Friday 30 December 2011

Tidak tahu tidak tahu.

Tidak tahu yang kita tidak tahu ialah satu penyakit yang sangat bahaya.

Seseorang yang tidak tahu dia tidak tahu, akan kekal dalam keadaan tidak tahu dan tidak berusaha untuk mencari tahu, kerana dia tidak tahu yang dia tidak tahu.

Seseorang yang tahu dia tidak tahu pula akan berusaha untuk mencari maklumat tentang perkara yang dia tidak tahu, kerana dia tahu perkara yang dia tidak tahu.

 Tahu yang kita tidak tahu ialah satu anugerah dan nikmat yang besar, belum lagi dikira nikmat apabila kita sudah tahu perkara yang kita tidak tahu tadi.

Sebab itu ada satu pepatah hukama yang berbunyi;

“Seseorang itu menjadi musuh kepada perkara yang dia tidak tahu.”

Formula ini sesuai diamalkan dalam apa sahaja bidang dan lapangan, perubatan, politik, dan sebagainya.

Masalahnya ialah, bagaimana untuk tahu yang kita tidak tahu?

Antara ubat untuk merawat penyakit ini ialah dengan berdiskusi secara sihat terutama dengan mereka yang cenderung mempunyai pandangan yang berbeza daripada kita, kerana perbincangan seperti ini berpotensi membuka banyak persoalan baru lantaran dimensi sudut pandang sesuatu persoalan yang semakin mencapah.

Saya ialah pencinta PAS, bukan wanita.

Saya juga salah seorang daripada ramai produk PAS. Bermula dengan memasuki PASTI sewaktu kecil, mengikuti program dan kem penghayatan Islam yang PAS anjurkan sewaktu sekolah rendah dan menengah, dipimpin tangan oleh ayahanda ke ceramah dan kuliah agama, serta bersekolah di sekolah agama yang dipelihara oleh kerajaan negeri Kelantan. Sekarang, masih lagi mengikuti perkembangan PAS walaupun sekadar muat turun ceramah dan kuliah agama daripada internet.

Saya mempunyai beberapa kemusykilan tentang ISMA, terutama selepas Presiden ISMA sejak akhir-akhir ini banyak menegur atau dengan perkataan yang lebih lunak memberi pandangan tentang Negara Berkebajikan yang PAS bawa. Kemusykilan ini harus diurus dengan cermat, supaya tidak membarah jadi barah dan merebak kepada buruk sangka sesama Muslim.

Perbualan saya dengan seorang sahabat ISMA baru-baru ini sangat bermanfaat.

Pertembungan dua pemikiran ini banyak mengeluarkan persoalan-persoalan baru yang kami baru tahu yang kami tidak tahu. Kami tidak mengharapkan jawapan daripada diskusi seperti ini, kerana apa yang kami mahu ialah supaya kami tahu perkara yang kami tidak tahu, untuk kami mencari jawapan selepas ini. 

Rupa-rupanya masih ada kejahilan saya tentang PAS, sebagaimana sahabat ISMA saya itu juga masih banyak perkara yang beliau tidak dapat jawab tentang ISMA. Ini ialah hasil daripada persoalan yang kami keluarkan sepanjang diskusi itu. Selepas ini, saya dan sahabat ISMA saya itu akan bergerak untuk mencari jawapan kepada setiap persoalan kami.

Kami mungkin masih kekal berbeza pendapat selepas ini, tetapi sekurang-kurangnya perbezaan pendapat ini dilapik dengan hujah dan pegangan yang kukuh terhadap apa sahaja persoalan, tanpa menafikan kemungkinan selepas ini mungkin saya bersetuju dengan pandangan beliau, atau beliau yang bersetuju dengan pendapat saya.

Sangat cantik perkataan Imam As Syafie yang mengajar kepada kita adab dalam berdiskusi;

“Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang pun, kecuali aku ingin agar ia diberi taufiq dan kebenaran, dan berharap agar Allah menampakkan kebenaran itu daripada lisannya.”

Semoga kebenaran semakin menghampiri kita.


Thursday 29 December 2011

Matan Abi Syuja’; Jenis-jenis air untuk bersuci.


Kita selalu berbicara tentang isu negara, isu pilihan raya yang semakin hampir, masalah tidak bersetuju dengan Negara Berkebajikan yang PAS bawa, dan masalah-masalah yang lain.

Silakan berbicara tentang apa sahaja isu, namun harus diingat, salah faham tentang ilmu fardu ain seperti masalah air ini menyebabkan hadas kita tidak diangkat dengan sempurna, seterusnya membawa kepada ibadah dan amalan yang tidak sah. 

Nauzubillah.

Benda yang mesti dipelajari sangat banyak. Ilmu di kuliah, asas fardu ain, isu-isu terkini dan lain-lain, sedangkan masa yang ada tidak banyak. Peperiksaan pula sudah nampak bayang-bayang petanda akan tiba tidak lama lagi.

Pandai diperlukan di situ untuk membuang urusan yang memberi untung yang sedikit. Sebetulnya, kita sentiasa berhadapan dengan krisis prioriti setiap masa. Sedikit masa mesti diselit untuk mendalami ilmu fardu ain dalam kesibukan kita mengurus urusan yang pelbagai.

Rasanya sudah banyak kali ikuti kelas pengajian masalah thoharah melalui diskusi kitab seperti Nailur Raja’, Al Minhajul Qawim, dan Matan Abi Syuja’ sendiri, dicampur dengan silibus yang sudah belajar semasa zaman persekolahan dahulu. Peliknya setiap kali belajar, pasti kita dapat kesan rupanya masih banyak kesalahan yang kita lakukan dalam masalah yang paling asas ini. Takut kalau-kalau ibadah yang dilakukan selama ini tidak sah. 

Sebagai ulangkaji dan perkongsian, dituliskan di sini tentang air yang diharuskan untuk bersuci.

Air yang diharuskan untuk bersuci ada tujuh iaitu air hujan, air laut, air sungai, air telaga, air mata air, air salji, dan air al-barad.

Air al barad  selalu disebut sebagai air embun. Tetapi selepas ustaz bertanya kepada Syeikh Said Syaltut rupa-rupanya air al barad di sini bermaksud air yang turun dari langit kemudian membeku. Dengan kata lain air hujan batu.

Air embun dalam bahasa Arab ialah الندي.

Tidak pasti kenapa penggunaan perkataan al barad di Mesir berbeza dengan di Malaysia. Lain kali boleh cuba cari jawapan perbezaan ini.  

Semoga Allah merahmati salah seorang daripada kami yang bertanya kepada Ustaz Hairul tentang masalah mandi wajib sehingga membuka sesi soal jawab yang panjang tentang masalah ini. Sesi ini banyak membetulkan salah faham tentang mandi wajib sebahagian daripada kami selama ini. Alhamdulillah.

Peluang sentiasa ada untuk membaiki diri dan amalan supaya diterima Allah.

Sekadar ini sahaja. Tidak boleh banyak-banyak.

Kena sikit-sikit.

Allahu a’lam.




Wednesday 28 December 2011

Silsilah; Hadis Nakhlah.

Silsilah di atas bermaksud Silsilah Hadith-hadith Terpilih iaitu sebuah buku yang sangat bermanfaat ditulis oleh Ustaz Hairul Nizam bin Mat Husain yang kami belajar daripada beliau di Madrasah Imam Nawawi, PCM.

Kelas pengajian hadis ini diadakan dua minggu sekali. Sepanjang tempoh dua minggu berulang-alik ke kuliah dan mustasyfa sambil mengintai mata pesakit, kelas pengajian hadis ini menjadi taman untuk kami berehat melepaskan lelah sambil mendengar sabda Sang Kekasih Nabi SAW. Memang betul, mendengar hadis-hadis Nabi SAW sangat mujarab untuk melembutkan hati dan mengembalikan semula tenaga yang hilang.

Buku bermanfaat ini memuatkan hadis-hadis pilihan daripada kitab Sahih Bukhari. Buku silsilah pertama dan kedua masing-masing mengumpulkan sepuluh hadis terpilih dalam kitab/bab al-Ilmi dalam Sahih Bukhari. Katanya Ustaz Hairul sekarang ini sedang dalam proses menyiapkan buku silsilah yang keempat. Semoga beliau dibantu Allah.

Method penulisan buku ini sangat menarik dan mudah difahami oleh orang awam seperti kita. Setiap hadis hanya disertakan dengan rawiyyul a’la (perawi tertinggi iaitu para sahabat) sahaja bersama dengan sedikit biodata, keterangan hadis, dan seterusnya pengajaran-pengajaran daripada hadis.

Paling istimewa tentang buku ini ialah penulis mendatangkan pendapat para ulama Al Azhar yang beliau sempat tanya sendiri tentang beberapa huraian dan maksud hadis, selain mengemukakan pandangan daripada para ulama silam melalui kitab-kitab muktabar mereka. Juga, sanad hadis-hadis dalam buku ini juga bersambung kepada Imam Bukhari melalui Syeikh Sa'd bin Sa'd Jawish.

Seingatnya kali pertama kelas ini diadakan ialah pada pertengahan tahun 2010, dan sekarang Alhamdulillah, kami sudah baca hadis yang ketiga dalam buku silsilah yang kedua iaitu hadis ‘Pertemuan Sayidina Dimam dengan Nabi SAW’. 

Untuk kali ini ialah ringkasan tentang Sayidina Ibnu Umar, perawi kepada hadis yang kedua iaitu Hadithun Nakhlah.

Matan hadis.

Daripada Ibnu Umar RA daripada Nabi SAW bersabda “ Sesungguhnya di kalangan pokok-pokok ada satu pokok yang daunnya tidak gugur. Pokok itu umpama seorang Muslim. Nyatakan kepadaku apakah pokok itu?”

Ibnu Umar berkata “ Para hadirin meneka bahawa pokok itu adalah pokok (yang tumbuh di kawasan) luar al-Madinah.” Kata Abdullah (Ibnu Umar),”Saya pula meneka di dalam hati saya bahawa pokok itu adalah pokok kurma.”

Kemudian para hadirin berkata,”Ceritakan kepada kami apakah pokok tersebut wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda, “Ia adalah pokok kurma.”

Biodata perawi.

Sayidina Abdullah Ibnu Umar ialah adik lelaki kepada Ummul Mukminin Sayidatina Hafsah RA, dan mereka berdua ialah anak kepada Sayidina Umar al Khattab. Rupa-rupanya Sayidatina Hafsah merupakan anak dan ‘ibu’ kepada Sayidina Umar al Khattab, dengan kata lain ibu bagi orang-orang beriman (ummul mukminin).

Sayidina Ibnu Umar pernah bermimpi diperlihatkan neraka ketika sedang tidur di dalam masjid lalu mengadu kepada kakak beliau, sehingga kakak beliau memberitahu Nabi SAW.

Lalu Nabi SAW bersabda, “Lelaki yang baik adalah Abdullah. Kalaulah beliau melakukan solat pada waktu malam.” 

Sayidina Ibnu Umar sebelum ini tidur pada waktu malam sehingga bermimpi diperlihatkan neraka, dan jawapan daripada Nabi SAW apabila Sayidatina Hafsah mengadu kepada Baginda SAW pula mengaitkan Sayidina Ibnu Umar dengan solat malam. Ibnu Hajar al-Asqalani membuat kesimpulan daripada hadis ini mengatakan solat malam boleh mencegah seseorang daripada api neraka.

Diceritakan bahawa Sayidina Ibnu Umar selepas itu tidak lagi tidur malam kecuali sedikit.

Kelas berjalan hampir dua jam, jika ingin tulis semua yang kami dapat daripada kelas ini bermaksud kami mesti menulis sebuah buku, lantaran hikmah yang begitu melimpah. Cukup setakat sedikit maklumat tentang perawi. Cara yang paling baik ialah pembaca hadir sendiri ke majlis ini atau cari rakaman pengajian daripada sesiapa.

Tulisan ini pula ialah ringkasan daripada pengajian sebagai ulangkaji bagi saya dan sebagai perkongsian bagi pembaca, serta sebagai semakan bagi para tolibul ilmi di luar sana yang dapat mengesan sebarang salah faham saya terhadap hadis mulia Nabi SAW.

Ambil galah tolong jolokkan. 

 


Thursday 22 December 2011

Matan Abi Syuja’; Pengarang.


Buku ini ialah buku feqah mazhab Syafie, juga dikenali sebagai al Ghayah wa al-Taqrib ditulis oleh Qadhi Abu Syuja’

Pada kelas pertama baru-baru ini hanya sempat belajar tentang perihal pengarang sahaja.

Antara yang menarik ialah perkataan daripada Qadhi Abi Syuja’ yang berkata “ Telah minta kepadaku beberapa orang daripada sahabatku untuk aku menulis sebuah buku feqah ringkas dalam mazhab Syafie..”

Kajian daripada para ulama menunjukkan sahabat yang dimaksudkan oleh Qadhi sebenarnya ialah para murid beliau. Sekali lagi contoh mulia sifat tawadhu’ ulama yang memanggil murid-murid beliau dengan panggilan sahabat dan bukan murid, sedangkan beliau pada waktu itu ialah Qadhiyyul Qudhah, iaitu Qadhi kepada para Qadhi.

Qadhi Abu Syuja’ hidup sehingga umur 160 tahun. Tubuh badan beliau masih sihat dan bertenaga, sehingga menimbulkan rasa hairan orang ramai. Beliau menjawab ;

“Aku menjaga tubuh badan aku semasa muda (daripada melakukan maksiat kepada Allah), kemudian Allah menjaga tubuh badan aku ketika aku tua.”

Ini ialah beberapa perkongsian hasil pengajian pertama. Maklumat selebihnya tentang pengarang saya syorkan pembaca baca tulisan ini.

Alhamdulillah, matan yang dibaca ini juga bersambung sanad kepada pengarang Qadhi Abu Syuja’ melalui Syeikh Sa’d bin Sa’d Jarwisy, juga diijazahkan oleh ustaz.

Matlamat pengajian bukan untuk sanad, dalam masa yang sama tidak menafikan sanad sebagai keistimewaan umat Islam dalam menjaga amanah ilmu yang tidak dimiliki oleh umat lain, dan sebagai bukti bahawa Islam menekankan supaya belajar mestilah berguru.

Sebahagian hadirin bertanya tentang adab yang mesti disebut apabila ada yang mengijazahkan kepada kita sanad. Kita boleh jawab Qabiltu atau Qabilna, walaupun menurut Syeikh Yusri sebenarnya lafaz terima ini bukanlah syarat.

Mula belajar matan ini pada tahun 2006 sehingga 2010, daripada bab thoharah sehingga bab nikah, kemudian tergendala juga kerana beberapa halangan, dan kini kami bermula sekali lagi daripada muka surat satu. Betul rupanya pesan seorang kawan, mesti selalu solat hajat supaya kitab yang dibaca mampu dikhatam dan difahami dengan baik.

Salah satu kata hukama menyebut, “Sesiapa yang mendengar ilmu kali ke seribu tidak sama ghairah ketika dengar kali pertama tidak dikira penuntut ilmu.”

Kata-kata ini sekarang menjadi ujian.



Monday 19 December 2011

Matan Waraqat ; Mukaddimah.


Waraqat ialah ilmu usul fiqh, dikarang oleh Imam Haramain al Juwaini.

Waraqat bermaksud helaian kertas, simbol kepada sifat tawadhu pengarang hanya menamakan buku yang bermanfaat ini sekadar helaian kertas, padahal buku ini sangat berjasa kepada dunia keilmuan Islam. Ust Hairul tunjuk kepada kami salinan manuskrip matan ini, memang betul-betul beberapa helaian ringkas.

Pada mukaddimah kitab, pengarang menjelaskan maksud istilah Usul, Furu’, dan Fiqh. Perbincangan kami hanya sempat membahaskan perkataan usul dan furu’ sahaja.

Usul bermaksud sesuatu yang dibina atasnya.

Furu’ pula bermaksud sesuatu yang dibina dari benda lain. Pengarang mendatangkan perkataan furu’ sebagai perbandingan kepada perkataan usul, supaya kita mampu memahami maksud kedua-dua istilah dengan lebih baik.

Satu soalan yang ditanya oleh hadirin, apakah ada kemungkinan para Imam yang berijtihad terlepas pandang mana-mana hadis atau sumber hukum?

Ust jawab kemungkinan itu ada, tetapi kemungkinan itu sangat kecil, kerana seorang ulama yang layak berijtihad mesti mempunyai ilmu yang luas.

Segala puji bagi Allah, kelas pertama pengajian matan Waraqat bersama Ust Hairul Nizam pada 13 Disember 2011 baru-baru ini berjalan dengan baik. Pernah ikuti sebelum ini pada tahun 2009 tapi tergendala kerana beberapa halangan, dan sekarang terpaksa dimulakan dari awal semula.

Mungkin sedikit kelebihan kami pada kali ini dapat sanad yang bersambung kepada pengarang melalui Syeikh Sa’d bin Sa’d Jarwisy, diijazahkan oleh Ustaz.

Selepas berbincang dengan Ustaz, kami ambil keputusan untuk baca matan sahaja dan bukan syarah, supaya perbincangan tidak terlalu luas dan dalam, sesuai dengan kapasiti pelajar perubatan.

Semoga Allah membuka jalan bagi kita untuk menyelami rahsia kitab ini, sebagai satu usaha untuk memahami bagaimana hukum perundangan Islam berdiri. 

Friday 16 December 2011

Hari ini hari Jumaat.


Penting, supaya kita dapat rasa hari ini tidak sama dengan hari-hari yang lain.

Khutbah Jumaat sebentar tadi, khatib bercerita tentang hari Jumaat. Bermula daripada kelebihan hari Jumaat, persiapan untuk menyambut hari Jumaat, seterusnya adab-adab khusus pada hari Jumaat.

Orang-orang Mesir mendengar dengan khusyu’ tidak tidur. Memang begitu solat Jumaat dan apa sahaja ceramah di sini, mereka memang tidak tidur. Kalau yang tertidur pun mungkin segelintir pelajar kita yang kepenatan selepas tidak tidur semalaman untuk bermunajat dan menghafal ilmu. Mungkin kerana khatib di sini berkhutbah, bukan membaca khutbah. Mungkin juga isi-isi yang disampaikan padat dan berisi serta menyentuh pelbagai isu.

Tidak terlintas untuk banding dengan khutbah di Malaysia, kerana berapa banyak teks yang dibaca khatib di Malaysia mampu memberi kesan. Asalkan sahaja isi khutbah berani mengatakan yang hak itu ialah hak dan yang batil itu ialah batil, tidak menjaga kepentingan sesiapa.

Banyak juga masjid di Malaysia yang isi khutbah mereka menarik dan memberi banyak input. Kalau yang sebaliknya itu, bermaksud kita masih tidak pandai pilih tempat untuk solat Jumaat.

Mungkin ini ialah sedikit perkongsian tentang khutbah Jumaat sebentar tadi, secara ringkas.

Adab-adab pada hari Jumaat ialah mandi sunat hari Jumaat, potong kuku dan rambut ( pembaca faham, tidak perlukan huraian),memakai wangian, datang awal ke masjid, membaca surah As Sajadah dan Al Insan pada solat Subuh, membaca surah Al Jumuah dan Al Munafiqun pada solat Jumaat, membaca surah AL Kahfi, banyakkan berselawat kepada Baginda Nabi SAW, dan lain-lain.

Antara kebesaran hari Jumaat ialah Nabi Adam dijadikan pada hari ini.

Persediaan untuk menyambut hari Jumaat pula saya gagal untuk tulis di sini, kerana konsentrasi tumpul semasa khatib tengah bercerita tentang hal ini.

Masih banyak lagi sebenarnya isi khutbah yang menarik, ditambah pula khatib sertakan sekali dengan dalil-dalil hadis Nabi SAW, sehingga kami rasa Baginda SAW begitu hampir dengan kami. Mungkin lain kali kena bawa pen dan kertas, supaya boleh tambat ilmu dan tidak dibiar terlepas begitu sahaja.  

Hukum menulis semasa khatib tengah berkhutbah?

Saya tidak tahu.

Tulisan ini ditulis dengan kelajuan turbo, kerana masa sangat sempit. Sekadar tulisan ringkas untuk merayakan hari mulia Sayyidul Ayyam.

Selamat Menyambut Hari Jumaat.



Tuesday 13 December 2011

Menulis.


Menulis adalah perlu.

Menulis sebagai salah satu cara untuk mendapatkan pahala yang tersebar luas dan berterusan sehingga ke hari kiamat, dengan izin Allah.

Tulisan mestilah diperhatikan dengan hati-hati, supaya pahala yang diharap menghasilkan pahala, bukan dosa. Berhati-hati supaya amanah ilmu dijaga dengan baik supaya kita tidak menempah tempat tinggal dalam neraka, mampu mendapatkan sumber rujukan yang tepat dan kuat, tidak mencela dan menjatuhkan sesiapa sahaja, serta diungkapkan dengan bahasa yang mempunyai etika dan akhlak yang tinggi.

Matlamat tulisan bukan untuk sehari dua, bahkan untuk kita tinggalkan selepas kematian kita nanti. Justeru, mengingat matlamat ini menjauhkan diri daripada menulis sesuatu yang merugikan kita dalam kubur nanti.

Menulis bagi menghasilkan pahala yang besar dan banyak, bahkan jariah, perlu dikaji apakah persoalan yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia dan kepada Islam khususnya, kerana hidup ini terlalu singkat untuk dibazir dalam perkara ranting. Dalam masa yang sama meraikan kecenderungan dan minat kita dalam apa sahaja bidang dan lapangan, kerana menulis sesuatu yang diminati merupakan kuasa penggerak yang besar.

Menulis ialah asyik.

Menulis jangan sampai urusan dan amanah keutamaan lain tergadai. Begitu juga kesibukan dengan apa sahaja urusan, jangan sampai menggadai masa untuk menulis, kerana menulis bermanfaat untuk diri dan orang lain.

Tidak perlu jadi seperti Pak Hamka sebelum mula menulis. Tulis sahaja dahulu, walaupun pada awalnya tulisan itu serba kekurangan dan daif dengan segalanya, kerana rentak dan identiti akan datang nanti, insya-Allah.

Kalaupun orang lain tidak mendapat manfaat daripada tulisan kita, tidak mengapa. Yang penting, jangan sampai tulisan tangan kita tidak masuk ke dalam hati kita sendiri.

Belum terlewat.



Saturday 10 December 2011

Politik.


Kasihan dengan politik.

Selalu sahaja digelar kotor, jijik, menjengkelkan, dan apa sahaja perkataan yang tidak baik.

Sudah dua kali dengar kalimah di atas, secara langsung, diucapkan oleh mahasiswa bakal pemimpin yang akan mengemudi agama dan negara kita nanti. Pandangan ini harus diambil berat, kerana pemimpin sekarang dan nanti tidak boleh dipisahkan daripada politik.

Umat Islam yang taboo dan melarikan diri daripada politik dan kepimpinan bermaksud membuka laluan mudah kepada orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan.

Tidak pasti apakah sebenarnya yang beliau maksudkan dengan kotor. Mungkin beliau ada baca mana-mana buku yang menjelaskan definisi politik ialah kotor. Kalaulah kita boleh tumpang baca buku itu.

Cuba bertanya En. Google dan Puan Wiki apakah maksud politik, mereka beri jawapan ini;

"Politics is a process by which groups of people make collective decisions. The term is generally applied to the art or science of running governmental or state affairs, including behavior within civil governments, but also applies to institutions, fields, and special interest groups such as the corporate, academic, and religious segments of society. It consists of "social relations involving authority or power” and refers to the regulation of public affairs within a political unit, and to the methods and tactics used to formulate and apply policy." -wikipedia

Tidak pula jumpa politik itu kotor. Nampaknya definisi politik itu kotor beliau bukan rujuk kepada En. Google dan Puan Wiki. Mesti cari rujukan lain.

Membelek-belek buku mencari pandangan beberapa pemikir Barat tentang politik, berjaya jumpa dua tiga pandangan ini;

“Politik adalah pertarungan untuk mendapatkan kekuatan dan kekuasaan.” Morgonto.

“Politik adalah kekuasaan atau wibawa yang dapat menentukan orang yang berhak mendapat apa, bila, dan bagaimana.” Harold Lasswell.

“Ilmu politik berguna untuk mempelajari tentang kekuasaan dalam masyarakat. Juga berguna untuk mengetahui dasar-dasar kekuasaan, tujuan, sasaran, dan hasil yang akan diperolehi.” William Robinson.

Jeanne Pierre Duncan membahagikan definisi politik kepada beberapa bahagian;

Penggunaan pertama; “ Kata politik memiliki makna yang dekat dengan kata pentadbiran atau pengaturan dan biasanya digunakan untuk hal yang bersifat khusus seperti politik (atau pengaturan) pengangkutan, politik sumber tenaga, politik pengeluaran kenderaan dan sebagainya.”

Penggunaan kedua; “ Kata politik yang mempunyai makna yang dekat dengan kata strategi, seperti politik (strategi) perang, politik organisasi, politik pemerintahan dan sebagainya.”

Masih berkisar tentang kekuasaan dan pemerintahan, juga tidak jumpa perkataan kotor.

Mungkin sahabat kita itu tersilap memandang politik mengguna kaca mata Machiavelli, sehingga mendengar perkataan politik sahaja sudah rasa sengsara.

Syeikh Al Qaradhawi menjelaskan serba sedikit tentang siapa Machiavelli ini dalam buku beliau Agama dan Politik ;

“Nicholas Machiavelli adalah seorang penulis politik berbangsa Itali ( meninggal 1527M ). Beliau terkenal dengan bukunya bertajuk The Prince. Isi buku tersebut sudah menghemogeni seluruh dunia politik. Sebuah pemikiran yang terlepas daripada segala norma dan etika dalam mendirikan sebuah negara dan politik. Segala cara kotor, pengkhianatan, penipuan, dan dusta dihalalkan demi mencapai tujuan utamanya iaitu menegakkan dan memperkuatkan negara, termasuk perang dan menyerang musuh.”

Teori Machiavelli ini bukan saja ditentang oleh ulama Islam, bahkan turut ditentang oleh pemikir Barat. Penggunaan ketiga maksud politik menurut Duncan ialah;

“Kata politik secara jelas mengandungi makna suatu norma yang kotor kerana selalu berfikir mengikut pola fikir Machiavelli yang buram dan menyesatkan. Ia melihat politik sebagai sesuatu yang kotor dan menjijikkan. Secara umum, politik sudah difahami sebagai taktik yang dilakukan secara kotor. Kerana itu, jika ada ungkapan ‘ini urusan politik’, sebenarnya hanyalah ungkapan penghinaan, bukan definisi yang sebenarnya.”

Lebih takut lagi kalau-kalau prinsip sekular yang menjangkiti umat Islam dengan slogan mereka ‘tidak ada agama dalam urusan negara, dan tidak ada urusan negara dalam agama.’

Mengambil mereka yang dengki dengan Islam sebagai qudwah ialah kesilapan terbesar yang pernah dilakukan oleh umat Islam. Umat Islam izzah kerana Islam mereka, apabila mereka mengambil selain Islam sebagai panduan, kehinaan akan menimpa mereka. Ugutan yang pernah diancam oleh Sayidina Umar al Khattab.

Ajaran Islam itu komprehensif, meliputi juga bidang politik. Sifatnya juga ialah membimbing. Politik yang dilihat kotor dan keji, apabila diurus dengan sistem yang Islam ajarkan mampu memberi manfaat dan keadilan kepada semua.

Bergantung pada tahap yakin kita terhadap agama kita, juga ilmu, dan iman sama.

Islam dan orang Islam ialah dua hal yang berbeza. Menyalahkan Islam kerana sikap buruk umat Islam adalah sesuatu yang tidak adil. Kerana itu tidak mustahil seseorang yang ke negara majoriti umat Islam tidak jumpa Islam, sebaliknya Islam ditemui di negara bukan umat Islam.

Membaca buku-buku feqah dan perundangan Islam, kita akan jumpa beberapa perbahasan hukum  kemasyarakatan seperti hudud, qisas, jihad, zakat, dan lain-lain. Sebahagian daripada hukum-hukum ini memerlukan peranan pemerintah untuk dilaksanakan.

Sangatlah tidak patut jika Nabi SAW diutuskan untuk mengajar kita semua ini, lalu kita umat akhir zaman menyimpan semua ilmu-ilmu yang diwarisi daripada Nabi SAW ini dengan kemas dalam kitab, dan hanya dijadikan sebagai bahan diskusi di pondok dan pesantren sahaja, tanpa ada usaha untuk diamalkan dalam masyarakat.

Kita dituntut untuk menuntut ilmu, tapi matlamat ilmu bukan sekadar ilmu.

Ada baiknya kalau kita cuba perhatikan beberapa pandangan cendekiawan Islam tentang politik.

“Politik ialah berkenaan dengan kekuasaan dan pentadbiran dalam masyarakat awam.” Kamus Kamil.

“Politik ialah segala aktiviti manusia yang berkaitan dengan penyelesaian pelbagai konflik dan mencipta keamanan bagi masyarakat.” Ensiklopedia al Ulum al Ijtima’iyyah.

“ As Siyasah (politik) ialah dasar atau disiplin ilmu yang membahaskan cara mengatur pelbagai persoalan yang bersifat umum.” Al Mu’jam al Qanuni.

“Politik terbahagi kepada dua; politik zalim yang kemudian diharamkan syariat dan politik adil yang bertujuan membela kebenaran daripada perbuatan orang zalim, membasmi segala bentuk kezaliman, mencegah tindakan para penjahat, serta mengarahkan kepada hal yang sesuai dengan tujuan-tujuan syariat Islam.” al Hamawi dalam Hasyiah Miskin.

“Politik ialah segala tindakan yang dilakukan oleh pegawai pemerintah yang bertujuan untuk memudahkan tercapainya maslahat umum dan terhindar daripada bahaya dan kerosakan.” Ibnu Aqil.

“as Siyasah (politik) bermaksud pengurusan yang baik dan tindakan membaiki kerosakan.” Ibnu Sina.

“Politik ada dua jenis. Pertama politik manusia untuk dirinya sendiri, sama ada berhubungan dengan keperluan jasadnya atau keperluan lain. Kedua politik manusia terhadap pihak lain, sama ada terhadap kerabatnya atau masyarakat secara umum. Seseorang yang perilaku politik terhadap dirinya tidak baik, maka perilaku politik terhadap orang lain juga tidak baik.” Ar Raghib dalam Makarim asy Syar’iyyah.

Pelbagai bukan? Tapi tetap membawa kepada maksud yang sama, iaitu memberi kebaikan kepada semua.

Kita menentang teori Machiavelli, sebagaimana kita menentang prinsip sekularisme. Politik yang kita menggabungkan diri dengannya ialah seperti yang telah ditunjuk oleh para ulama Islam, penuh etika dan berperanan memberi kebaikan kepada orang Islam dan bukan Islam juga.


Politik tidak sempit sekadar PAS atau UMNO, Ubai atau Iskandar, bahkan lebih luas dari itu. Seluas seperti apa yang telah dijelaskan oleh para ulama kepada kita.

Politik ada tempat dalam agama, sebagaimana agama juga ada tempat dalam politik.

Jangan takut berfikir.

Teruskan mencari kebenaran tanpa mengabaikan Quran dan Hadis melalui bimbingan para ulama. Berfikir kerana kita ialah umat Iqra’ yang diajar berfikir. Tidak mengabaikan Quran dan Hadis kerana kedua-dua ini ialah harta pusaka kita. Berpandukan panduan ulama kerana kita bukan mujtahid.

Melihat beberapa pandangan tentang politik di atas, nampaknya PCM dan PMRAM juga persatuan politik. Persatuan politik mahasiswa maksud saya. Tidak mengamalkan teori Machiavelli dan sekularisme yang pasti.

Bacaan lanjut tentang politik, boleh telaah buku Agama Dan Politik tulisan Dr Yusof Al Qaradhawi. Buku ini sangat menarik, kerana perbahasan yang luas tentang politik telah diringkaskan oleh Syeikh, seolah-olah buku-buku besar karangan ulama silam dihadapkan kepada kita dalam bentuk yang mampu difahami oleh orang awam seperti kita.

Semoga Allah membimbing kita semua.


Friday 9 December 2011

Hukum hudud; fikir sebelum cakap.


Saya percaya musuh-musuh Islam itu ada, dan kekal wujud sehingga hari kiamat. Bezanya, ada yang melawan Islam secara terang-terangan, sementara sebahagian yang lain pandai mengaburi mata kita.

Tahniah kepada musuh-musuh Islam, sekarang, mereka tidak perlu lagi bersusah payah menghina Islam. Cukup dengan orang Islam sendiri untuk menghina Islam.

Isu hudud, kalaupun tidak setuju kerana kita berbeza pandangan politik, tidak perlu dihina hukum Allah sehingga demikian. Menonton video Sembang Rakyat tentang hukum hudud yang tersebar dalam laman Facebook sangat mengerikan. Tidak sangka Islam dipijak oleh penganutnya sendiri.

Saya mempunyai pendirian untuk tidak mencemarkan ruangan ini dengan video-video yang menyakitkan hati seperti itu. Pembaca boleh cari sendiri di mana-mana.

Berniat untuk mencari penyelesaian, di manakah punca sehingga perkataan sebegitu boleh keluar?

Kejahilan individu?

Kesilapan keluarga mengabaikan pendidikan agama anak-anak?

Masyarakat yang tidak diberi kesedaran tentang Islam?

Atau kerajaan yang tidak mesra agama?

Lubang boleh tiris di mana-mana bahagian di atas. Mengenal pasti punca penting sebelum mula ambil usaha.

Masih lagi memegang keyakinan yang sama, usaha menyuburkan Islam mesti diambil peranan oleh semua. Bermula individu sehingga kerajaan. Mengabaikan salah satu daripada komponen ini hanya merugikan Islam.

Tidak berniat untuk menulis panjang.

Sekadar bantahan terhadap mereka yang tidak cermat berinteraksi dengan hukum Allah.

Semoga kita lebih berhati-hati.




Thursday 8 December 2011

Antara berukhuwah dan berprinsip.


Kita diajar supaya berbaik-baik dengan semua orang. Ini dipanggil ukhuwah Islamiyyah, iaitu persaudaraan Islam kerana kita mempunyai akidah yang satu. Kita dilarang daripada menyakiti saudara kita yang lain, walaupun dengan sepatah perkataan.

Aman damai, seronok, tenang, tenteram, bahagia, gembira, tiada masalah, bukan?

Semakin lama hidup, fikiran mula berfikir banyak perkara, diri terdedah kepada banyak maklumat dan aliran pemikiran, proses memandang sesuatu isu mula terbentuk, diri menjadi semakin matang, dan perubahan ini sentiasa bergerak dan tumbuh dengan pesat, sehingga akhirnya identiti dan prinsip mula terbina dalam diri.

Perbezaan pendedahan yang diterima dan cara memproses kembali maklumat yang diterima, serta alat yang kita gunakan untuk memproses itu, menghasilkan identiti dan prinsip yang berbeza. Perbezaan ini berlaku tidak kira sesiapa. Antara kawan dengan kawan, antara junior dan senior, antara murid dan guru, bahkan lebih dari itu, antara anak dan ibu bapa.

Di sini bermula dilema.

Ukhuwah atau prinsip?

Memilih prinsip dan pandai pula jaga ukhuwah, inilah si bijak. Memilih prinsip tetapi mencampak ukhuwah, kita telah hilang satu nikmat. Memilih ukhuwah sehingga prinsip tergadai, takut-takut kita ialah si lalang.

Tidak memilih ukhuwah mahupun prinsip, minta maaf, saya membebaskan diri daripada memberi sebarang ulasan.

Dilema yang sama pernah berlaku kepada Sayidina Mus’ab bin Umair, ketika beliau diuji antara akidah dan ibu.

“Sekiranya ibu diberi 100 nyawa, dan nyawa ibu melayang satu demi satu, aku tetap tidak akan meninggalkan agama Islam yang aku anuti ini.”

Lidah tegas menyatakan prinsip, tapi hati tetap mengiktiraf ibu sebagai ibu. Akidah selamat, adab seorang anak tidak tercalar, contoh mulia yang layak diikuti.

Ujian prinsip ini berlaku lama dahulu ketika zaman Nabi SAW.

Jumaat ini, ujian yang sama akan menguji kita.

Ubai atau Iskandar?

Warga Mansurah, selamat mengundi.

Tuesday 6 December 2011

al Kayyisu.


Sudah banyak masa yang dibuang, tenaga yang tidak dimanfaatkan, wang ringgit yang dibazir, fokus yang tidak ditumpu, peluang yang dibiar berlalu, potensi yang ditinggal malap, amanah yang tercicir dari pundak, orang tersayang yang disia-siakan, pahala yang terlepas sedangkan dosa tidak berkurang, dan pembaziran yang lain.

Terlalu banyak pembaziran, sedangkan masa semakin hampir untuk bertemu dengan Tuhan.

Hidup ini untuk mati, dan mati itu benar, walaupun kita leka.

Kita tertidur walaupun kita cuba tahan. Kita terjaga dari tidur walaupun kita mahu tidur. Perumpamaan yang Lukmanul Hakim gunakan untuk mendidik anaknya tentang mati dan hari kebangkitan. Kita mati sama ada mahu atau tidak. Kita dibangkitkan ke padang mahsyar untuk dihisab walaupun enggan.

Lepaskan yang sudah lepas. Hargai baki hidup selagi nyawa belum lepas ke halkum.

Sudah sampai masanya untuk serius dengan hidup, mengejar akhirat tanpa mengabaikan dunia, berpandukan kitab yang Allah turunkan kepada kita.

“Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingati Allah…” Al Hadid, 16.

Fudhail bin Iyad hanya dengar sekali sahaja ayat ini untuk serius dengan hidupnya, sehingga nama beliau meniti dari satu zaman ke satu zaman.

Bangkit selepas jatuh berkali-kali bukan senang, dan bukan susah juga.

Bukan senang supaya kita tahu pengorbanan yang mesti dibayar untuk sebuah perubahan. Bukan susah supaya kita tidak putus harap kepada Allah.

Menjadi al Kayyisu seperti yang Nabi SAW sebutkan ialah sebuah harapan yang mungkin.

“Al kayyisu (orang yang bijak) ialah orang yang menghisab dirinya dan beramal untuk selepas kematian.” At Tirmizi.

Selamat menyambut tahun baru hijrah 1433.

 Semoga hari ini lebih baik dari semalam.


Sunday 4 December 2011

Jaga mata.


Keluar dari rumah bermaksud kita mempertaruhkan iman.

Bukan senang untuk jaga mata, terutama untuk tidak pandang ke tempat yang Allah marah. Sepanjang perjalanan ke kuliah atau hospital merupakan perjudian sama ada kita menang dengan hawa nafsu atau sebaliknya, kita menjadi hamba kepadanya. Kami belajar tentang kesihatan mata, tapi menjaga mata supaya tidak disentuh oleh api neraka tidak diajar dalam Ophthalmology.

Tidak tahulah kenapa, banat di tanah Mansurah ini tidak mahu bekerjasama membantu kami lelaki untuk menjaga kesihatan iman mata kami. Mungkin mereka tidak kisah sekiranya mata kami ini dipenuhi selaput dosa. Kami lelaki nampaknya mesti berdikari.

Banat yang menutup maruah diri mereka dengan baik sehingga terhijab pandangan mata lelaki, kami ucapkan jutaan terima kasih. Hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan.

Melayari internet juga sama. Dosa dan pahala ditentukan hanya dengan satu klik sahaja.

Pandangan merupakan panahan dari panahan syaitan. Ini peringatan yang kita warisi daripada Nabi SAW.

Mungkin antara solusi yang ada ialah kami lelaki tidak perlu keluar ke kuliah dan memutuskan talian internet di rumah, semata-mata untuk menjaga agama kami. Ini mungkin satu pilihan. Risikonya ialah Islam akan dicemuh kerana pilihan ini. Kolot dan sebagainya.

Pilihan kedua ialah kita keluar ke kuliah dan melayari internet, sambil hati kita berdetik dengan hadis Nabi SAW ini;

النظرة سهم من سهام إبليس من تركها من مخافتي أبدلته إيمانا يجد حلاوته في قلبه

“Pandangan itu adalah salah satu anak panah di antara panah iblis, siapa yang meninggalkannya karena takut kepadaKu maka akan Aku gantikan dengan keimanan, yang ia dapatkan halawahnya (manisnya) di dalam hatinya” (HR ath-Thabrani dan al-Hakim)

Kita bebas memilih sebenarnya.  

Halawah atau panahan.

Jangan tanya nafsu.

Tanyalah iman.

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya..” An Nur,30.


Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...