Thursday 8 August 2013

Bagaimana jika orang tidak hadir ke program dakwah yang kita anjur?


بسم الله الرحمن الرحيم



Bayangkan situasi ini.

Kita anjurkan satu program dakwah, kemudian kita jemput orang ramai untuk hadir. Tiba pada hari program, tidak ramai yang hadir. Bagaimana perasaan kita selaku penganjur?

Marah?

Merajuk?

Buat sindiran tajam sama ada pada status FB atau ketika berdepan dengan mereka yang tidak ikuti program dakwah kita?

Satu hari saya dengar tazkirah yang disampaikan oleh salah seorang ulama Al Azhar cawangan Mansurah. Kisah yang disampaikan ringkas saja iaitu kisah seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid Nabi SAW lalu dia buang air kecil dalam masjid. 

Kita tahu bagaimana perbezaan antara reaksi para sahabat dan reaksi Nabi SAW bila melihat keadaan itu. 

Kerana kesabaran Nabi SAW, lelaki itu semakin dekat dengan Islam.

Saya masih ingat ketika mula sampai di Mansurah. Abang-abang selalu jemput supaya saya hadiri program mereka. Ada yang saya pergi dan ada yang saya tidak sempat hadir. Mana-mana program yang saya hadiri mereka akan layan saya dengan baik. Mana-mana program yang saya terlepas, layanan mereka selepas itu tetap sama tidak berubah.

Tidak ada kata-kata sindiran pedas atau layanan yang dingin.

Ada baiknya kalau kita amati satu ayat daripada Surah Ali Imran ayat 159.

“ Maka berkat rahmat Allah engkau ( Nabi SAW ) berlaku lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu..” Ali Imran, ayat 159.

Sabar ialah kuncinya sedangkan perasaan marah hanya menjauhkan kita daripada sasaran dakwah.

Saya turut berpesan pada diri saya.

Allahu a’lam.


No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...