بسم الله الرحمن الرحيم
Ada seorang budak di Syarie Gala’, Mansurah, yang bekerja
setiap hari meminta sedekah daripada sesiapa sahaja yang lalu lalang di kawasan
ini.
Kalau lalu di kawasan ini kita boleh nampak dia mendekati
seorang demi seorang untuk minta sedekah, kadang-kadang ditarik lengan baju orang
yang dia jumpa.
Ada yang bagi dan ada yang tidak.
Saya pernah berbual dengan budak itu, bertanya nama dan
sekolah di mana.
Kita panggil sahaja dia sebagai Mahmud, umur lebih kurang 12
tahun, dan menyedihkan, Mahmud tidak bersekolah. Sejak daripada perbualan saya
bersamanya hari itu hubungan kami jadi lebih rapat, saya rasa. Setiap kali nampak saya dari jauh dia akan
tersenyum dan segera datang menghampiri.
“Sollait? (Kamu sudah solat?)” soalan bonus
setiap kali berjumpa dengan Mahmud.
“Lessa..ma sollaitisy.. (Aku belum
solat..)” jawab Mahmud.
Ini jawapan yang selalu saya terima.
Sebenarnya bukan Mahmud seorang sahaja yang tidak
bersekolah. Saya pernah jumpa seorang lagi budak lelaki yang umur lebih kurang
dengan Mahmud bekerja sebagai pembantu mekanik di tempat baiki kereta. Budak pembantu
mekanik ini tidak kenal walau sepatah huruf Arab apatah lagi huruf Roman, tetapi
ada kesungguhan untuk belajar, dan dia pernah minta saya ajarkan dia baca surah
Al Ikhlas.
Rasanya kalau saya rajin bertanya setiap budak yang
berkeliaran di Mansurah ni, pasti saya akan jumpa lebih ramai budak-budak yang
tidak bersekolah dengan pelbagai kisah hidup yang tidak menggembirakan.
Saya sedang berjalan ke satu tempat pada suatu hari, bila
saya ternampak kelibat Mahmud sedang duduk seorang diri di tepi sebatang jalan yang kurang sibuk. Menyedihkan, dan
sangat menyedihkan, di celah jarinya ada sebatang rokok yang sedang menyala.
“Tidakkhin? (Kamu merokok?)” saya bertanya,
dan dia hanya memandang sahaja.
“Leeh? (kenapa?)” sekali lagi saya bertanya
dan dia hanya terdiam. Saya hembuskan nafas tanda kecewa dan berlalu pergi.
Kecewa kerana duit sedekah yang orang ramai beri kepadanya sepatutnya digunakan untuk beli
roti dan makanan yang berkhasiat untuk menyambung kehidupan, bukan untuk beli
rokok. Kecewa bercampur kasihan sebenarnya, terutama bila fikir siapakah
yang akan membimbing budak ini, dan budak-budak lain yang senasib dengannya.
Keluarga yang tidak berkemampuan, atau mungkin kerana latar
belakang keluarga yang jauh daripada pendidikan, saya terfikir adakah
budak-budak ini akan meneruskan kitaran yang sama untuk generasi selepas ini?
Ini seakan-akan blind cycle dan negara umat Islam masih
terperangkap dalam kitaran ini.
Kini bila terserempak dengan Mahmud di tepi jalan dan dia menghampiri saya, saya cuma
letakkan jari tengah dan jari telunjuk di bibir lagak seperti orang hisap
rokok, kemudian buat isyarat jari telunjuk yang bergerak-gerak, budaya orang
Mesir yang bermaksud mamnu’ atau jangan buat lagi.
Duit?
Duit?
Ada pengajaran yang mesti diberi kepadanya, dan ini sekolah tidak rasmi untuk Mahmud.
No comments:
Post a Comment