Sunday, 14 July 2013

Pengenalan Surah At Taubah.



 بسم الله الرحمن الرحيم

Tulisan ini akan dimuatkan dalam artikel IHRAM anjuran PCM sempena sambutan bulan Ramadhan. Alhamdulillah, proses menyiapkan artikel banyak memberi manfaat kepada saya kerana saya berpeluang membuat rujukan dan terdedah kepada banyak makluamt. 

 Saya juga menulis pengenalan untuk Surah Al Ahzab di sini : Pengenalan Surah Al Ahzab.

Semoga bermanfaat juga kepada semua.

Surah At Taubah.

Pengenalan :

1.       Surah ini ialah surah Madaniyyah diturunkan pada tahun 9 Hijrah, mengandungi 129 ayat dan merupakan antara surah-surah terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.

2.       Menurut Ibnu Kathir, awal surah ini diturunkan ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk. 

3.       Nabi SAW memerintahkan Sayidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan umat Islam untuk menunaikan haji di Makkah. Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Sayidina Ali untuk bersama-sama dengan rombongan Sayidina Abu Bakar ke Makkah untuk membacakan isi surah At Taubah kepada kaum musyrikin Makkah. Antara kandungan surah yang dibacakan oleh Sayidina Ali kepada kaum musyrikin ialah tentang hukum mereka (orang musyrikin ) tidak lagi dibenarkan mengerjakan haji selepas tahun itu ( selepas 9 Hijrah) dan hukum-hukum syariat yang lain.

4.       Peperangan Tabuk ialah peperangan untuk berhadapan dengan tentera Rome yang berlaku ketika musim yang sangat panas, perjalanan pula jauh, serta pada ketika itu buah-buahan sedang masak ranum menyebabkan manusia lebih suka tinggal di tempat masing-masing menikmati nikmat kehidupan. Ini menjadi ujian kepada orang-orang beriman sejauh mana keimanan mereka kepada Allah serta kepatuhan mereka kepada suruhan-Nya ketika perintah untuk berperang diisytiharkan kepada mereka.

Nama lain surah ini : 
 

1. براءة 
2. التوبة
3. المقشقشة
4. المبعشرة
5. المشردة
6. المخزية
7. الفاضحة
8. المثيرة
9. الحافرة
10. المنكلة
11. المدمدمة
12. العذاب
               
*Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa surah ini mempunyai 14 nama. Bagaimanapun, di sini hanya disertakan 12 sahaja nama daripada nama-nama tersebut.

Kenapa surah ini tidak dimulakan dengan basmalah?

Berkata Ibnu Abbas, “ Aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib kenapa surah bara’ah tidak ditulis Bismillahi rahmanirrahim? Beliau menjawab, kerana lafaz bismillahirrahmanirrahim ialah aman, dan surah bara’ah diturunkan dengan pedang yang tidak ada padanya aman.”

Berkata Sufyan bin Uyainah, “ Lafaz basmalah tidak ditulis pada permulaan surah ini kerana membaca basmalah adalah rahmat, dan rahmat adalah aman, sedangkan surah ini diturunkan tentang orang-orang munafiq dan dengan pedang, maka tidak ada keamanan bagi orang-orang munafiq. ”

Tujuan utama surah ini :

Menurut As Syeikh Dr Muhammad Ali As Sobuni, surah ini mempunyai 2 tujuan utama selain daripada tujuan-tujuannya yang lain.

1.       Tujuan pertama : Penerangan tentang undang-undang muamalat dengan orang-orang musyrikin dan ahli kitab. Antaranya ialah :

a.       Rasulullah SAW sebelum ini mempunyai perjanjian-perjanjian dengan kaum musyrikin. Tetapi kaum musyrikin telah beberapa kali melanggar perjanjian dengan Nabi SAW malah bekerjasama dengan kaum Yahudi daripada Bani Nadhir, Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ untuk mengkhianati Rasulullah SAW. Lalu turunlah surah ini untuk membatalkan perjanjian-perjanjian ini selepas beberapa kali Rasulullah SAW dikhianati.

b.      Surah ini turun pada tahun 9 Hijrah. Sebelum turunnya surah ini, orang-orang musyrikin dibenarkan melakukan ibadah mereka di Kaabah, bahkan sebahagian daripada mereka melakukan tawaf tanpa pakaian. Apabila turunnya surah ini, orang-orang musyrikin tidak lagi dibenarkan melakukan ibadah di Baitillahil Haram pada tahun-tahun yang seterusnya.

2.       Tujuan kedua : Menyingkap keadaan umat Islam ketika Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk memerangi Rome dalam peperangan Tabuk.

a.       Surah ini menceritakan tentang sebahagian daripada mereka yang tidak ikut berperang bersama dengan Rasulullah SAW dalam peperangan Tabuk ketika diperintahkan kepada mereka. 

b.      Surah ini juga menceritakan tentang orang-orang munafiq serta perancangan dan tipu daya jahat mereka. Sebahagian para sahabat memanggil surah ini dengan nama Surah Al Faadhihah yang bermaksud “Surah Yang Mendedahkan Keburukan” kerana surah ini mendedahkan perancangan jahat orang-orang munafiq untuk menghancurkan Islam.

Kesimpulan umum surah ini :

Syeikh Muhammad Ali As Sobuni mengatakan bahawa secara umumnya surah ini membicarakan tentang orang-orang munafiq yang lebih bahaya daripada orang-orang musyrikin. 

Dalam surah ini juga diceritakan tentang pembinaan masjid oleh golongan munafiq iaitu “ Masjid Dhirar”. Pembinaan masjid ini bertujuan memecah kesatuan orang-orang beriman. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkan supaya masjid ini diruntuhkan dan dibakar.

Allahu a’lam.

Rujukan : 

1.Sofwah At Tafasir, Dr Muhammad Ali As Sobuni.
2.Fiqh As Sirah, Dr Muhammad Said Ramadhan Al Buti.


Thursday, 4 July 2013

Buku "How To Change Ourselves?" - Mukaddimah pengarang.

بسم الله الرحمن الرحيم






Penulis memulakan mukaddimah buku ini dengan beberapa persoalan.


Umat Islam di seluruh dunia pada masa sekarang sedang ditindas dan dizalimi sama ada oleh orang bukan Islam atau oleh tangan orang Islam sendiri.

Bilakah semua ini akan berakhir?

Di manakah pertolongan Allah?

Bukankah kita sudah berdoa kepada Allah, tetapi kenapa doa kita belum diterima Allah?

Jawapannya ialah, pertolongan Allah tidak akan diturunkan melainkan selepas kita memenuhi kriteria-kriteria yang Allah tetapkan bagi mereka yang layak untuk mendapat pertolongan dari-Nya.

Timbul pula beberapa persoalan. 

Apakah kriteria-kriteria yang melayakkan kita untuk mendapat pertolongan dari Allah?

Di manakah titik permulaan untuk kita mula bergerak untuk mendapatkan pertolongan dari Allah?

Jawapan kepada persoalan-persoalan inilah yang ditulis oleh pengarang sehingga selesai tulisan satu buku ini.
Insya-Allah kita akan cuba perhatikan sedikit demi sedikit perbahasan dalam buku ini tentang bagaimana untuk mengubah diri kita sendiri, supaya kita layak untuk mendapat pertolongan dari Allah.

Insya-Allah.

( masih berdukacita dengan jatuhnya kerajaan Dr Mursi..)

Wednesday, 3 July 2013

Buku " How To Change Ourselves?"



 بسم الله الرحمن الرحيم



Tajuk buku ini dalam bahasa Arab ialah   كيف نغير ما بأنفسنا؟

Buku ini ditulis oleh Dr Majdi Al Hilali, seorang pendakwah dan penulis dari Mesir. Perkara yang sangat menakjubkan tentang penulis ini ialah tulisan beliau yang sangat banyak dalam bidang dakwah dan tazkiyan an nafs. 

Dr Majdi Hilali.
Katakanlah kita pergi ke maktabah pada bulan ini. Selang 2,3 bulan selepas itu kita akan jumpa beberapa buku baru tulisan beliau tersergam atas rak. 

Menakjubkan, bukan?

Satu buku yang sangat menarik, terutama bila kita selalu tertanya-tanya bagaimana cara untuk kita mengubah sikap atau tabiat yang tidak baik kepada sikap yang lebih baik.

Buku setebal 119 muka surat ini mengandungi 11 topik yang setiap satu membincangkan persoalan yang berbeza tentang kaedah untuk mengubah peribadi.

Topik-topik yang dibincangkan dalam buku ini ialah :

Topik 1 : القادر والمقتدر Saya terjemahkan ia sebagai Yang Maha Berkuasa ( Allah ) dan yang dikuasai (makhluk).
Topik 2 : Cita-cita mestilah kerana Allah.
Topik 3 : Apakah maksud perubahan?
Topik 4 : Penghalang-penghalang perubahan.
Topik 5 : Di mana kita bermula?
Topik 6 : Inilah Al Quran.
Topik 7 : Bagaimana membuat perubahan berdasarkan Al Quran?
Topik 8 : Bagaimana kita mendapat manfaat daripada Al Quran?
Topik 9 : Murabbi.
Topik 10 :  المحاضن التربوية Pendidik tarbiah.
Topik 11 : Mari kita mulakan.


Allahu a'lam.




Sunday, 23 June 2013

Ekonomi.

 بسم الله الرحمن الرحيم

Sekarang mula belajar untuk terlibat dalam berniaga pakaian secara kecil-kecilan.


Sebab utama ialah bila balik ke Malaysia untuk PRU13 baru-baru ni. Masa tu duit yang banyak diperlukan.


Tersekat untuk terlibat dalam dakwah bila ekonomi sendiri pun tersekat-sekat.


Bukan tidak ada yang mahu beri sumbangan tapi tidak sampai hati  untuk berdiri di atas kaki orang lain ketika kaki sendiri masih boleh melangkah.


Keputusan dibuat dan langkah pertama diambil sambil berdoa mengharapkan usaha diberkati Allah.


Sedikit pengalaman yang diperoleh setakat ini :

1. Mulakan dengan modal yang ada dengan kita walaupun tidak besar.

2. Tidak guna semua simpanan untuk dilabur sebagai modal. Simpan sedikit untuk kegunaan semasa.

3. Cara yang selamat ialah cari pelanggan dulu baru dapatkan bekalan stok.

4. Tidak tunggu plan sempurna sebelum bermula. Gunakan prinsip ready, fire, aim.

5. Cari ikan paus dan bukan ikan kecil. Maksudnya seorang sahaja pelanggan yang mendatangkan keuntungan yang lebih besar lebih baik daripada ramai pelanggan tapi keuntungan setiap seorang sikit-sikit. Dapat jimat banyak masa.

5. Seorang pelanggan yang mudah berurusan lebih baik daripada ramai pelanggan tapi sukar untuk berurusan.

6. Berniaga boleh ambil alih banyak fokus dan konsentrasi kita terhadap urusan lain. Kena hati-hati sikit di sini.

Allahu a'lam.

Friday, 21 June 2013

Satu pesanan yang baik.

 بسم الله الرحمن الرحيم



Semalam menghantar seorang sahabat pulang ke Malaysia.

Perjalanan 3 jam dari Mansurah ke Cairo International Airport rasa seperti 3 minit sahaja kerana terisi dengan pesanan berguna daripada sahabat ini, juga dianggap seperti abang sendiri.

Kawan ramai, tapi yang paling disyukuri ialah bila dapat seorang kawan yang boleh ingatkan kita kepada akhirat.

Antara pesanan yang diperoleh sepanjang perjalanan ialah supaya selalu berdamping dengan alim ulama di bumi Mesir.

Pesanan ini datang tepat pada masanya, ketika perasaan lazat berada dalam majlis para ulama mula ditarik sedikit demi sedikit.

Saya terima pesanan ini dengan rasa bersyukur, dan semoga tulisan ini pula akan mengambil alih peranan sahabat ini yang sudah pulang ke Malaysia, supaya majlis bersama ulama jangan ditinggal kalau boleh sampai bila-bila.

Ketika kita tidak jumpa sesiapa di sekeliling yang akan mengingatkan diri supaya selalu bersama dengan para alim ulama, pada masa itu diri sendiri berperanan untuk pesan pada diri sendiri.

Tuesday, 18 June 2013

Ilmu yang tersimpan dan disimpan.




 بسم الله الرحمن الرحيم


Seorang penuntut ilmu hadir ke majlis pengajian bersama para ilmuwan.

Dia duduk dengan tertib, mendengar setiap butir bicara dengan baik, dan menyalin setiap ilmu dan peringatan yang diperoleh ke dalam sebuah nota.

Sehinggalah beberapa lama nota yang digunakan untuk mencatat perkataan yang keluar daripada mulut para ilmuwan semakin bertambah sebuah demi sebuah.

Nota-nota ini disimpan dengan baik dan kemas tidak ada siapa yang berani dekat untuk buka atau selak, dan masih lagi tersimpan dengan cermat sehingga sekarang tidak pasti bila akan dibuka atau terbuka.

Ada baiknya kalau setiap catatan dalam nota itu ditulis semula dengan sedikit penambahbaikan pada susunan dan gaya bahasa, kemudian disusun mengikut tertib yang teratur dan tersusun, lalu disebarkan kepada orang ramai melalui apa sahaja medium yang sesuai, atau dikumpulkan menjadi sebuah buku yang bermanfaat.

Pasti lebih bermanfaat.

Wednesday, 13 March 2013

Seolah-olah baru dapat satu ayat.



 بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam satu kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Aminuddin bin Abdul Rahim iaitu salah seorang ahli majlis fatwa negeri Kedah, beliau ada menyebut satu perkataan daripada seorang ulama.
 

Ulama itu kata Al Quran ini turun ‘dua’ kali.


Pertama turun ketika zaman Nabi SAW dahulu melalui perantaraan Sayidina Jibril AS.


Kedua turun ketika zaman sekarang. 


Turun pada zaman sekarang bermaksud bila seseorang itu baca Al Quran dan memahami ayat itu yang tidak difahami malah tidak diketahui pun sebelumnya, kemudian dengan ayat itu dia mendapat petunjuk dan hidayah, maka seolah-olah ayat Al Quran itu baru sahaja turun dari langit dan terus masuk ke dalam hatinya.


Satu hari saya berada di satu tempat sekitar Mansurah dan terdengar bacaan satu ayat Al Quran, dan saya mengakui kebenaran perkataan ulama itu.


Tersentak dan seolah-olah baru pertama kali dengar.


“Alif lam mim. Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan kami telah beriman dan mereka tidak diuji?”


Al Ankabut,ayat 1 dan 2.




Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...