بسم الله الرحمن الرحيم
Pakaian tipikal orang muda Mesir yang lelaki, kalau kita
tengok di jalanan ialah berseluar jeans yang agak ketat, berbaju sama ada kemeja
atau T-shirt yang mengikut bentuk tubuh dan jaket di sebelah luar, juga
mengikut bentuk tubuh.
Bentuk tubuh mereka yang tegap dan bila pakai pakaian
seperti ini menampakkan lagi susuk tubuh mereka.
Pakaian seperti inilah yang dipakai pemuda-pemuda di sini. Budak
sekolah menengah, budak universiti, dan doktor-doktor muda yang bekerja di
hospital, semua dengan pattern yang sama dan lebih kurang. Orang yang tidak muda pun ada juga yang pakai seperti ini.
Di Masjid Jammal, Mansurah, ada kelas agama 3 hari seminggu
yang dibuka kepada orang ramai termasuk kepada wafidin, atau ‘orang luar Mesir’. Kelas ini dihadiri oleh orang tua dan orang muda. Pelajar-pelajar Malaysia ramai juga yang ikuti kelas ini memandangkan tenaga
pengajar ialah syeikh-syeikh dari Universiti Al Azhar.
Mata pelajaran yang diajar seperti matan Abi Syuja’, matan
Waraqat, mustalah hadis, hadis 40 An Nawawi, akidah dan ada beberapa mata pelajaran
lain lagi. Buku-buku diberi secara percuma untuk sesetengah mata pelajaran dan
yang paling istimewa, semasa kelas berjalan anda akan dihidangkan dengan syai atau teh panas.
Satu hari semasa kelas matan Abi Syuja’ sedang berlangsung, saya
perasan ada seorang pemuda Mesir dengan pakaian tipikal mereka baru sampai dan
berada di bahagian belakang kelas. Tidak ada masalah kalau datang lambat sebab
kelas pengajian ini ialah kelas pengajian umum.
Syeikh yang ketika itu sedang menerangkan tentang perkara-perkara
sunat wudhu’ menghabiskan ayat-ayatnya yang terakhir kemudian berhenti, dan
mikrofon diambil alih oleh pengerusi majlis merangkap Imam Masjid Jammal iaitu Syeikh
Mahmud.
“Ittfaddhal, ya duktur. (dipersilakan kepada
doktor.)” Syeikh Mahmud menjemput tenaga pengajar seterusnya untuk mata
pelajaran akidah.
Pemuda dengan pakaian tipikal yang berada di bahagian
belakang sebentar tadi berjalan ke depan dan mengambil tempat duduk di bahagian
penceramah. Gaya jalannya sopan dan rendah diri, suaranya tidak tinggi dan
tidak pula terlalu rendah, bahasa yang digunakan mudah untuk difahami dan baru saya tahu,
dia yang akan mengajar kami mata pelajaran akidah pada hari itu.
Lain kali bila jumpa pemuda Mesir dengan pakaian tipikal
mereka, saya kena lebih berhati-hati kerana mereka mungkin salah seorang
daripada para ulama kita yang mesti dihormati.
No comments:
Post a Comment