapat baca sekali dengan syarahnya tentu lebih sedap. InsyaAllah, masa itu akan sampai.

Satu mukasurat dibahagi dua. Kitab jadi kurang tebal dan lebih ringan. Paling penting tangan lebih ringan untuk bayar sebab harga sudah tidak tebal.
4. Hari pertama selalu saja tersengguk-sengguk.Banyak hadis yang terlepas.Tambah pula Syeikh baca dengan kelajuan yang sangat tinggi.Hari kedua kantuk semakin kurang kerana sudah boleh nampak rentak bacaan hadis.Hari ketiga kantuk melarikan diri jauh-jauh.Mata segar sejak pagi sampai malam.Alhamdulillah.

5.Membaca Sahih Bukhari seolah-olah kami mengembara dari satu taman ke taman yang lain. Ada hadis yang menyedihkan hati seperti hadis Ifki yang menguji ibunda bagi orang-orang beriman, Sayyidatina Aisyah RA. Sedih sungguh kisah itu.Sangatlah tidak adil jika menangis tengok KCB tapi mata masih kering bila baca kisah Ifki.

Ada juga hadis-hadis yang membakar semangat seperti perang Uhud, Khandak, Khaibar, dan Badar. Ada juga hadis yang menggelikan hati seperti kisah seorang lelaki yang minta Nabi SAW doa supaya hujan turun di kawasannya.Bila hujan turun tidak henti, beliau datang semula jumpa Nabi SAW minta supaya Nabi SAW doa hujan tidak turun.Nabi SAW tersenyum.

6.Banyak juga hadis yang menceritakan kematian para sahabat. Ini juga kisah-kisah yang menyayat hati.Cuba kita tengok bagaimana sahabat-sahabat ini meninggal;
                a. Sayidina Umar al Khatab ditikam seorang lelaki. Apabila beliau minum air, air itu akan keluar dari tempat luka beliau. Diberi susu, susu juga keluar dari tempat luka itu.Beliau akhirnya syahid.(hadis 3700).
                b. Saidina Jaafar bin Abi Talib menyertai peperangan Mu’tah lalu syahid.Ibnu Umar bilang lubang tikaman pada badan Sayidina Jaafar.Ada 50 semuanya.(hadis 4260).
                c. Seorang sahabat menyertai peperangan Uhud lalu syahid. Pada jenazah beliau terdapat 80 lebih kesan tikaman.Jenazah mulia beliau tidak dapat dicam kecuali hujung jarinya.Itu pun selepas dipanggil saudara perempuan beliau untuk cam.(hadis 4048).

Semoga Allah merahmati mereka semua.

Bagaimana pula mayat kita nanti?

Alang-alang akan mati, lebih baik niat mati syahid. Semoga tetap dapat pahala syahid seperti para sahabat di atas walaupun penghujung nyawa kita ialah di atas katil.

7.Sangat banyak nasihat berguna yang para ulama hadiahkan kepada kami.Muhaddis dari Iskandariah, Syeikh Muhammad Ibrahim al Kattani berpesan supaya ikhlas belajar kerana Allah. Mufti Mesir, Syeikh Dr. Ali Jumaah pula pesan supaya sentiasa berzikir dan bertawakal kepada Allah dalam mencari ilmu.Beliau sangat hebat.Dapat ingat banyak judul buku berserta dengan bilangan jilidnya sekali.Tak tahulah berapa jam sehari Syeikh peruntukkan masa untuk baca buku. 
  
Syeikh Muhammad Ibrahim al Kattani sedang beramah mesra dengan seorang habib.
Syeikh Dr. Yusri.Klik untuk kenal.
8. Balik saja dari majlis hadis, badan rasa ringan.Hati mula insaf rasa jauhnya kita dengan Nabi SAW.Rupa-rupanya hati kita mati bila lama tidak bersama dengan para ulama untuk mendapatkan peringatan.

Seorang ulama nama Fathul Mausili rahimahullah bertanya kepada anak-anak murid beliau.
“Adakah seorang pesakit yang tidak diberi makan minum dan ubat itu akan mati?”
Murid-murid beliau menjawab,”Sudah pasti.”
Beliau membalas,”Begitu juga hati.Jika tidak diberi ilmu dan hikmah selama tiga hari maka ia akan mati.”
(Mauizatul Mukminin.)

9.Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah untuk belajar dan beramal.

Imam Hasan al Basri bercerita tentang ulama dan para penuntut ilmu pada zamannya. Beliau berkata,
“Seseorang dari kalangan salaf menuntut ilmu dan belum berapa lama sudah dapat dilihat pengaruh ilmu dalam solatnya, kekhusyukannya, perkataannya, dan keperibadiannya.”

Sudah siap.

Tutup dengan kata-kata di bawah inilah.Semenjak dua ni selalu sahaja berfikir tentang kata-kata di bawah ini, walaupun sudah lupa bagaimana ia muncul;

~Matlamat ilmu itu bukan ilmu.

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...