Wednesday 28 January 2015

Peperangan Ahzab dan Peperangan Bani Quraizhah.



     Peperangan Ahzab.

·         Perang Ahzab juga dikenali sebagai Perang Khandak.
·         Peperangan ini berlaku dalam bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah.
·         Dinamakan perang Al Ahzab yang bermaksud ‘kumpulan-kumpulan’ ialah kerana dalam peperangan ini kaum Musyrikin daripada pelbagai qabilah telah bergabung untuk memerangi umat Islam.
·         Mereka yang terlibat dalam Peperangan  Ahzab ini ialah :
i.         Musyrikin Makkah.
ii.        Bani Ghatfan.
iii.       Bani Quraizhah.
iv.      Bani Nadhir.
v.       Bani Fuzarah.
vi.     Bani Murrah.
·         Jumlah kaum Muslimin ialah 3,000 orang manakala jumlah tentera musuh ialah 10,000 orang.
·         Dalam peperangan ini Allah mendedahkan tentang kisah orang-orang munafiq serta perancangan sulit mereka untuk menghancurkan Islam.
·         Umat Islam berjaya memperoleh kemenangan dalam Perang Al Ahzab tanpa berlaku pertempuran. Sebahagian kaum Musyrikin cuba merempuh masuk namun berjaya dihalang sehingga mereka terpaksa berundur dan sebahagian daripada mereka telah dibunuh.
   
   Peperangan Bani Quraizhah.

·         Peperangan Bani Quraizhah pula berlaku sebaik sahaja selesai Perang Al Ahzab.
·         Tentera Islam mengepung Bani Quraizhah selama 25 malam sehingga mereka akhirnya menyerah diri dan menerima hukuman daripada Rasulullah SAW.
·         Rasulullah SAW melantik Saad bin Muaz untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka.
·         Hukuman yang dikenakan ke atas Bani Quraizhah ialah :
o   hukuman bunuh bagi penentang daripada kaum lelaki
o   manakala kaum perempuan mereka ditawan.



Rujukan :
1. Sofwah At Tafasir oleh As Sheikh Muhammad Ali As Sobuni.
2. Fiqh As Sirah oleh As Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al Buti.
 
Artikel asal di sini : Pengenalan Surah Al Ahzab.

Syukur kerana kita ada istighfar, maaf, dan sedekah.




Alhamdulillah, syukur kerana kita ada istighfar, maaf, dan sedekah. 


Matlamat hidup kita ialah untuk meninggalkan dunia ini dalam keadaan bersih daripada segala dosa dengan Allah dan dosa dengan manusia , bersih seperti kita baru dilahirkan. 


Ini ialah matlamat utama seorang mukmin. 


Yang ditakuti ialah , kita meninggalkan dunia ini dalam keadaan kita masih ada dosa dan kesilapan dengan Allah dan manusia, atau kita masih ada hutang yang belum dijelaskan. 


Nauzubillah min zalik..


Dengan istighfar, ibaratnya seperti kita naik mesin masa ‘terbang’ balik ke masa silam , lalu kita betulkan segala dosa dan kesilapan kita. 


Dengan minta maaf, kita menyelesaikan apa sahaja hubung kait kita dengan manusia di atas dunia, supaya kita tidak ‘dipertikaikan’ di akhirat nanti. 


Dengan sedekah, ia akan menghapuskan dosa seorang muslim sebagaimana air memadamkan api , sebagaimana diajar oleh Baginda Nabi SAW ,

والصدقة تطفىء الخطيئة كما يطفىء الماء النار

“ Sedekah itu menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api.” Hadis hasan sahih , riwayat Imam At Tirmizi. 

 
Besar sungguh harapan kita untuk balik ke negeri akhirat bertemu Allah dalam keadaan kita bersih daripada segala kotoran dosa dan silap dengan manusia. 


Tuesday 27 January 2015

Bersabar dengan yang asas.

Ini ialah buku asas dalam bidang obstetric, ditulis dan disusun oleh guru kami, Dr Nabil Seraj. Buku yang paling asas aku kira dalam bidang ini.


Kalau dalam ilmu agama, buku2 seperti ini diibaratkan seperti matan asas seperti matan al ajarumiah, matan abi syuja, atau matan al waraqat.


Matan mesti dipelajari, difahami, dan dihafal beberapa pengetahuan asas yang ada di dalamnya, senang kata, dilunyaikan, sebelum terjun menyelam ke dalam lautan ilmu buku2 besar atau kitab2 syarah.


Bila buku2 matan dikuasai dengan baik tanpa bersimpang siur atau tanpa bertukar antara satu maklumat dengan maklumat yang lain, ketika itu barulah proses membaca buku syarah kepada matan akan menenangkan dan menyenangkan.


Sebaliknya tanpa penguasan yang baik terhadap buku2 matan, proses pembacaan buku2 syarah atau buku2 besar akan jadi sangat meresahkan dan tidak mendamaikan.


Sedangkan salah satu daripada tujuan pembacaan ialah untuk bersenang-senang dengan keindahan dan kepelbagaian maklumat, selain matlamat utama untuk pengukuhan ilmu pengetahuan.


Sifat tidak sabar atau tergesa-gesa selalu menjadi penyakit kepada penuntut ilmu.


Kalau dalam contoh ilmu perubatan, seorang pelajar perubatan terus membaca buku Bailey and Love tanpa mendalami 'matan' asas dalam ilmu pembedahan terlebih dahulu.


Kalau dalam contoh ilmu agama, seorang penuntut ilmu terus melompat membaca buku Al Iqna' sebelum menguasai dengan baik matan Abi Syuja. Apatah lagi kalau melangkau terus kepada Hasyiah Al Baijuri.



Tidak salah, cuma sahaja akan memenatkan dan tidak efisien. Minda masih belum terbina peta asas bagi satu bidang ilmu sehingga mudah dia tersesat dalam simpang siur kepelbagaian maklumat. Jiwa akan mudah letih dan semangat akan jadi rapuh mudah patah.


Begitulah.  Jiwa manusia sememangnya sentiasa menggelegak dengan sifat tidak sabar atau tergesa-gesa.


Maka berpesanlah pada diri supaya bersabar mengukuhkan tapak yang paling asas dengan kukuh dahulu sebelum membina tingkat demi tingkat bangunan ilmu yang tidak tahu di mana puncaknya yang paling tinggi.




Sunday 25 January 2015

Fokus yang fokus



Betapa hidup ini berhajat pada fokus yang tajam. 

Fokus untuk berterusan melakukan perkara kebaikan dan meninggalkan perkara sia-sia , apatah lagi perkara maksiat. 

Bahkan fokus hanya untuk melakukan perkara kebaikan sahaja belum cukup tajam kerana perkara kebaikan itu sangat luas. 

Fokus yang lebih tajam ialah tumpuan untuk melakukan perkara kebaikan yang dapat membawa seseorang ke arah matlamat yang dia kejar. 

Dikatakan , seorang ahli hikmah berkata , “ Orang yang bijak ialah orang yang dapat membezakan mana yang paling baik di antara perkara-perkara baik.”

Sebagai contoh , seseorang berhajat untuk mendalami ilmu agama. Dia ikuti semua kelas-kelas agama yang dianjurkan tanpa dia sendiri menetapkan apa yang dia cari. Mana sahaja kelas yang diadakan dia akan pergi. Ini masih lagi tidak fokus. 

Ibarat seorang yang menaiki kereta untuk ke satu tempat. Nampak sahaja cabang atau simpang dia akan membelok masuk. Maka bilakah dia akan sampai ke tempat tuju? 

Seseorang yang fokus sebaliknya, dia akan menetapkan ilmu agama apa yang dia hendak  belajar. Fikah-kah? Tasawuf-kah? Ilmu alat-kah? Dan seterusnya. Kemudian dia akan bergerak dan menggunakan masanya yang terhad itu hanya dengan menghadiri pengajian yang dapat membantunya mencapai matlamat, dan mengetepikan lorong-lorong atau simpang-simpang yang tidak membawanya ke arah tempat tuju. 



Thursday 15 January 2015

Cerita lama..

Jawab ustazah kami masa tingkatan peralihan dulu bila kami mengadu kepadanya tentang banyaknya pelajaran yang mesti dihafal untuk peperiksaan,

" Nak masuk exam tak payah hafal. Yang penting ingat."

Friday 9 January 2015

Selit menyelit.

Masa sekarang peperiksaan akhir tahun 6 subjek ONG. Aku terfikir bila lagi akan sempat atau ada masa untuk menadah kitab.

Exam habis 31 jan. Kemas barang dan balik malaysia dalam pertengahan februari. Masa yang sibuk.

Balik malaysia kena cari tempat dan guru untuk sambung tadah kitab, mungkin akan ambil masa beberapa minggu.

Begitu pun, aku yakin ada jalannya nanti.

Buat masa sekarang hanya sempat selit menyelit dengan menelaah matan al ajarumiah. Ini sahajalah pengubat buat masa sekarang. Inilah yang dimaksudkan dengan selit menyelit. Ini juga sebagai bekalan vitamin supaya himmah belajar agama sentiasa hidup tidak mati.

Semoga kita sentiasa ada himmah untuk belajar agama dari mahdi hingga lahdi.

Rugi hidup jika mati tidak sempat telaah kitab2 tinggalan ulama. Ilmu warisan para anbiya untuk membaiki dan membetulkan amalan diri dan masyarakat.

Wednesday 7 January 2015

Maulid Ar Rasul.

Alhamdulillah , hari ini sempat ikuti majlis maulidurrasul di Masjid Al Jammal, mansurah, bersama Sheikh Prof Mustafa Abu Sulaiman An Nadawi.

Bagaimana SEBELUM musibah?

" Kenali Allah ketika senang, Allah akan kenal kamu ketika susah." Riwayat At Tirmizi.

Imam Ibnu Hajar Al Haitami menjelaskan hadis ini dengan berkata, " Iaitu tunjukkan cinta kamu pada Allah dengan kekal melakukan ketaatan padaNya, nescaya Dia akan menjadikan kelepasan bagi kesempitan, dan menjadikan jalan keluar bagi kesulitan.

Imam Ibnu Hajar kemudian melanjutkan penjelasan dengan mendatangkan hadis tentang kisah 3 orang yang terperangkap dalam sebuah gua yang kemudiannya mereka berdoa pada Allah dengan amalan yang mereka pernah kerjakan, sehingga akhirnya Allah membebaskan mereka dari gua tersebut.

-Al Fathul Mubin bi Syarhil Arbain.

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...