Wednesday 27 August 2014

Blog baru ; Fiqh dan Perubatan.

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan memohon petunjuk dan hidayah dari Allah Taala, saya menjemput pembaca sekalian untuk meneliti tulisan saya pada blog baru saya ; Fiqh dan perubatan

Blog baru ini insya-Allah saya fokuskan pada tulisan sekitar tajuk fiqh perubatan dan apa sahaja yang berkait dengannya, insya-Allah. 

Semoga tulisan pada blog baru ini memberi manfaat kepada semua dan kepada diri saya di akhirat nanti, insya-Allah. 

Allahumma amin. 

Tuesday 26 August 2014

Hukum berubat dengan menggunakan insulin yang diekstrak daripada khinzir.



بسم الله الرحمن الرحيم


Hukum berubat dengan menggunakan insulin yang diekstrak daripada khinzir. 

Telah sepakat para fuqaha bahawa keseluruhan anggota khinzir adalah haram untuk dimakan dan digunakan untuk tujuan perubatan ketika dalam keadaan “ikhtiar” ( iaitu dalam keadaan mampu memilih dan bukan dalam keadaan darurat). 

Hukum yang diambil oleh para fuqaha ini boleh jadi kerana salah satu daripada 2 sebab.

Sebab yang pertama adalah kerana seorang muslim itu diharamkan daripada berubat dengan ubat-ubatan yang diambil daripada perkara yang diharamkan. Kerana telah sepakat para ulama bahawa seluruh anggota tubuh khinzir adalah haram dimakan, dan ini termasuk pankreas, iaitu organ yang diekstrak untuk diambil insulin.

Sebab yang kedua adalah kerana seorang muslim itu diharamkan daripada menggunakan ubat-ubatan yang diambil daripada bahan-bahan najis. Kerana telah sepakat para ulama bahawa seluruh anggota tubuh khinzir adalah najis, dan ini termasuk pankreas iaitu organ yang diekstrak untuk diambil insulin.  

Para fuqaha berselisih pandangan tentang berubat dengan menggunakan bahan yang diharamkan dan bahan bernajis kepada 2 pandangan.

Pandangan pertama : ulama yang berpandangan bahawa harus hukumnya untuk berubat dengan menggunakan bahan yang diharamkan dan bahan bernajis. 

Pandangan ini dipegang oleh sebahagian ulama mazhab Hanafi yang berpandangan harus untuk berubat dengan perkara haram, sekiranya dimaklumkan oleh seorang doktor muslim bahawa bahan haram tadi mampu untuk mengubati penyakitnya, dalam masa yang sama tidak ada ubat-ubatan halal lain yang mampu menyembuhkan penyakitnya. 

Pandangan yang sama juga dipegang oleh ulama mazhab Syafie yang mengatakan harus hukumnya untuk berubat dengan ubat-ubatan yang ada bahan najis yang tidak memabukkan dengan mematuhi beberapa syarat berikut :

      1.       Tidak ada ubat-ubatan halal dan bersih yang dapat mengubati penyakitnya.
      2.       Hendaklah orang yang mengubati (doktor) itu tahu tentang disiplin ilmu perubatan dan dia tahu bahawa penyakit itu tidak akan dapat sembuh melainkan jika terpaksa menggunakan ubat tersebut.
      3.       Telah terbukti sebelumnya bahawa ubat tersebut adalah berkesan sama ada melalui eksperimen atau pengalaman perubatan, ataupun diberitahu oleh seorang doktor muslim tentang mujarab ubat tersebut. 

Pandangan yang sama juga dipegang oleh ulama mazhab Zahiriah. Mereka berpandangan adalah harus untuk berubat dengan menggunakan bahan haram atau bahan najis, sama ada bahan itu diambil daripada khinzir atau bangkai, atau diambil daripada darah atau arak. 


Pandangan kedua : ulama yang berpandangan bahawa haram berubat dengan bahan-bahan najis.

Pandangan ini dipegang oleh jumhur ulama mazhab Hanafi.

Manakala bagi ulama mazhab Maliki pula, mereka berpandangan bahawa diharuskan untuk berubat dengan bahan najis sama ada untuk anggota luar badan atau anggota dalam, dan tidak dibenarkan untuk berubat dengan perkara-perkara yang haram. Pendapat yang sama juga dipegang oleh sebahagian ulama mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, Imam An Nawawi mengatakan bahawa pandangan ini adalah pandangan yang pelik, kerana sesungguhnya adalah haram secara mutlak untuk berubat dengan bahan-bahan najis. 

Mazhab Hanbali juga berpandangan bahawa haram hukumnya untuk berubat dengan bahan-bahan yang diharamkan. 

Allahu a'lam.

Disediakan oleh :
Muhammad Nabil bin Abdullah
Tahun 6 Fakulti Perubatan Universiti Mansurah.
 
Rujukan :  

مواد نجسة في الغذاء والدواء , بحث فقهي مقارن , الأستاذ الدكتور عبدالفتاح محمود إدريس


Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...