Tuesday 27 September 2011

Dengan nama Allah.



Bismillahirrahmanirrahim. 

Ini hanya tulisan ringkas sebagai permulaan kepada ruangan ini.

Kebanyakan ulama hadis memulakan tulisan mereka dengan menulis sepotong hadis tentang ikhlas. Imam Abdul Rahman Ibn Mahdi rahimahullah berkata,

“Seandainya aku mengarang sebuah kitab, sudah tentu aku akan mulai dengan hadis ini.”

 “Segala amalan itu hanya dikira mengikut niat,dan seseorang itu hanya mendapat berdasarkan apa yang dia niatkan.Maka sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan Rasulnya,maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya.Dan sesiapa yang hijrahnya hanya untuk mendapatkan kesenangan dunia atau kerana ingin berkahwin dengan seseorang perempuan,maka nilai hijrahnya seperti yang diniatkannya itu.”Muttafaqun alaih.

 Harapannya, moga-moga ruangan ini bermanfaat kepada saya dan kita semua.

Seorang sahaja pembaca yang mendapat manfaat daripada ruangan ini, lebih baik daripada 10 orang pembaca yang tidak mendapat apa-apa. Kalaulah ditakdirkan yang seorang sahaja itu ialah saya sendiri, maka itu sudah memadai. Kalau kebetulan ramai yang mendapat manfaat sehingga pahala manfaat itu mengalir kepada saya, maka itulah yang sebaik-baiknya.

“Demi Allah,petunjuk yang Allah berikan kepada seorang lelaki disebabkan perantaraanmu, lebih baik bagimu daripada unta yang berwarna merah.” Al Hadis.

Seorang ulama bernama Abul Qa’qa’ mengatakan, tulisan itu umpama seorang anak yang selalu menyebut-nyebut ilmu dan pemikiran bapanya, iaitu penulis, supaya diteladani oleh manusia.

Lihat sahaja kitab Al Umm yang selalu menyebut-nyebut keilmuan Imam As Syafie supaya menjadi pedoman kepada umat manusia. Al Imam sudah meninggalkan kita beberapa abad yang lalu. Namun, usia amalannya telah dipanjangkan oleh anaknya yang baik hati itu sehingga ke hari ini, dengan rahmat dari Allah.

Lihat pula Imam Hasan al Banna. Buku-buku tulisan beliau tidaklah sebanyak ulama-ulama lain seperti Sayyid Qutb, pemilik tafsir Zilal yang berjilid-jilid itu. Tulisan As Syahid hanyalah makalah-makalah ringkas.

Tapi, cuba lihat bagaimana idea, gagasan pemikiran, dan nasihat-nasihat beliau masih hidup sehingga ke hari ini. As Syahid menulis tidak menggunakan pen dan kertas, sebaliknya menggunakan qudwah hasanah sebagai dakwat lalu dikarang di atas helaian hati-hati umat Islam, sehingga masih berbekas sampai ke hari ini.

Kalaulah kita juga ada qudwah hasanah seperti As Syahid, atau anak-anak seperti Al Umm, atau kita ada kedua-duanya sekali  yang akan memanjangkan usia amalan kita, tentu kita puas hati untuk mati.

Semoga ikhlas sentiasa menemani saya dan kita semua.

Akhukum. 

No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...