Sunday, 1 January 2012

Memberi dan diberi.

Ramai orang yang di luar sana sudah menyumbang yang banyak kepada ummah.

Dalam kepala ada banyak sumbangan yang mahu dilakukan. Terbaru seorang sahabat baik mengajak untuk membuat Vlog. Katanya cara ini lebih berkesan dalam menyampaikan apa sahaja mesej. Cuti musim sejuk nanti pula ada program LIFE untuk pelajar-pelajar tahun satu. Ada projek menulis buku, ada yang ajak untuk buat daurah kitab (seakan bedah buku) dan lain-lain. 

Mereka yang terlibat dalam amal Islami tidak dapat melarikan diri daripada bercakap tentang Islam kepada masyarakat. Cubalah untuk lari nescaya anda tidak akan berjaya.

Cuma mesti berhati-hati, bercakap tentang Islam mahu tidak mahu mesti dilandasi dengan ilmu dan tasawur yang jelas tentang Islam, supaya dakwah yang dilakukan nanti membawa ke jalan yang betul bukan sebaliknya.

Saya cuba berdisiplin apabila bercakap tentang Islam dengan mematuhi dua perkara ini;

1.Menjaga amanah ilmu.

Bermaksud bercakap soal Islam hanya pada perkara yang kita yakin betul. Penting untuk kita pastikan bahawa ilmu yang ingin disampaikan itu berasal daripada sumber yang kukuh dan dipercayai, sama ada kitab rujukan yang diakui atau perkataan daripada para ulama sendiri.

Sebenarnya perkara yang kita yakin betul ini masih boleh dipersoalkan lagi. Kerana banyak keadaan kita yakin betul, rujukan yang kita lakukan juga berasal daripada sumber yang gagah, namun apabila dinilai oleh mereka yang ahli ternyata kefahaman kita tidak selari.

 Ini mungkin terjadi apabila kita cenderung membaca banyak bahan bacaan tanpa berdiskusi dan soal jawab tentang kefahaman kita dengan mereka yang ahli, dengan kata lain belajar tidak berguru. Berbincang dengan mereka yang ahli boleh dianggap sebagai pengesahan bahawa kefahaman kita itu adalah betul.

Saya sendiri cenderung melakukan kesalahan ini, terutama dalam masalah feqah. Kalaulah tidak ada diskusi dengan mereka yang ahli dalam bidang mereka, tentu saya masih lagi memegang beberapa pendapat yang saya rasa betul padahal salah disebabkan salah faham saya sendiri.

Kesimpulannya, kena berguru supaya amanah ilmu dapat dijaga dengan baik, dan supaya kita menyampaikan perkara yang betul tentang Islam.

2.Berhenti apabila sampai di sempadan.

Tidak malu mengaku kita tidak tahu, kerana tahu kita tidak tahu itu sendiri ialah ilmu.

Pernah dahulu ada yang minta supaya saya membuat perkongsian tentang perbincangan ilmu fiqh dalam satu majlis. Permintaan ini saya tolak mentah-mentah kerana saya tahu siapa saya dalam ilmu fiqh. 

Kemudian ada yang minta perkongsian tentang ilmu dakwah. Permintaan ini lebih ringan untuk diterima kerana perkongsian ini lebih kepada kisah dan pengajaran tanpa menyentuh perbahasan yang rumit tentang konsep dan dasar Islam, dalam masa yang sama tetap berhati-hati dalam berbicara supaya tidak melangkaui sempadan perkara yang saya tidak tahu. Konsep yang dipegang ialah berhenti jika tidak tahu.

Dua perkara di atas sebolehnya cuba untuk dipenuhi apabila bercakap tentang Islam sama ada melalui tulisan atau lisan.

Menilai antara memberi dan diberi, saya lebih suka untuk memperuntukkan masa diberi dan diajar ilmu oleh mereka yang ahli bermula dari asas, supaya kefahaman kita tentang Islam berdiri di atas tapak yang kukuh. Kalaulah yang paling asas itu ialah mengenal alif ba ta, maka saya memilih untuk bermula dari situ. 

Diikuti  dengan kefahaman yang jelas tentang ilmu fardu ain, kemudian ilmu-ilmu yang mesti dikuasai oleh mereka yang terlibat dalam amal Islami seperti yang digariskan oleh para ulama dalam banyak buku tentang thaqafah daieyyah iaitu ilmu asas yang mesti dimiliki oleh pendakwah. (Saya tidak rasa saya ialah pendakwah kerana selepas dinilai, ternyata saya tidak mempunyai sifat-sifat daie. Saya ialah antara orang yang mahu berkawan dengan mereka.)

Perjalanan ini nampak panjang bukan? Tapi inilah yang disebut oleh Imam As Syafie tentang salah satu syarat untuk mendapatkan ilmu iaitu mesti dalam masa yang lama (tuulul zaman). 

Ini belum lagi dikira buku-buku wajib yang mesti dibaca oleh pelajar perubatan sebagai persediaan untuk menjadi seorang doktor yang ‘selamat’ nanti.

Belajar ini memang dari mahdi hingga ke lahdi.

Melihat perlumbaan sekeliling dalam mencari saham pahala menyebarkan Islam dan berdakwah, saya memujuk diri supaya bersabar dan memperuntukkan sebahagian besar masa untuk mencari ilmu, supaya Islam yang disebarkan nanti adalah betul bukan semakin mengelirukan diri dan masyarakat.

Dalam masa yang sama membuka beberapa ruang untuk menyampaikan beberapa ilmu yang berjaya diperoleh. Itu pun selepas dinilai dengan berhati-hati adakah sudah betul-betul tahu perkara yang mahu disampaikan itu.

Menunggu ilmu penuh di dada dahulu sebelum menyampaikan Islam bermaksud menunggu malaikat Israfil meniup sangkakala dahulu sebelum mula berdakwah. Cara yang baik ialah menetapkan nisbah yang seimbang antara memberi dan diberi. 

Menulis di ruangan ini juga saya kira sebagai salah satu usaha untuk mengesan kesilapan saya dalam apa sahaja perkara. Pembaca bebas untuk menegur dan membetulkan kesalahan saya.

Bersedia untuk diajar,
Akhukum.




No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...