Tuesday 27 January 2015

Bersabar dengan yang asas.

Ini ialah buku asas dalam bidang obstetric, ditulis dan disusun oleh guru kami, Dr Nabil Seraj. Buku yang paling asas aku kira dalam bidang ini.


Kalau dalam ilmu agama, buku2 seperti ini diibaratkan seperti matan asas seperti matan al ajarumiah, matan abi syuja, atau matan al waraqat.


Matan mesti dipelajari, difahami, dan dihafal beberapa pengetahuan asas yang ada di dalamnya, senang kata, dilunyaikan, sebelum terjun menyelam ke dalam lautan ilmu buku2 besar atau kitab2 syarah.


Bila buku2 matan dikuasai dengan baik tanpa bersimpang siur atau tanpa bertukar antara satu maklumat dengan maklumat yang lain, ketika itu barulah proses membaca buku syarah kepada matan akan menenangkan dan menyenangkan.


Sebaliknya tanpa penguasan yang baik terhadap buku2 matan, proses pembacaan buku2 syarah atau buku2 besar akan jadi sangat meresahkan dan tidak mendamaikan.


Sedangkan salah satu daripada tujuan pembacaan ialah untuk bersenang-senang dengan keindahan dan kepelbagaian maklumat, selain matlamat utama untuk pengukuhan ilmu pengetahuan.


Sifat tidak sabar atau tergesa-gesa selalu menjadi penyakit kepada penuntut ilmu.


Kalau dalam contoh ilmu perubatan, seorang pelajar perubatan terus membaca buku Bailey and Love tanpa mendalami 'matan' asas dalam ilmu pembedahan terlebih dahulu.


Kalau dalam contoh ilmu agama, seorang penuntut ilmu terus melompat membaca buku Al Iqna' sebelum menguasai dengan baik matan Abi Syuja. Apatah lagi kalau melangkau terus kepada Hasyiah Al Baijuri.



Tidak salah, cuma sahaja akan memenatkan dan tidak efisien. Minda masih belum terbina peta asas bagi satu bidang ilmu sehingga mudah dia tersesat dalam simpang siur kepelbagaian maklumat. Jiwa akan mudah letih dan semangat akan jadi rapuh mudah patah.


Begitulah.  Jiwa manusia sememangnya sentiasa menggelegak dengan sifat tidak sabar atau tergesa-gesa.


Maka berpesanlah pada diri supaya bersabar mengukuhkan tapak yang paling asas dengan kukuh dahulu sebelum membina tingkat demi tingkat bangunan ilmu yang tidak tahu di mana puncaknya yang paling tinggi.




No comments:

Post a Comment

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...