Wednesday 4 December 2013

Antara belajar dan wirid.



 بسم الله الرحمن الرحيم



Katakanlah ada satu keadaan seorang penuntut ilmu terpaksa menghadiri majlis-majlis pengajian sehingga beberapa amalan sunat atau wirid harian yang ditetapkan untuk dirinya sendiri seperti solat sunat rawatib dan zikir mathurat tidak dapat ditunaikan dengan baik.


Bila dilihat dalam Al Azkar An Nawawi maka kita akan dapati satu pesanan daripada Imam An Nawawi supaya wirid harian yang terlepas ini ditunaikan atau qada pada waktu lain. Apabila seseorang itu tidak menggantikan atau qada wirid yang terlepas ini maka dia cenderung untuk mengabaikan wiridnya pada masa akan datang. 


Imam An Nawawi mendatangkan satu hadis daripada Nabi SAW yang bersabda ,” Sesiapa yang tertidur dari bacaan hizibnya, kemudian dia membacanya antara solat Subuh dan solat Zuhur, maka akan dicatatkan seakan-akan dia membacanya pada malam hari.” Sahih Muslim.


Bila dilihat dalam buku Mukhtasar Minhajul Qasidin iaitu ringkasan kepada Ihya Ulumuddin, ada satu bab bertajuk “ Perbezaan wirid berbeza mengikut keadaan”. Tuan Guru Nik Aziz pernah buat huraian tentang bab ini dalam majlis pengajian beliau tetapi dengan menggunakan buku Mauizatul Mukminin yang juga merupakan ringkasan kepada Ihya Ulumuddin. Disebutkan bahawa mereka yang meniti jalan akhirat terbahagi kepada 6 keadaan atau golongan.


      1.       Abid.
      2.       Seorang alim yang manusia mengambil manfaat daripada ilmunya.
      3.       Penuntut ilmu.
      4.       Wali ( seperti Qadhi atau mereka yang menjaga urusan kaum Muslimin.)
      5.       Mereka yang bekerja mencari nafkah untuk kehidupan.
      6.       Mereka yang tenggelam dengan perasaan cinta kepada Allah.


Wirid harian bagi setiap golongan tidak sama antara satu dengan yang lain. Pengarang kitab menyebut bahawa bagi seorang penuntut ilmu, hendaklah dia menjaga amalan fardu dengan baik. Kemudian menghadiri majlis ilmu dan majlis peringatan adalah lebih afdal daripada kesibukan dalam mengerjakan wirid.


Kadang-kadang kita boleh berada dalam satu situasi dikelilingi dengan banyak urusan sehingga masa yang ada sangat sempit. Kita keliru samada untuk tegas dalam menjaga wirid harian dan qada mana yang tertinggal atau hanya memberi tumpuan kepada amalan wajib dan beberapa amalan asas sahaja dan baki masa diperuntukkan untuk ilmu dan tanggungjawab lain.


Ada satu kata-kata yang sangat baik daripada Imam Hasan Al Basri yang menggabungkan antara kedua-dua hal ini. Beliau berkata, “ Carilah ilmu dengan tidak mengganggu waktu ibadah dan beribadahlah dengan tidak mengganggu waktu menuntut ilmu.” 


Pesanan daripada Imam Hasan Al Basri ini adalah supaya seorang Muslim itu meletakkan  setiap urusan dengan nisbah yang sesuai dan seimbang supaya amanah dan tanggungjawab lain tidak terabai.


Ada satu kata-kata daripada hukama yang berkata,


  “ ما رأيت إسرافا إلا بجانبه حق مضيع

"Aku tidak melihat seseorang itu berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu melainkan di sisinya ada hak yang akan terabai.” 

(Kata-kata di atas ni saya salin daripada satu ceramah agama. Setakat ni saya tak jumpa lagi daripada mana-mana buku. )


Semoga tulisan ini bermanfaat.


( Hampir setahun simpan tulisan ini dalam draft.)


Rujukan : 

 1. Al Azkar An Nawawi.
 2. Mukhtasar Minhajul Qasidin oleh Al Imam Ahmad Bin Qudamah Al Maqdisi.
 3. Mauizatul Mukminin Min Ihya Ulumiddin oleh Al Imam As Sayyid Jamaluddin Al Qasimi Al Dimasyqi.
 3. Kaifa Tatahammas Litolibil Ilmil Syarie oleh Abul Qa'qa Muhammad bin Saleh.


No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...