Friday, 31 January 2014

Buku baik

Alhamdulillah dengan rahmat dari Allah subhanahu wataala saya mendapat satu buku yang sangat baik.

Tulisan ini ialah kerana meraikan perasaan gembira bertemu dengan buku ini.

Saya sudah baca dan teliti satu bab dan saya temui manfaat yang sangat banyak. Banyak persoalan tentang hukum hakam fiqh perubatan dijawab dengan hujah yang memberi kepuasan. Bahasa yang digunakan sangat mudah. Perbincangan didatangkan dengan pendapat yang pelbagai lalu dibuat kesimpulan pendapat mana yang harus dipegang.

InsyaAllah saya akan cuba buat ringkasan untuk dikongsi di sini.

Benarlah jika ada yang mengatakan satu buku yang baik lebih bernilai daripada dunia dan segala isinya.

Sunday, 26 January 2014

Maksud jihad menurut pandangan Sheikh Abdullah Nasih Ulwan rahimahullah.

بسم الله الرحمن الرحيم



Maksud seruan “ jihad ialah jalan kami ” :


Memberi sepenuh kesungguhan yang kamu ada, dan setiap kelapangan yang kamu miliki, untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi, serta menghilangkan taghut-taghut yang berada di sepanjang jalan dakwah.

Pembahagian jihad :


1. Jihad harta  (الجهاد المالي)
2. Jihad menyampaikan  ( الجهاد التبليغي)
3. Jihad mengajarkan ilmu  ( الجهاد التعليمي)
4.  Jihad politik  ( الجهاد السياسي)
5. Jihad peperangan  ( الجهاد القتالي)


Jihad harta  (الجهاد المالي)


Jihad harta menurut pandangan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan rahimahullah ialah jihad yang paling penting yang menjadi tunjang kepada jihad-jihad yang lain.

Kerana Jihad At Tablighi dan Jihad At Ta’limi memerlukan kepada harta untuk menyediakan kitab, majalah, akhbar, dan perbelanjaan untuk menyebarkan kefahaman tentang Islam.


Begitu juga Jihad As Siyasi dan Jihad Al Qitali memerlukan kepada harta untuk mengumpul kekuatan, untuk perbelanjaan senjata dan sebagainya.


Sekiranya jihad harta tidak ditunaikan dengan baik maka seluruh jihad yang lain akan terhenti dan tergendala.


Kerana itu orang-orang yang berkemampuan daripada kalangan Muslimin hendaklah menunaikan tanggungjawab mereka untuk menginfaqkan harta mereka kepada perjuangan Islam.


Bukti bahawa Jihad harta ialah satu jihad yang besar ialah apabila perkataan jihad dengan harta pada beberapa tempat dalam Al Quran akan disertakan dengan jihad dengan nyawa.


 “ Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. ” At Taubah, 111.


“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dalam keadaan berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. ” At Taubah, 41.


Kerana itu hendaklah kita memperuntukkan sebahagian daripada rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untuk diinfaqkan kepada perjuangan Islam.


Allahu a'lam.


Rujukan :
 Hatta Ya'lama Asy Syabab.


Sunday, 19 January 2014

Majlis para ulama

Alhamdulillah..

Saya temui jawapan kepada persoalan, iaitu kenapa banyak ilmu yang kita tahu samada akhlak atau ibadat tapi tak banyak yang kita mampu amalkan?

Saya dapati berada dalam majlis bersama ulama lebih mujarab untuk bersihkan hati kita daripada sifat takabbur atau malas beribadat,  berbanding kita hanya baca daripada buku.

Dengan melihat wajah mereka, mendengar suara mereka, memerhati pergaulan dan akhlak sesama mereka, lebih kuat memberi kesan kepada hati kita untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia dan lebih bersungguh dalam beribadat.

Saturday, 28 December 2013

Catatan kelas Syeikh Mustafa An Nadawi.

Kelas dimulakan pada pukul 1.45 petang. Sepatutnya kelas mula pada pukul 1 ptg. Kebetulan hari tu ada seorang ulama dari Dumyat datang ziarah Syeikh. Jadi kelas terpaksa mula lewat.

Kelas bacaan hadis Sohih Muslim ini diadakan di maktabah Syeikh di Talkha, lebih kurang 15 minit perjalanan dengan teksi dari kawasan Gala'.

Hari tu kami sempat baca bab doa dan istighfar. Bacaan ialah sambungan daripada kelas sebelum ni sehingga tamat bab doa dan istighfar.

Seperti biasa, bacaan hadis dengan Syeikh ialah bacaan secara terus dan Syeikh hanya menghuraikan beberapa hadis tertentu yang memerlukan kepada huraian.

Ada beberapa huraian daripada Syeikh sewaktu mensyarahkan hadis2 dalam bab ini. Antaranya ialah Syeikh mengatakan seorang daie wajib jadi seorang Az Zakir, iaitu seorang yang kuat berzikir kepada Allah. Kerana hidayah itu ialah milik Allah, dan Allah akan memberi hidayah kepada manusia melalui perantaraan orang yang dekat kepadaNya.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah bila Syeikh kata hidup kita ini berkat bila kita sentiasa berdamping dengan hadis Nabi Saw. Keberkatan dalam berumahtangga, keberkatan dalam urusan rezeki, dan apa sahaja urusan hidup kita, insyaAllah akan diberkati jika kita sentiasa berdamping atau menghadiri bacaan hadis Nabi Saw daripada sunan sittah.

Betapa kita mesti tanam satu cita2 untuk mendalami atau paling kurang menamatkan bacaan sunan sittah sebelum kita meninggalkan dunia ini. Semoga Allah makbulkan cita2 ini.

Thursday, 12 December 2013

Sedekah ; ilmu daripada pengalaman.

Seorang lelaki yang sudah berusia, sudah beruban, kulit yang tidak lagi tegang, sudah mengecap pahit manis kelat tawar kehidupan, bercakap berpandu jatuh bangun  pengalaman hidup lalu, pada satu hari berkata kepada seorang anak muda ;

"Harta yang Allah bagi ko kita ni kalu kita tak keluarkan secara rela kepada agama (iaitu infaq/bersedekah pada jalan kebaikan), boleh jadi harta tadi akan diambil secara 'paksa' daripada kita."

"Boleh jadi duit kita hilang atau kena curi. Atau kita kemalangan atau sakit demam."

"Harta yang kita sayang nak keluarkan untuk agama tadi akhirnya habis jugok kut lain."

Anak muda merenung menilai.

Benar pengalaman juga satu ilmu terselit pengajaran bagi yang meneliti. Ilmu yang tidak tercatat pada lembaran tulisan sebaliknya tertulis dalam dada mereka yang sudah melalui penat zaman yang panjang.

Anak muda melipat pesanan pengalaman itu dengan kemas dalam diri, guna buat peta berjalan melangkah pada jalan kehidupan.

*Catatan ketika umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia ditimpa musibah, dan tabung2 kemanusiaan bertebaran menanti dihulur sedikit prihatin.

" Tidaklah harta berkurangan dengan sedekah."

Wednesday, 4 December 2013

Latihan, latihan, dan latihan.


 بسم الله الرحمن الرحيم


Katakan pada satu hari kita mendapat satu jemputan untuk menghadiri satu program tarbiah berbentuk ceramah dan pengisian selama 2 jam.


Pengisian selama 2 jam ini ialah pengisian tarbiah diisi dengan kata-kata semangat yang membangkit kesedaran, maklumat-maklumat atau ilmu tentang bagaimana meneruskan dakwah dan kefahaman terhadap agama Islam, atau perkembangan terkini yang berlaku kepada umat Islam dan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia.


2 jam ini ialah tarbiah. Tapi yang lebih ‘tarbiah’ daripada 2 jam ini ialah perjuangan yang mesti dilakukan untuk berada dalam majlis tarbiah selama 2 jam ini.


Melawan nafsu dengan membuang keenakan berada di rumah untuk ke program tarbiah ialah tarbiah. Latihan mengikhlaskan hati hadir ke program tarbiah kerana Allah semata-mata dan bukan kerana yang lain ialah satu tarbiah. Kalau program tarbiah ini berada di luar kawasan maka kesabaran berjam-jam semasa bermusafir itu ialah tarbiah. Perbelanjaan wang yang dikeluarkan untuk menghadiri program tarbiah ialah tarbiah. 

Katakan tiba-tiba pengisian yang diberikan tidak menepati selera kita maka latihan untuk kekal berada dalam sifat tawadhu dan tidak ujub dengan diri sendiri ialah tarbiah. Sabar menahan sakit urat dan lenguh badan kerana berjam-jam bersila atau bersimpuh juga ialah tarbiah.

Bagaimana pula kalau tiba-tiba datang satu bisikan yang bertanya, untuk apakah dilakukan semua ini?


Maka menjawab balik bisikan tersebut dengan mengatakan ini ialah jalan yang dilalui oleh Nabi SAW dan para sahabat RA, dan kita ingin melalui jalan yang sama semata-mata kerana cinta kita kepada mereka, serta cita-cita kita untuk mati di atas jalan ini kerana mati itu tidak semestinya tua, juga ialah tarbiah.


Maka, tarbiah bermula sebelum daripada program tarbiah berlangsung, semasa program tarbiah sedang dijalankan, dan sepanjang tempoh menunggu untuk ke program tarbiah yang seterusnya. 


Tidak ada daya dan kekuatan melainkan semuanya milik Allah.

( Rasanya setahun lebih saya simpan tulisan ini dalam koleksi draft. Semoga tulisan ini adalah kerana Allah.)


Antara belajar dan wirid.



 بسم الله الرحمن الرحيم



Katakanlah ada satu keadaan seorang penuntut ilmu terpaksa menghadiri majlis-majlis pengajian sehingga beberapa amalan sunat atau wirid harian yang ditetapkan untuk dirinya sendiri seperti solat sunat rawatib dan zikir mathurat tidak dapat ditunaikan dengan baik.


Bila dilihat dalam Al Azkar An Nawawi maka kita akan dapati satu pesanan daripada Imam An Nawawi supaya wirid harian yang terlepas ini ditunaikan atau qada pada waktu lain. Apabila seseorang itu tidak menggantikan atau qada wirid yang terlepas ini maka dia cenderung untuk mengabaikan wiridnya pada masa akan datang. 


Imam An Nawawi mendatangkan satu hadis daripada Nabi SAW yang bersabda ,” Sesiapa yang tertidur dari bacaan hizibnya, kemudian dia membacanya antara solat Subuh dan solat Zuhur, maka akan dicatatkan seakan-akan dia membacanya pada malam hari.” Sahih Muslim.


Bila dilihat dalam buku Mukhtasar Minhajul Qasidin iaitu ringkasan kepada Ihya Ulumuddin, ada satu bab bertajuk “ Perbezaan wirid berbeza mengikut keadaan”. Tuan Guru Nik Aziz pernah buat huraian tentang bab ini dalam majlis pengajian beliau tetapi dengan menggunakan buku Mauizatul Mukminin yang juga merupakan ringkasan kepada Ihya Ulumuddin. Disebutkan bahawa mereka yang meniti jalan akhirat terbahagi kepada 6 keadaan atau golongan.


      1.       Abid.
      2.       Seorang alim yang manusia mengambil manfaat daripada ilmunya.
      3.       Penuntut ilmu.
      4.       Wali ( seperti Qadhi atau mereka yang menjaga urusan kaum Muslimin.)
      5.       Mereka yang bekerja mencari nafkah untuk kehidupan.
      6.       Mereka yang tenggelam dengan perasaan cinta kepada Allah.


Wirid harian bagi setiap golongan tidak sama antara satu dengan yang lain. Pengarang kitab menyebut bahawa bagi seorang penuntut ilmu, hendaklah dia menjaga amalan fardu dengan baik. Kemudian menghadiri majlis ilmu dan majlis peringatan adalah lebih afdal daripada kesibukan dalam mengerjakan wirid.


Kadang-kadang kita boleh berada dalam satu situasi dikelilingi dengan banyak urusan sehingga masa yang ada sangat sempit. Kita keliru samada untuk tegas dalam menjaga wirid harian dan qada mana yang tertinggal atau hanya memberi tumpuan kepada amalan wajib dan beberapa amalan asas sahaja dan baki masa diperuntukkan untuk ilmu dan tanggungjawab lain.


Ada satu kata-kata yang sangat baik daripada Imam Hasan Al Basri yang menggabungkan antara kedua-dua hal ini. Beliau berkata, “ Carilah ilmu dengan tidak mengganggu waktu ibadah dan beribadahlah dengan tidak mengganggu waktu menuntut ilmu.” 


Pesanan daripada Imam Hasan Al Basri ini adalah supaya seorang Muslim itu meletakkan  setiap urusan dengan nisbah yang sesuai dan seimbang supaya amanah dan tanggungjawab lain tidak terabai.


Ada satu kata-kata daripada hukama yang berkata,


  “ ما رأيت إسرافا إلا بجانبه حق مضيع

"Aku tidak melihat seseorang itu berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu melainkan di sisinya ada hak yang akan terabai.” 

(Kata-kata di atas ni saya salin daripada satu ceramah agama. Setakat ni saya tak jumpa lagi daripada mana-mana buku. )


Semoga tulisan ini bermanfaat.


( Hampir setahun simpan tulisan ini dalam draft.)


Rujukan : 

 1. Al Azkar An Nawawi.
 2. Mukhtasar Minhajul Qasidin oleh Al Imam Ahmad Bin Qudamah Al Maqdisi.
 3. Mauizatul Mukminin Min Ihya Ulumiddin oleh Al Imam As Sayyid Jamaluddin Al Qasimi Al Dimasyqi.
 3. Kaifa Tatahammas Litolibil Ilmil Syarie oleh Abul Qa'qa Muhammad bin Saleh.


Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...