Wednesday 4 December 2013

Latihan, latihan, dan latihan.


 بسم الله الرحمن الرحيم


Katakan pada satu hari kita mendapat satu jemputan untuk menghadiri satu program tarbiah berbentuk ceramah dan pengisian selama 2 jam.


Pengisian selama 2 jam ini ialah pengisian tarbiah diisi dengan kata-kata semangat yang membangkit kesedaran, maklumat-maklumat atau ilmu tentang bagaimana meneruskan dakwah dan kefahaman terhadap agama Islam, atau perkembangan terkini yang berlaku kepada umat Islam dan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia.


2 jam ini ialah tarbiah. Tapi yang lebih ‘tarbiah’ daripada 2 jam ini ialah perjuangan yang mesti dilakukan untuk berada dalam majlis tarbiah selama 2 jam ini.


Melawan nafsu dengan membuang keenakan berada di rumah untuk ke program tarbiah ialah tarbiah. Latihan mengikhlaskan hati hadir ke program tarbiah kerana Allah semata-mata dan bukan kerana yang lain ialah satu tarbiah. Kalau program tarbiah ini berada di luar kawasan maka kesabaran berjam-jam semasa bermusafir itu ialah tarbiah. Perbelanjaan wang yang dikeluarkan untuk menghadiri program tarbiah ialah tarbiah. 

Katakan tiba-tiba pengisian yang diberikan tidak menepati selera kita maka latihan untuk kekal berada dalam sifat tawadhu dan tidak ujub dengan diri sendiri ialah tarbiah. Sabar menahan sakit urat dan lenguh badan kerana berjam-jam bersila atau bersimpuh juga ialah tarbiah.

Bagaimana pula kalau tiba-tiba datang satu bisikan yang bertanya, untuk apakah dilakukan semua ini?


Maka menjawab balik bisikan tersebut dengan mengatakan ini ialah jalan yang dilalui oleh Nabi SAW dan para sahabat RA, dan kita ingin melalui jalan yang sama semata-mata kerana cinta kita kepada mereka, serta cita-cita kita untuk mati di atas jalan ini kerana mati itu tidak semestinya tua, juga ialah tarbiah.


Maka, tarbiah bermula sebelum daripada program tarbiah berlangsung, semasa program tarbiah sedang dijalankan, dan sepanjang tempoh menunggu untuk ke program tarbiah yang seterusnya. 


Tidak ada daya dan kekuatan melainkan semuanya milik Allah.

( Rasanya setahun lebih saya simpan tulisan ini dalam koleksi draft. Semoga tulisan ini adalah kerana Allah.)


No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...