Saturday 27 July 2013

Berangkatlah.



 بسم الله الرحمن الرحيم


Saya tukar title blog ini kepada perkataan “Infiru”, diambil daripada awal ayat 41 Surah At Taubah dengan maksud berangkatlah ke medan jihad, tidak lain tidak bukan sebagai satu pesanan kepada diri sendiri supaya sentiasa tetap atas jalan dakwah.


Masalah-masalah yang berlaku dalam hidup banyak memberi kesan kepada diri seorang pendakwah daripada berfungsi dengan baik. Lebih tidak baik, kesan tidak baik ini turut dirasai oleh ahli gerakan dakwah yang lain bahkan terhadap gerak kerja dakwah itu sendiri. 


Sebatang sahaja tiang yang patah boleh merosakkan struktur dan kestabilan sebuah rumah.  Sangat takut kalau-kalau kitalah tiang penyebab itu nauzubillah..


Mudah-mudahan tulisan pada blog ini dapat saya jadikan sebagai satu alat untuk saya kuatkan diri sendiri untuk sentiasa tetap berada atas jalan dakwah. Semoga anda juga mendapat kekuatan yang sama. 


Masih banyak tugasan dakwah yang mesti diselesaikan.


Tidak ada daya dan upaya melainkan semuanya dari Allah.


Thursday 18 July 2013

Maklumat tambahan kisah daripada Surah At Taubah ayat 92.



 بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam surah At Taubah ayat 92 ada diceritakan tentang kisah Al ‘Irbad bin Sariyah dan beberapa orang ahli suffah yang mengalirkan air mata kerana tidak dapat ikut serta berperang  bersama Rasulullah SAW.


“dan tidak ada (pula dosa) atas orang-orang yang datang kepadamu (Muhammad), agar engkau memberi kenderaan kepada mereka, lalu engkau berkata ‘ Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu’, lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana sedih, disebabkan mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka infaqkan (untuk ikut berperang.)’” Surah At Taubah, ayat 92.

Syeikh Muhammad Ali As Sobuni dalam  buku tafsir beliau ‘Sofwah At Tafasir’ berkata, mereka menangis kerana mereka tidak ada harta yang boleh membawa mereka keluar berperang, begitu juga Rasulullah SAW tidak ada kenderaan yang boleh membawa mereka.

…………………………

Kisah di atas saya pernah dengar beberapa kali dalam ceramah atau terjumpa dalam mana-mana buku. Selama ini saya bayangkan mereka tidak ikut serta berperang disebabkan kemiskinan yang membelenggu, sehinggalah saya baca buku sirah Nurul Yakin dan jumpa beberapa maklumat tambahan.  


Maklumat tambahan ini saya jumpa semasa dalam proses menyiapkan artikel tentang Pengenalan Surah At Taubah. Alhamdulillah, proses menyiapkan atrikel tersebut menyebabkan saya dapat jumpa maklumat tambahan ini.
 

Disebutkan dalam buku sirah itu bahawa mereka dibantu oleh para sahabat yang lain dengan memberikan mereka alat kelengkapan perang. 


Maklumat tambahan tentang kisah ini seperti yang dijumpai dalam buku sirah Nurul Yakin tulisan Syeikh Al Khudhori :


-mereka ialah seramai 7 orang daripada kalangan Ansar.

-kisah ini ialah semasa Perang Tabuk.

-Sayidina Usman memberi kelengkapan kepada 3 orang daripada mereka.

-2 orang lagi diberi kelengkapan oleh Al Abbas.

-Baki 2 orang lagi diberi kelengkapan oleh Yamim bin Amru. 


Allahu a’lam.

Sunday 14 July 2013

Pengenalan Surah At Taubah.



 بسم الله الرحمن الرحيم

Tulisan ini akan dimuatkan dalam artikel IHRAM anjuran PCM sempena sambutan bulan Ramadhan. Alhamdulillah, proses menyiapkan artikel banyak memberi manfaat kepada saya kerana saya berpeluang membuat rujukan dan terdedah kepada banyak makluamt. 

 Saya juga menulis pengenalan untuk Surah Al Ahzab di sini : Pengenalan Surah Al Ahzab.

Semoga bermanfaat juga kepada semua.

Surah At Taubah.

Pengenalan :

1.       Surah ini ialah surah Madaniyyah diturunkan pada tahun 9 Hijrah, mengandungi 129 ayat dan merupakan antara surah-surah terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.

2.       Menurut Ibnu Kathir, awal surah ini diturunkan ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk. 

3.       Nabi SAW memerintahkan Sayidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan umat Islam untuk menunaikan haji di Makkah. Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Sayidina Ali untuk bersama-sama dengan rombongan Sayidina Abu Bakar ke Makkah untuk membacakan isi surah At Taubah kepada kaum musyrikin Makkah. Antara kandungan surah yang dibacakan oleh Sayidina Ali kepada kaum musyrikin ialah tentang hukum mereka (orang musyrikin ) tidak lagi dibenarkan mengerjakan haji selepas tahun itu ( selepas 9 Hijrah) dan hukum-hukum syariat yang lain.

4.       Peperangan Tabuk ialah peperangan untuk berhadapan dengan tentera Rome yang berlaku ketika musim yang sangat panas, perjalanan pula jauh, serta pada ketika itu buah-buahan sedang masak ranum menyebabkan manusia lebih suka tinggal di tempat masing-masing menikmati nikmat kehidupan. Ini menjadi ujian kepada orang-orang beriman sejauh mana keimanan mereka kepada Allah serta kepatuhan mereka kepada suruhan-Nya ketika perintah untuk berperang diisytiharkan kepada mereka.

Nama lain surah ini : 
 

1. براءة 
2. التوبة
3. المقشقشة
4. المبعشرة
5. المشردة
6. المخزية
7. الفاضحة
8. المثيرة
9. الحافرة
10. المنكلة
11. المدمدمة
12. العذاب
               
*Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa surah ini mempunyai 14 nama. Bagaimanapun, di sini hanya disertakan 12 sahaja nama daripada nama-nama tersebut.

Kenapa surah ini tidak dimulakan dengan basmalah?

Berkata Ibnu Abbas, “ Aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib kenapa surah bara’ah tidak ditulis Bismillahi rahmanirrahim? Beliau menjawab, kerana lafaz bismillahirrahmanirrahim ialah aman, dan surah bara’ah diturunkan dengan pedang yang tidak ada padanya aman.”

Berkata Sufyan bin Uyainah, “ Lafaz basmalah tidak ditulis pada permulaan surah ini kerana membaca basmalah adalah rahmat, dan rahmat adalah aman, sedangkan surah ini diturunkan tentang orang-orang munafiq dan dengan pedang, maka tidak ada keamanan bagi orang-orang munafiq. ”

Tujuan utama surah ini :

Menurut As Syeikh Dr Muhammad Ali As Sobuni, surah ini mempunyai 2 tujuan utama selain daripada tujuan-tujuannya yang lain.

1.       Tujuan pertama : Penerangan tentang undang-undang muamalat dengan orang-orang musyrikin dan ahli kitab. Antaranya ialah :

a.       Rasulullah SAW sebelum ini mempunyai perjanjian-perjanjian dengan kaum musyrikin. Tetapi kaum musyrikin telah beberapa kali melanggar perjanjian dengan Nabi SAW malah bekerjasama dengan kaum Yahudi daripada Bani Nadhir, Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ untuk mengkhianati Rasulullah SAW. Lalu turunlah surah ini untuk membatalkan perjanjian-perjanjian ini selepas beberapa kali Rasulullah SAW dikhianati.

b.      Surah ini turun pada tahun 9 Hijrah. Sebelum turunnya surah ini, orang-orang musyrikin dibenarkan melakukan ibadah mereka di Kaabah, bahkan sebahagian daripada mereka melakukan tawaf tanpa pakaian. Apabila turunnya surah ini, orang-orang musyrikin tidak lagi dibenarkan melakukan ibadah di Baitillahil Haram pada tahun-tahun yang seterusnya.

2.       Tujuan kedua : Menyingkap keadaan umat Islam ketika Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk memerangi Rome dalam peperangan Tabuk.

a.       Surah ini menceritakan tentang sebahagian daripada mereka yang tidak ikut berperang bersama dengan Rasulullah SAW dalam peperangan Tabuk ketika diperintahkan kepada mereka. 

b.      Surah ini juga menceritakan tentang orang-orang munafiq serta perancangan dan tipu daya jahat mereka. Sebahagian para sahabat memanggil surah ini dengan nama Surah Al Faadhihah yang bermaksud “Surah Yang Mendedahkan Keburukan” kerana surah ini mendedahkan perancangan jahat orang-orang munafiq untuk menghancurkan Islam.

Kesimpulan umum surah ini :

Syeikh Muhammad Ali As Sobuni mengatakan bahawa secara umumnya surah ini membicarakan tentang orang-orang munafiq yang lebih bahaya daripada orang-orang musyrikin. 

Dalam surah ini juga diceritakan tentang pembinaan masjid oleh golongan munafiq iaitu “ Masjid Dhirar”. Pembinaan masjid ini bertujuan memecah kesatuan orang-orang beriman. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkan supaya masjid ini diruntuhkan dan dibakar.

Allahu a’lam.

Rujukan : 

1.Sofwah At Tafasir, Dr Muhammad Ali As Sobuni.
2.Fiqh As Sirah, Dr Muhammad Said Ramadhan Al Buti.


Thursday 4 July 2013

Buku "How To Change Ourselves?" - Mukaddimah pengarang.

بسم الله الرحمن الرحيم






Penulis memulakan mukaddimah buku ini dengan beberapa persoalan.


Umat Islam di seluruh dunia pada masa sekarang sedang ditindas dan dizalimi sama ada oleh orang bukan Islam atau oleh tangan orang Islam sendiri.

Bilakah semua ini akan berakhir?

Di manakah pertolongan Allah?

Bukankah kita sudah berdoa kepada Allah, tetapi kenapa doa kita belum diterima Allah?

Jawapannya ialah, pertolongan Allah tidak akan diturunkan melainkan selepas kita memenuhi kriteria-kriteria yang Allah tetapkan bagi mereka yang layak untuk mendapat pertolongan dari-Nya.

Timbul pula beberapa persoalan. 

Apakah kriteria-kriteria yang melayakkan kita untuk mendapat pertolongan dari Allah?

Di manakah titik permulaan untuk kita mula bergerak untuk mendapatkan pertolongan dari Allah?

Jawapan kepada persoalan-persoalan inilah yang ditulis oleh pengarang sehingga selesai tulisan satu buku ini.
Insya-Allah kita akan cuba perhatikan sedikit demi sedikit perbahasan dalam buku ini tentang bagaimana untuk mengubah diri kita sendiri, supaya kita layak untuk mendapat pertolongan dari Allah.

Insya-Allah.

( masih berdukacita dengan jatuhnya kerajaan Dr Mursi..)

Wednesday 3 July 2013

Buku " How To Change Ourselves?"



 بسم الله الرحمن الرحيم



Tajuk buku ini dalam bahasa Arab ialah   كيف نغير ما بأنفسنا؟

Buku ini ditulis oleh Dr Majdi Al Hilali, seorang pendakwah dan penulis dari Mesir. Perkara yang sangat menakjubkan tentang penulis ini ialah tulisan beliau yang sangat banyak dalam bidang dakwah dan tazkiyan an nafs. 

Dr Majdi Hilali.
Katakanlah kita pergi ke maktabah pada bulan ini. Selang 2,3 bulan selepas itu kita akan jumpa beberapa buku baru tulisan beliau tersergam atas rak. 

Menakjubkan, bukan?

Satu buku yang sangat menarik, terutama bila kita selalu tertanya-tanya bagaimana cara untuk kita mengubah sikap atau tabiat yang tidak baik kepada sikap yang lebih baik.

Buku setebal 119 muka surat ini mengandungi 11 topik yang setiap satu membincangkan persoalan yang berbeza tentang kaedah untuk mengubah peribadi.

Topik-topik yang dibincangkan dalam buku ini ialah :

Topik 1 : القادر والمقتدر Saya terjemahkan ia sebagai Yang Maha Berkuasa ( Allah ) dan yang dikuasai (makhluk).
Topik 2 : Cita-cita mestilah kerana Allah.
Topik 3 : Apakah maksud perubahan?
Topik 4 : Penghalang-penghalang perubahan.
Topik 5 : Di mana kita bermula?
Topik 6 : Inilah Al Quran.
Topik 7 : Bagaimana membuat perubahan berdasarkan Al Quran?
Topik 8 : Bagaimana kita mendapat manfaat daripada Al Quran?
Topik 9 : Murabbi.
Topik 10 :  المحاضن التربوية Pendidik tarbiah.
Topik 11 : Mari kita mulakan.


Allahu a'lam.




Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...