Tuesday 27 September 2011

al Hub.


Mendekati manusia, ada risiko untuk diterima atau ditolak.

Seorang hamba yang mahu dekat dengan Tuhannya, sentiasa diterima Allah dan tidak akan pernah ditolak walau apa sahaja keadaan hamba itu. 

Sangat menarik mendengar rakaman tazkirah Ust Aminudin tentang hubungan seorang hamba yang dekat dengan Tuhannya. 

Hubungan ini ada beberapa kriteria.

1. Al hubbul mutabadil iaitu perasaan saling cinta mencintai. Allah cintakan mereka dan mereka juga mencintai Allah.

“….maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum,Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya….” Al Maidah,54.

2. Az zikrul mutabadil iaitu saling ingat mengingati. Mereka ingat kepada Allah dan Allah juga ingat kepada mereka.

“Maka ingatlah kepadaKu,Aku pun akan ingat kepadamu...” Al Baqarah,152.

3.Ar ridhal mutabadil iaitu perasaan redha meredhai. Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah.

“…Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepadaNya….” Al Bayyinah,8.

Dalam dunia ini banyak perasaan cinta yang berebut-rebut mahu menduduki tempat pertama dalam hati manusia. Perasaan-perasaan ini boleh jadi cinta kepada kejayaan, harta, isteri, anak, dan ibu bapa.

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan,berupa perempuan-perempuan,anak-anak,harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak,kuda pilihan,haiwan ternak dan sawah ladang…”Ali Imran,14.

Mereka yang cintakan Allah, bijak melorongkan cinta-cinta ini ke laluan yang sesuai, supaya tidak merempuh dan memusnahkan cinta yang pertama tadi. Lebih dari itu, dimanfaatkan pula cinta-cinta ini supaya menguatkan cinta mereka kepada Allah.

Mereka memanfaatkan cinta kepada ibubapa dengan berbakti kepada mereka, semata-mata untuk mendapatkan cinta daripada Allah. Mereka memanfaatkan cinta kepada isteri dan anak-anak dengan bersikap lemah-lembut kepada mereka, juga untuk meraih cinta daripada Allah.

Begitulah seterusnya.

Perjuangan menjaga cinta kepada Allah supaya sentiasa berada pada ranking yang teratas bukan senang. Kadangkala kita menang, namun banyak kali kita yang tersungkur kalah. Walaupun begitu, usaha mesti diteruskan selagi ruh masih menumpang pada jasad ini.

Bagaimana kita boleh berhenti berusaha, sedangkan syaitan tidak pernah berhenti berehat?

“(Iblis ) menjawab,kerana Engkau telah menyesatkan aku,pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus.Kemudian,pasti aku akan mendatangi mereka dari depan,dari belakang,dari kanan dan dari kiri mereka.Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.” Al A’raf,16 dan 17.

Cara-cara untuk mendapatkan cinta Allah tidak akan ditulis di sini, sekurang-kurangnya tidak buat masa ini. Sebagai panduan, kita boleh telaah buku Haqaiq Tasawuf tulisan Syeikh Abdul Qadir Isa rahimahullah. Di situ, ada disenaraikan 10 nasihat ulama yang kita boleh amalkan.

Bukan susah walaupun bukan senang.

Dengan nama Allah.



Bismillahirrahmanirrahim. 

Ini hanya tulisan ringkas sebagai permulaan kepada ruangan ini.

Kebanyakan ulama hadis memulakan tulisan mereka dengan menulis sepotong hadis tentang ikhlas. Imam Abdul Rahman Ibn Mahdi rahimahullah berkata,

“Seandainya aku mengarang sebuah kitab, sudah tentu aku akan mulai dengan hadis ini.”

 “Segala amalan itu hanya dikira mengikut niat,dan seseorang itu hanya mendapat berdasarkan apa yang dia niatkan.Maka sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan Rasulnya,maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya.Dan sesiapa yang hijrahnya hanya untuk mendapatkan kesenangan dunia atau kerana ingin berkahwin dengan seseorang perempuan,maka nilai hijrahnya seperti yang diniatkannya itu.”Muttafaqun alaih.

 Harapannya, moga-moga ruangan ini bermanfaat kepada saya dan kita semua.

Seorang sahaja pembaca yang mendapat manfaat daripada ruangan ini, lebih baik daripada 10 orang pembaca yang tidak mendapat apa-apa. Kalaulah ditakdirkan yang seorang sahaja itu ialah saya sendiri, maka itu sudah memadai. Kalau kebetulan ramai yang mendapat manfaat sehingga pahala manfaat itu mengalir kepada saya, maka itulah yang sebaik-baiknya.

“Demi Allah,petunjuk yang Allah berikan kepada seorang lelaki disebabkan perantaraanmu, lebih baik bagimu daripada unta yang berwarna merah.” Al Hadis.

Seorang ulama bernama Abul Qa’qa’ mengatakan, tulisan itu umpama seorang anak yang selalu menyebut-nyebut ilmu dan pemikiran bapanya, iaitu penulis, supaya diteladani oleh manusia.

Lihat sahaja kitab Al Umm yang selalu menyebut-nyebut keilmuan Imam As Syafie supaya menjadi pedoman kepada umat manusia. Al Imam sudah meninggalkan kita beberapa abad yang lalu. Namun, usia amalannya telah dipanjangkan oleh anaknya yang baik hati itu sehingga ke hari ini, dengan rahmat dari Allah.

Lihat pula Imam Hasan al Banna. Buku-buku tulisan beliau tidaklah sebanyak ulama-ulama lain seperti Sayyid Qutb, pemilik tafsir Zilal yang berjilid-jilid itu. Tulisan As Syahid hanyalah makalah-makalah ringkas.

Tapi, cuba lihat bagaimana idea, gagasan pemikiran, dan nasihat-nasihat beliau masih hidup sehingga ke hari ini. As Syahid menulis tidak menggunakan pen dan kertas, sebaliknya menggunakan qudwah hasanah sebagai dakwat lalu dikarang di atas helaian hati-hati umat Islam, sehingga masih berbekas sampai ke hari ini.

Kalaulah kita juga ada qudwah hasanah seperti As Syahid, atau anak-anak seperti Al Umm, atau kita ada kedua-duanya sekali  yang akan memanjangkan usia amalan kita, tentu kita puas hati untuk mati.

Semoga ikhlas sentiasa menemani saya dan kita semua.

Akhukum. 

Catatan lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...