Mengambil cermin muhasabah sambil menilik diri sendiri, ternyata masih banyak sifat-sifat mazmumah dalam diri.
Sangat takut, terutama apabila baca ayat-ayat perihal orang munafiq. Ternyata banyak sifat-sifat mereka memercik pada diri, walaupun bukan secara akidi.
Mengintai umat Islam menggunakan teropong Islam, ternampak budaya Barat sedang mengambil alih ajaran Junjungan Nabi SAW. Benarlah sabda Sang Kekasih SAW, kita umat Islam akan ikut Yahudi dan Nasara walaupun ke dalam lubang biawak.
Kerajaan?
Sang kerajaan ialah ayah kepada rakyat, mendidik anaknya supaya beramal dengan Islam. Keadaan yang berlaku nampaknya tidak begitu. Anak telah menjadi ayah, menasihati si ayah supaya beramal dengan Islam.
Zaman kita ini nampaknya umat Islam memang sedang diuji. Bermula dari diri kita sendiri, keluarga, masyarakat, dan kerajaan.
Dan seterusnya.
Sebahagian berkata, baikilah diri sendiri dahulu. Berikan tumpuan kepada pembinaan fardil Muslim, kerana inilah yang Nabi SAW lakukan semasa di Mekah. Jangan dicampuri urusan politik dan kerajaan, kerana itu ialah sifat tergesa-gesa untuk menang, dan sifat tergesa-gesa tidak layak bagi seorang Muslim.
Kita katakan kepada mereka, kami beriman dengan pembinaan fardil Muslim yang Nabi SAW lakukan semasa di Mekah , dan kami juga beriman dengan pembinaan negara Islam yang Nabi SAW usahakan semasa di Madinah.
Kerana kami diperintahkan untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan, kerana Islam sudah sempurna.
Kita cuba membaiki diri kita sendiri, membina keluarga, masyarakat, dan kerajaan Islam, sehingga lengkap maratibul amal yang tujuh itu.
Islam ialah sistem yang menyeluruh, yang menyentuh seluruh aspek kehidupan. Ia adalah negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan keadilan, material dan kekayaan alam, penghasilan dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran, sebagaimana ia juga adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tiada penambahan dan tiada pengurangan. –Imam Hasan al Banna.
Syumul ialah prinsip yang kita anuti. Di mana nampak ruang, di situ kita manfaat peluang.
Ada yang kata kita masih berada pada tahap pertama, pembinaan fardil muslim. Sebahagian pula memilih tahap keempat, tahrirul watan. Yang lain pula terus kepada khilafah Islam.
Kefahaman untuk menilai di mana tahap kita berada sekarang ini, mungkin menjadi punca kepada beberapa perbezaan pendapat antara kita.
Membuat penilaian ini bukan senang. Cara yang selamat, taklid atau bersandar kepada pedoman yang ulama keluarkan, tanpa kita berhenti daripada mengkaji dan berfikir.
Bagaimana memilih ulama untuk kita bersandar?
Ini satu hal pula. Kesilapan memilih menatijahkan hasil yang kita tidak mahu.
Buat masa sekarang dengan kemampuan diri yang terbatas, lebih selesa bersandar kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, memandangkan hubungan rapat beliau dengan ulama-ulama muktabar dunia seperti Dr Yusof Al Qaradhawi dan hubungan beliau dengan pimpinan gerakan Islam dunia.
Hati lebih yakin.
Semoga lebih dekat dengan kebenaran.
No comments:
Post a Comment